Archive for August, 2006

Kelampaun dalam budaya

Tuesday, August 29th, 2006

- Azizi Hj Abdullah

Apabila
selesai acara yang bermula jam 10.30 pagi hingga petang tentang
perkahwinan Siti Nurhaliza dengan Datuk K, ia sebenarnya bukan hari
terakhir sebuah kehidupan seorang artis tersohor dengan seorang ahli
perniagaan bergelar datuk. Seperti orang lain, perkahwinan tidak
bererti tidak berpisah, bercerai, bergaduh, cemburu, kegoncangan rumah
tangga. Sebaliknya selepas perkahwinanlah selalunya timbul tidak
sefahaman, cemburu, terikat, tak sporting, hodoh, atau apa yang
dinamakan dengan istilah lunak; tiada jodoh.

Sejarah artis yang
mabuk kepayang sebelum berkahwin, gelagat bercinta dan luahan rasa
dalam bentuk melampau sudah berlaku pada masa lalu. Tanpa bertujuan
memburuk-burukkan seseorang, perpisahan artis yang dulunya digambarkan
sebagai percintaan unggul dengan majlis perkahwinan melebihi ‘Royal Wedding’,
kini sudah berpisah dan jika diukur nilai belanja perkahwinan mereka
dahulu, kita menjadi bingung di mana hendak meletak keunggulan cinta
mereka dengan keangkuhan acara perkahwinan mereka.

Nilainya mampu mengubati seorang kanak-kanak penyakit kanser di luar negara.

Gambaran-gambaran
yang melampau ini telah menimbulkan persoalan, siapakah yang
bertanggungjawab meng ‘highlight’ isu ini? Adakah wartawan-wartawan
hiburan tidak tahu memilih sesebuah berita atau itulah sebuah ‘current issue’ atau sememangnya dikehendaki oleh artis terlibat untuk meningkatkan lagi ‘glamor’
mereka. Yang nyata kesannya ialah kepada masyarakat sehingga menganggap
isu-isu itu adalah isu negara, isu terpenting dan kadang-kadang
menenggelamkan teguran atau nasihat seorang mufti atau ulama.

Lebih parah lagi apabila isu-isu seperti ini di ‘highlight’,
menggambarkan masyarakat Melayu khususnya, gila kepada budaya
pembaziran, budaya kemegahan, budaya hiburan. Ia menggambarkan juga di
Malaysia ini orang-orang yang penting ialah golongan artis.

Kini,
isu percintaan, perkahwinan, persiapan ke arah majlis kenduri
perkahwinan Siti Nurhaliza, yang dianggap penyanyi nombor satu negara
dengan Datuk K melampaui isu-isu lain. Ia bukan saja mendapat
penonjolan di dalam akhbar perdana di muka hadapan, tetapi juga
mendapat liputan khas melalui TV, satu-satunya media elektronik yang
sangat memberi pengaruh. Pada satu ketika ia melebihi siaran langsung
pembentangan belanjawan atau lawatan perdana menteri. Apalagi ia
mengatasi kemalapan siaran langsung Majlis Tilawah Al-Quran.

Semua
liputan dan berita seolah-olah pasangan ini pasangan yang cukup
‘ideal’, melebihi percintaan Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, Uda
dan Dara dan kemegahan membina tugu cinta mereka sama dengan Shah Jahan
yang membina Taj Mahal. Tetapi masyarakat yang mabuk dengan isu ini,
yang menganggap artis adalah segala-galanya lupa beberapa sejarah pahit
yang memalukan. Bagaimanapun, masyarakat tetap bodoh oleh permainan
tulisan-tulisan wartawan hiburan dengan kata-kata; kami tetap berkawan.

Perkahwinan sememangnya baik dan seharusnya kita berdoa agar
pasangan (tidak saja artis) kekal jodoh sehingga akhir hayat. Tetapi
apabila dalam waktu yang sama kita melihat bagaimana keangkuhan,
keegoan, kelampauan (kadang-kadang dilebihkan oleh wartawan) kita
tertanya-tanya, adakah segala macam yang digembar-gembur itu menjadi
penting dan sepatutnya didedahkan?

Ia sudah menjadi riak,
takbur, membazir, melampau dan kadang-kadang sampai melanggar tata
susila hukum. Namun apa yang mendukacitakan, ulasan-ulasan dan paparan
dari wartawan hiburan seperti ini tidak mengambil kira hal-hal hukum.
Kerana mahu meng ’highlight’ kan orang-orang seumpama ini, mereka telah
meletakkan seperti dewa Hanuman yang turun ke dunia.

Sebagai
contoh, ambil saja isu percintaan, perkahwinan, majlis hantaran,
persiapan majlis kenduri Siti Nurhaliza dengan Datuk K. Contoh ini sama
sekali kita tidak meletakkan kesalahan, sangka buruk terhadap mereka.
Tetapi kita ingin bertanya; Mengapa hal sebegini terjadi?

Antaranya
ialah sebanyak tujuh kamera digunakan di Masjid Wilayah Persekutuan
bagi tujuan merakamkan upacara perkahwinan. Siaran secara langsung pula
dibuat. Pelamin diletakkan di dalam ruang masjid, satu-satunya rumah
ibadah. Seramai 30 krew produksi akan bekerja keras.

Sebelum
itu lawatan demi lawatan di Masjid Wilayah Persekutuan dibuat,
seolah-olah upacara Tilawah peringkat dunia hendak diadakan.

Memanglah
masjid sangat baik dijadikan tempat ijab qabul pernikahan. Tetapi
apabila ia menunjukkan seperti melampau, riak dan bermegah-megah,
menunjukkan kehebatan, apakah ia baik di sisi agama? Kita tidak tahu,
apakah ia mendapat restu dari pihak pentadbir agama dan masjid di situ?
Jika ia direstu dan diluluskan begitu mudah, alangkah malangnya
pemikiran sebegitu rupa kerana pihak bertanggungjawab juga terbawa-bawa
dengan budaya keglamoran artis-artis.

Bukan masanya lagi
apabila ada orang berkata, apa pun yang dilakukan oleh seseorang, itu
adalah hak mereka. Memang sesiapa pun boleh mengeluar hantaran RM1
juta, membelanja majlis perkahwinan RM1.5 juta, merancang akad nikah di
dalam kolah masjid atau sebentuk cincin bernilai RM3 juta. Bukan
masanya untuk kita berkata, jika dulu sebagai artis ia menjadi milik
masyarakat tetapi kini ia menjadi milik bla..bla..bla…

Tetapi
dalam masa yang sama, tidakkah kita merasa prihatin, sensitif dan peka
terhadap enam ratus kanak-kanak yang menghidap sakit jantung, yang
melanda kebanyakan keluarga berpendapatan rendah? Seperti Fariz, adakah
sama RM111,111.11 juta belanja mas kahwin dengan 6 milimeter jantungnya
yang berlubang?

Perlukah RM1.5 juta belanja kahwin, sedangkan
di sisi masyarakat kita kanak-kanak seperti Fariz memerlukan alat
mengepam dan proses pembedahan?

Apakah sesuai dengan masa,
apabila kita membuat hantaran tujuh dulang serba mewah, sedang di ceruk
desa dan kampung, ada tujuh ratus dulang hati-hati rakyat yang terbiar
menanti bantuan? Tergamakkah kita memakan juadah dan majlis santai
meraikan pengantin, tetapi dalam masa yang sama, ada mereka yang
menjerit kesakitan kerana luka dan berpenyakit kronik. Ada yang
menjelir lidah kerana tidak pernah merasa apa itu ‘Pizza’ atau KFC?

Memang
ini ia di sisi lain yang mungkin akan dijawab ia tidak ada kena
mengena. Tetapi itulah sebenarnya gambaran masyarakat kita. Jika ia
tidak dilakukan oleh pihak yang terlibat, siapakah pula yang
bertanggungjawab menggembar–gembur hal ini, sampaikan golongan seperti
ini dewa-dewi dari segala dewa-dewi?

10 Nasihat Untuk Memahami Maksud Al Quran

Sunday, August 13th, 2006

PESANAN PENAJA : BANTULAH SAHABAT YANG DITINDAS DI SELURUH DUNIA ISLAM, JANGAN HANYA MENUNGGU MUKJIZAT

 

Ketika malam bertukar menjadi pagi,

kucoretkan tulisan ini sebagai nasihat bagi yang sudi,

untuk dipraktikkan bukan sekadar teori,

agar Al Quran dibaca lalu difahami,

 

Berikut adalah beberapa panduan untuk sesiapa sahaja yang ingin
memahami Al Quran, terutama mereka yang tidak memahami sebahagian besar
ayat Al Quran hanya kerana ayat-ayat itu adalah di dalam Bahasa Arab.
Perkara sebegini bukan halangan untuk anda memahami Al Quran. Malah
ramai yang menguasai Bahasa Arab tetapi masih lagi tidak cuba memahami
Al Quran. Semoga Allah SWT memberikan hidayah untuk saya dan anda
semua.

1- Membeli sebuah Al
Quran berserta terjemahan. Mungkin terdapat perbezaan pendapat di
kalangan kita tentang terjemahan Al Quran yang paling baik. Saya secara
peribadinya mencadangkan agar pembaca membeli terjemahan Al Quran yang
dicetak oleh Kerajaan Arab Saudi di dalam Bahasa Indonesia dan juga
Tafsir Pimpinan al Rahman terjemahan Dr. Abdullah Basmeih yang dicetak
oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

2- Peruntukkan waktu secara tetap sama
ada harian atau mingguan untuk membaca beberapa ayat Al Quran berserta
terjemahan. Tidak perlu terlalu bersemangat kerana selalunya semangat
yang berlebihan tidak akan bertahan lama. Jika anda sekadar ingin
membaca ayat Al Quran tanpa terjemahan, sememangnya digalakkan setiap
hari dalam keadaan yang sederhana. Namun untuk membacanya berserta
terjemahan, perlulah diberikan peruntukan waktu untuk ‘menghadamkan’
terjemahan dan maksud ayat-ayat yang telah dibaca. Mungkin pembaca
boleh memperuntukkan masa untuk ayat-ayat daripada juzuk 30 kerana ia
ayat-ayat yang sering kita baca dan hafal. Sebagai contoh, mulakan
dengan surah al Ikhlas yang mengandungi 4 ayat dan diberi tempoh selama
3 hari untuk membaca, merenung dan memahami maksudnya sebelum berpindah
kepada surah al Naas pula. Begitulah seterusnya. Tidak semestinya anda
mengikut susunan misalnya bermula daripada al Fatihah kemudian al
Baqarah, Ali Imran dan seterusnya, atau bermula daripada al Naas
kemudian al Falaq, al Ikhlas dan seterusnya. Matlamat kita ialah cuba
memahami ayat-ayat Al Quran secara keseluruhan. Mungkin minggu ini kita
ingin memahami maksud beberapa ayat daripada surah Yaasin dan minggu
depan pula kita ingin mengetahui maksud beberapa ayat daripada surah al
Kahfi pula. Apa yang penting, setiap minggu kita akan peruntukkan
sedikit masa untuk memahami beberapa ayat dan sikap ini berterusan
dengan penuh istiqamah.

3- Tandakan ayat-ayat yang kurang
jelas maksudnya. Sememangnya kita tidak akan dapat memahami dengan
jelas setiap ayat yang dibaca. Mungkin ini disebabkan oleh keadaan atau
tumpuan kita semasa membacanya. Mungkin juga disebabkan ayat terjemahan
itu tidak jelas dan mungkin juga disebabkan kita baru membacanya sekali
tanpa benar-benar faham. Walau apa pun sebabnya, jangan biarkan ayat
itu berlalu tanpa memastikan kita benar-benar faham maksudnya. Tandakan
ayat tersebut dan peruntukkan beberapa hari atau lebih untuk mengkaji
maksudnya dengan lebih jelas.

4- Wujudkan panel rujukan sendiri
dengan menyimpan nombor telefon beberapa orang ustaz yang dirasakan
mampu menghuraikan maksud ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya tadi.
Rujuk kepada mereka untuk mendapatkan jawapan yang lebih cepat dan
mudah. Lebih cepat ialah dengan menulis sms dan dihantar ke telefon
bimbit seseorang ustaz, misalnya anda tulis ‘Assalaamualaikum ustaz,
apa maksud ayat 23 surah Luqman? Terima kasih’. Mungkin sesetengah
ustaz tidak terus membalasnya kerana ingin mengkaji terlebih dahulu.
Lihat, anda telah melakukan amal soleh dengan menyebabkan seorang
agamawan membuka kembali buku dan kitabnya yang telah lama berhabuk di
atas rak buku, hanya kerana satu sms yang ingin tahu tentang tafsir
satu ayat daripada Al Quran.

5- Boleh juga mencari maksud ayat
tersebut daripada terjemahan edisi yang lain atau membeli buku tafsir
Al Quran yang telah diterjemahkan. Kini terdapat banyak buku tafsir
yang diterjemahkan dan yang paling baik setakat pengetahuan saya ialah
terjemahan Tafsir Ibn Kathir. Buku terjemahan Al Quran juga terdapat
dalam banyak versi sama ada di dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris
atau Bahasa Indonesia dan lain-lain lagi. Langkah ini mungkin
memerlukan kepada perbelanjaan yang lebih untuk memiliki sebanyak
mungkin terjemahan Al Quran, tetapi ia tetap berbaloi kerana tujuan
kita amat mulia iaitu memahami Al Quran.

6- Pengulangan bacaan tafsiran atau
terjemahan ayat yang sama dapat memberikan gambaran yang lebih jelas
tentang ayat. Mungkin kali pertama anda membaca terjemahannya dan
tafsirannya semasa pemikiran anda tidak berfokus dan tidak tenang
disebabkan pelbagai masalah. Kali kedua pula anda membacanya dalam
keadaan tenang dan tiada masalah. Pasti bacaan kedua akan lebih
membantu anda memahami ayat tersebut, wallahu a’lam.

7- Sebolehnya cari kaset-kaset atau cd
yang mengandungi huraian Al Quran daripada ustaz-ustaz atau mana-mana
pendakwah. Mungkin anda sibuk dan tak sempat nak mendengar kuliah
tafsir, maka bukalah radio atau belilah cd untuk anda belajar daripada
dalam kereta atau gunakan alat seperti cd walkman atau mp4 untuk
mempelajari tafsir Al Quran. Takkanlah waktu di dalam kereta hanya
dengan mendengar lagu atau berita di radio sahaja?

8- Lebih baik lagi jika mempunyai
tempat kuliah tafsir yang dihadiri secara tetap. Ini penting untuk
menjadikan kita sentiasa istiqamah dalam mempelajari tafsir. Ustaz yang
mengajar juga boleh kita jadikan sebagai rujukan tetap kerana kita akan
sentiasa bertemu dengan beliau setiap kali tiba waktu kuliah.

9- Layari laman web Islamik yang
menawarkan perkhidmatan untuk memahami ayat-ayat Al Quran atau boleh
muat turun beberapa program yang mengandungi tafsir atau terjemahan Al
Quran. Internet perlu digunakan sebaik mungkin terutama bagi mereka
yang boleh ‘online’ semasa berkerja. Program tafsir juga boleh dimuat
turun ke dalam laptop atau ke dalam alat seperti telefon bimbit atau
telefon PDA yang canggih lagi memudahkan.

10- Cuba pelajari Bahasa Arab untuk lebih
mendekatkan diri kita dengan maksud ayat yang dibaca. Hendak seribu
daya. Saya secara peribadi telah bertemu dengan orang-orang yang tahu
berbahasa Arab dengan mempelajarinya secara sendiri dan mereka bukanlah
produk sekolah agama atau universiti di negara Arab.

 

Akhir kata, berdoalah kepada Allah SWT agar kita tergolong dalam
kalangan orang-orang yang ingin mendalami ilmu Allah SWT terutamanya
ingin mendalami Al Quran. Ingatlah, tiada keinginan untuk menambahkan
ilmu agama adalah satu penyakit merbahaya. Kesannya pesakit ini akan
terus hidup dalam keadaan jahil dan tidak bertambah ilmunya. Ingat
pesan Rasulullah SAW : Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al
Quran dan mengajarnya.(Riwayat al Bukhari, no.5027).

 

PESANAN PENAJA: SAMPAIKAN NASIHAT INI KEPADA YANG LAIN, JANGAN BIARKAN HIDUP ANDA DISELUBUNGI KEJAHILAN

 

(ini bukan artikel berantai)


      Posted by : alitantawi

Gembira Dalam Menyesal…

Saturday, August 5th, 2006

Ada-ada ajeaQuSTaTiC menulis "Suatu
malam, tiga orang pengembara memacu kuda merentasi padang pasir. Ketika
melintasi sebatang sungai yang kering kontang, para pengembara itu
terdengar suatu suara yang mengarahkan mereka berhenti.

Mereka
patuh pada arahan itu. Suara itu kemudiannya menyuruh mereka turun dari
kuda dan mengutip batu-batu yang terdapat di dasar sungai. Ketiga-tiga
pengembara menggagau di dalam gelap mengutip batu-batu kerikil dan
kemudiannya memasukkanya ke dalam poket.
Suara
misteri itu seterusnya berkata, "Kamu telah ikut arahan aku. Esok kamu
akan berasa gembira dan juga kesal. Sekarang, tinggalkanlah tempat ini."
Ketiga-tiga
pengembara itu memacu kuda mereka hingga ke hujung padang pasir.
Apabila matahari memancar keesokannya, pengembar-pengembara itu
menyeluk poket masing-masing. Alangkah terkejutnya mereka, batu-batu
yang mereka kutip malam tadi telah berubah menjadi batu permata!
Seketika
itu juga mereka teringat akan amaran yang dikeluarkan oleh suara
tersebut, "Kamu akan gembira dan kesal." Betul, mereka gembira kerana
mendapat batu permata tetapi kesal kerana tidak mengambil lebih banyak
lagi.
p/s : begitulah manusia, mereka memang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki…

-petikan dari majalah mastika-

" 

Hizbullah : Apakah sikap kita?

Friday, August 4th, 2006

Oleh: Maszlee Malik

 

Lewat isu nuklear Iran dan juga peperangan Zionis-Hizbullah, timbul
satu fenomena di Malaysia. Terdapat dua golongan yang saling
bertentangan di dalam menyikapi isu ini. Di satu pihak, wujud golongan
yang mengambil peluang isu ini untuk mempromosikan Syiah
dan ideologi revolusi Iran. Di sudut yang bertentangan pula, wujud
golongan yang menentang Syiah dan menyatakan kebimbangan mereka
mengenai tersebarnya ideologi Syiah kerana isu tersebut. 

Pihak yang giat mempromosikan ideologi Syiah
telah berhujahkan kehebatan dan ketegasan Iran berhubung isu nuklear.
Mereka juga bagaikan mendapat bonus apabila Hizbullah dengan beraninya
menyerang konvoi tentera Zionis yang telah menyebabkan peperangan ke
atas Lubnan. Menurut mereka, apa yang dilakukan oleh Hizbullah itu
menunjukkan betapa hebatnya prinsip dan aqidah Syiah. Tidak
ketinggalan, di mana-mana demo dianjurkan, pastinya ada sahaja
gambar-gambar pemimpin Syiah Iran dan Hizbullah akan dijulang. T-shirt
Hizbullah juga dipakai dengan bangganya oleh para pemuda dari golongan
ini. Di mailing list-mailing list dan blog-blog juga terdapat
artikel-artikel yang memuji Syiah, mempromosikan mereka dan cuba untuk
menyeru ke arah Syiah dan ideologi revolusi.

 

Pihak ini juga telah menggunakan peluang yang ada untuk menghentam
para pengkritik Syiah, terutamanya golongan Salafi. Pendirian kerajaan
Saudi yang pro-AS dan juga fatwa mufti Saudi yang terlalu kontreversi
juga telah digunakan sebagai peluang untuk menghentam golongan Salafi.
Bagi mereka, bukan hanya kerajaan Saudi, malah seluruh pejuang Islam
yang berfahaman Salafi adalah agen Yahudi, agen AS dan juga ada yang
terus mengkafirkannya. Mungkin golongan ini terlupakan Usamah Ben Laden
dan al-Qaeda serta para mujahidin di Checnya, Kashmir dan di Iraq yang
merupakan golongan berfahaman Salafi jalur keras. Mereka juga mungkin
tidak perasankan HAMAS yang merupakan cabang Ikhwan al-Muslimin di
Palestin. Ikhwan telah dikenali di seluruh dunia sebagai gerakan yang
mengambil aqidah "Salafiyyah" sebagai aqidah mereka. Mungkin juga Dr
Yusuf al-Qaradawi tercicir dari senarai mereka. Al-Qaradawi adalah
seorang yang beraqidahkan salafiyyah, malah tulisan beliau mengenai
Syirik, bid’ah dan juga aqidah jelas menunjukkan pegangannya yang
bersumberkan ajaran Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahab.

 

Di satu sudut pula, ada golongan yang bulat-bulat menerima fatwa
mufti Saudi. Berbekalkan kenyataan-kenyataan Abu Mus’ab al-Zarqawi di
Iraq, mufti tersebut telah menyama ratakan semua golongan Syiah di muka
bumi ini. Jika hukuman yang diberikan ke atas golongan Syiah itu
berkaitan dengan aqidah, majoriti akan bersetuju. Malangnya, situasi di
Lubnan sekarang adalah isu politik. Isu politik harus ditafsirkan dan
ditanggani dengan menggunakan neraca politik. Di dalam pertimbangan
politik, bukannya aqidah dan juga pegangan yang menjadi ukuran, tetapi
maslahah (keuntungan) dan mafsadah (kerugian). Umat Islam haruslah
mengutamakan maslahah (keuntungan) yang lebih besar kepada umat secara
keseluruhan dan mengelakkan mafsadah (mudarat) daripada umat. Begitu
juga di waktu peperangan. Rakan kita, bukanlah hanya mereka yang
seaqidah, tetapi siapakah yang dapat memberikan manfaat kepada umat.
Rakan kita di waktu peperangan juga, ialah sesiapa yang sedang
menentang musuh kita. Bak kata pepatah Inggeris "The enemy of my enemy
is my friend". Jikalaulah yang dapat bersama untuk menyelamatkan
maslahah umat Islam itu bukan Islam sekalipun, kita wajib bersama
mereka. Apatah lagi, jika yang dapat bersama kita untuk menentang musuh
bersama itu di kalangan umat Islam sendiri.

 

 

 

Bahasa Politik

Di dalam isu perang Zionis ke atas Lubnan, sewajarnya isu aqidah ini
tidak timbul. Isu ini haruslah disikapi dengan penuh kematangan dan
dengan penuh strategi. Isu pokoknya adalah isu Palestin. Apa yang
dilakukan oleh Hizbullah adalah bertujuan untuk membantu rakyat
Palestin yang telah ditekan dan diganasi oleh rejim Zionis semenjak
kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Majlis Legaslatif yang lalu.
Hizbullah pula, sememangnya telah berjanji dengan HAMAS untuk sama-sama
saling membantu di dalam menentang rejim Zionis. Jasa mereka harus
diberikan kredit. Begitu juga dengan Iran yang merupakan bapa kepada
Hizbullah. Pendirian-pendirian mereka berhubung isu Palestin tidak
boleh dipandang remeh. Jika dibandingkan dengan lain-lain negara
anggota OIC, Iran lebih ke hadapan selepas Qatar, Syria dan Yemen. Di
dalam isu ini, biarlah bahasa politik yang kita gunakan dan bukannya
bahasa "agama" atau "aqidah".

 

Bukanlah saya bermaksud untuk menjadi sekular, tetapi kebijaksanaan
umat Islam untuk berpolitik itu perlu. Umat Islam harus berusaha
mengurangkan musuh dan bersikap fokus. Maslahah umat Islam yang lebih
besar harus didahulukan. Di dalam politik, usaha membanyakkan rakan dan
mengurangkan musuh amat perlu. Bila rakan kita ramai, risiko ke atas
umat akan kurang, berbanding jika kita mempunyai terlalu ramai musuh.
Sama juga seperti isu Palestin. Seharusnya umat Islam menjadikan isu
Palestin ini sebagai ruang untuk mencari kekuatan. Isu ini sepatutnya
dijadikan ruang untuk kita bertemu dan bersatu untuk menentang Zionis.
Bukan hanya sekadar Syiah-Sunnah, malah juga mazhab-mazhab dalam Islam
seperti Ibadhiyyah, Zaiidiyyah, malah dengan Kristian yang bersimpati
dengan kita sekalipun kita sepatutnya bersatu. Seharusnya kita berusaha
meramaikan rakan di dalam kem menentang Zionis dan berusaha megurangkan
musuh. Inilah usaha yang dilakukan oleh al-Quds Institute di dalam
mempertahankan Masjid al-Aqsa. Bukan hanya sekadar wakil dari Syiah
juga turut menganggotai institut ini, malah wakil-wakil Kristian juga
ada di dalamnya. Mungkin pengalaman Salahudin mengambil
Kristian-kristian Arab untuk bersama menentang tentera Salib boleh
dijadikan contoh.

 

Walau bagaimanapun ini bukanlah bermaksud kita perlu mengakui
kebenaran aqidah Syiah. Mana mungkin kita mengiktiraf kebenaran aqidah
mereka yang menuduh Aisyah berzina, mana mungkin kita bersetuju dengan
aqidah orang-orang yang mengkafirkan sahabat, menghina isteri-isteri
Rasul, menolak hadis-hadis kita dan juga menganggap ahli sunnah sebagai
penghuni neraka?

 

Di dalam persoalan aqidah kita wajib tegas. Kita wajib
mempertahankan aqidah kita. Namun, di dalam isu politik dan peperangan,
bahasanya lain. Maka kita mempunyai pndirian yang tegas. Apa yang
berlaku tidak akan sekali-kali menyebabkan kita terpengaruh dengan
aqidah Syiah. Apa yang berlaku juga sekali-kali tidak akan membuatkan
kita termakan dengan taqiyah dan juga penyelewengan aqidah mereka. Kita
katakan "YES Hizbullah, but NO Syiah!", atau "YES Hizbullah but NO
Aqidah Syiah!"

 

 

Lubnan bukan Iraq dan Pakistan

Golongan yang tidak dapat menyokong Hizbullah dan bersimpati
terhadap mereka kebanyakannya tidak dapat melupakan jenayah-jenayah
golongan Syiah di Iraq dan Pakistan. Memang benar, di Pakistan dan Iraq
hatta di Iran, hubungan Sunni-Syiah amat tegang. Syiah di Pakistan
adalah minoriti yang berusaha memastikan survival mereka dan bersikap
agresif untuk memastikan kewujudan mereka di bumi itu. Pertumpahan
darah di dalam pertembungan kedua-dua golongan adalah sesuatu yang
biasa di sana. Begitu juga di Iraq. Hubungan Sunni-Syiah, (terutamanya
pasca penjajahan AS) semakin tegang. Usaha golongan Syiah untuk
menguasai Iraq bukan lagi rahsia. Mereka sanggup membunuh, bersekongkol
dengan AS dan juga melakukan tipu daya demi memastikan matlamat mereka
dicapai. Keadaan di sana telah berjaya menarik perhatian Dr Yusuf
al-Qaradawi untuk masuk campur dan memberikan amaran kepada golongan
Syiah di Iraq.

 

Walau bagaimanapun suasana di Lubnan agak berbeza. Walaupun
Hizbullah merupakan wakil Syiah di Lubnan bersama gerakan Amal, namun
survival mereka di sana berbeza. Syiah di Lubnan terpaksa bersatu
dengan ahli Sunnah demi memastikan survival mereka. Lubnan yang
didominasi golongan Kristian telah memaksa komuniti muslim tidak
berperang sesama sendiri. Fenomena ini walaupun wujud hanya selepas
berakhirnya peperangan saudara (1975-1990), namun ianya dapat bertahan
sehingga kini. Kepahitan peperangan saudara telah menyaksikan bagaimana
setiap golongan berjuang untuk mempertahankan kewujudan masing-masing.
Perstiwa itu telah menjadi peristiwa hitam yang tidak mahu diingati
lagi oleh sesiapa pun di Lubnan. Di atas dasar inilah, Perdana Menteri
Lubnan, Fuad Siniora tetap bertegas untuk menyokong Hizbullah di dalam
mempertahankan negara mereka dari serangan Zionis. Beliau dan juga
pemimpin-pemimpin bukan Syiah di Lubnan tetap bertegas untuk tidak
mengikut telunjuk Zionis yang memaksa mereka untuk menentang Hizbullah.

 

Secara tegas, para pemimpin Lubnan menyatakan bahawa mereka tidak
akan mengulangi peperangan saudara seperti yang pernah mereka tempuhi
dahulu. Serangan Zionis ke atas Lubnan, adalah serangan ke atas rakyat
Lubnan dan bukannya serangan ke atas Hizbullah semata-mata. Mereka
bersepakat di dalam hal ini. Sekali lagi, faktor politik membawa sikap
yang berbeza di dalam kehidupan. Di Lubnan, aqidah bukan isunya lagi,
tetapi survival kelompok dan juga keamanan bersama adalah agenda utama
setiap golongan. Hal in berbeza dengan suasana di Iraq dan Pakistan,
hatta di Iran sekalipun.

 

Hizbullah dan HAMAS

Berkaitan isu Palestin pula, pendirian Hizbullah patut diberikan
kredit. Bukan kerana mereka Syiah, tetapi kerana komitmen mereka. Jika
Iran dikaitkan sebagai penyebab utama munculnya Hizbullah, kita juga
tidak boleh melupakan peranan rakyat Palestin sendiri. Sebelum
kemunculan Hizbullah, dan sebelum ideologi revolusi Iran diekspot ke
Lubnan, kelompok Syiah yang berjuang menentang Zionis kebanyakannya
berpayungkan perjuangan PLO dan sosialis. Di bawah payung PLO jugalah
mereka telah dilatih dan dilibatkan untuk menentang penjajahan Zionis
di selatan Lubnan. Setelah kemunculan Hizbullah, kebanyakan para
komando dan pejuang Syiah ini telah menyertai Hizbullah. Kebanyakan
mereka menyertai Hizbullah kerana PLO telah dihalau keluar daripada
Lubnan pasca perjanjian Philip Habib dengan para pemimpin Lubnan pada
tahun 1982. Di atas dasar inilah, Hizbullah dan perjuangan rakyat
Palestin mempunyai hubungan yang sentimental. Mereka tidak akan
melupakan rakyat Palestin yang telah memperkenalkan mereka kepada
perjuangan dan jihad.

 

Kemunculan HAMAS yang membawa ideologi Islam juga telah mencorakkan
warna yang baru kepada perhubungan Hizbullah-Palestin. HAMAS yang
mewakili perjuangan Islam Ahli Sunnah menentang Zionis telah bersetuju
dengan Hizbullah yang mewakili perjuangan Islam Syiah di dalam jihad
mereka. Musuh mereka yang satu perlu ditentang bersama. Bak kata
pepatah Sudan "dua tangan akan melontar lebih jauh daripada satu tangan
sahaja". Kewujudan HAMAS di Lubnan sekarang ini pun mempunyai kaitannya
dengan Hizbullah. Keselamatan wakil HAMAS di Lubnan, seperti Usamah
Hamdan, Muhammad Nazal dan lain-lain juga berhubung rapat dengan
kekuatan Hizbullah. Tanpa kekuatan Hizbullah di Lubnan, kemungkinan
besar mereka telah diusir atau telah lama dibunuh oleh golongan Zionis.
Hal ini telah diketahui oleh dunia, malah oleh rejim Zionis sendiri.
Namun, ini tidak menjadikan pula para anggota HAMAS bersimpati dengan
aqidah Syiah dan menjadi Syiah. Di dalam literas-literasi aqidah
Ikhwan, tetap menyenaraikan Syiah sebagai golongan yang rosak
aqidahnya. Sikap seperti inilah yang sepatutnya kita ambil.

 

 

Hanya Syiah boleh mengusir Israel

"Hanya Syiah sahaja yang mampu untuk mengusir Israel!", Slogan
inilah yang selalu dicanangkan oleh sesetengah pihak yang mempromosikan
ideologi Syiah. Keupayaan Hizbullah menghalau tentera Zionis dari
selatan Lubnan pada Mei 2000 telah dijadikan dalil yang paling sahih di
dalam membela Syiah. Bagi para pendengar yang mengikut sahaja tanpa
berfikir dan mengkaji, fakta ini akan diterimanya bulat-bulat. Akhirnya
terdetik di dalam hati, Syiah sahajalah yang betul dan paling layak
untuk mengalahkan musuh Islam. Adakah ini benar?

 

Ya, memang Hizbullah telah berjaya mengusir tentera rejim Zionis
dari selatan Lubnan, tetapi mereka bukanlah satu-satunya kuasa yang
dapat mengalahkan Zionis. Cukuplah Salahuddin al-Ayubi sebagai bukti.
Beliau bukanlah seorang Syiah, tetapi ahli Sunnah. Malah, sebelum
beliau melancarkan kempen perang ke atas tentera Salib, beliau terlebih
dahulu membersihkan bumi Mesir daripada golongan Syiah Fatimiyin. Syiah
Fatimiyah telah bertindak menikam umat Islam daripada belakang ketika
mereka sedang bertempur dengan tentera Salib. Di atas dasar itulah,
Salahudin terlebih dahulu menumpukan usaha menghapuskan Syiah Fatimiyah
sebelum berjihad menentang tentera Salib. Kesimpulannya, Ahli Sunnah
mampu untuk mempertahankan Palestin dan Masjid al-Aqsa.

 

Adakah kita terlupakan peperangan Arab-Zionis pada tahun-tahun
1947-1948. Lupakah kita terhadap kemenangan tentera-tentera sukarelawan
Mesir dan Syria dari kalangan anggota gerakan Ikhwan al-Muslimin?
Mereka hampir sahaja berjaya menghapuskan terus kekuatan
penganas-penganas Zionis. Jika tidak kerana campurtangan British dan
pemimpin-pemimpin Arab yang korup dan pengkhianat, sudah tentu Israel
tidak akan wujud. Kesimpulannya, ahli Sunnah juga pernah mengalahkan
Zionis.

 

Lupakah juga kita kepada peperangan 1973?, kehebatan tentera Mesir
mengalahkan rejim Zionis sehingga memaksa Zionis menggunakan pengaruh
mereka terhadap Anwar Sadat, presiden Mesir pada waktu tersebut. Sadat
telah mengkhianati rakyat Mesir melalui Camp David 1978. Walaupun Mesir
telah mendapatkan semula Sinai, tetapi mereka terpaksa melupakan isu
Palestin. Kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera
Zionis.

 

Lupakah juga kita kepada peperangan Karamah 1968 di Jordan? Tentera
Zionis telah dikalahkan dengan teruk di dalam peperangan di antara
mereka dengan tentera Jordan. Sehingga kini, kereta kebal Zionis yang
telah berjaya ditawan oleh Jordan lewat peeprangan tersebut masih
terdapat di kawasan al-Gahur, Jordan. Sehingga hari ini, pada setiap 21
Ogos setiap tahun, Jordan akan merayakan hari kemenangan tersebut.
Sekali lagi, kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera
Zionis.

 

Akhir sekali yang paling hampir dengan kita adalah pengunduran
tentera Zionis beserta penduduk Yahudi dari Gaza secara keseluruhannya
pada Ogos 2005. Bukankah itu merupakan satu kemenangan. "Indihar
al-Suhyuniah" (Pengunduran Zionis) itu merupakan antara buah kejayaan
gerakan Intifadah rakyat Palestin. HAMAS, Jihad Islami, briged Syuhada
al-Aqsa milik Fatah dan juga lain-lain fraksi perjuangan berhak
menerima kredit untuk tujuan tersebut. Bukankah mereka ahli sunnah?,
sekali lagi, ahli sunnah juga mampu untuk mengalahkan Zionis. Bukan
sekali, malah banyak kali, jauh lebih banyak daripada golongan Syiah!

 

Jika itu senario di Palestin, di tempat lain di serata dunia banyak
lagi contoh yang boleh dibanggakan oleh Ahli Sunnah. Perang di
Afghanistan sebagai contoh. Bukankah para mujahidin telah berjaya
mengalahkan Rusia. Mereka bukannya puak Syiah. Syiah hanya datang
selepas kemenangan untuk meluaskan pengaruh mereka di sana dan telah
menyebabkan perang saudara meletus. Di Bosnia, para mujahidin "Salafi
Jihadi" telah berjaya mengalahkan tentera Serbia. Mereka bukan Syiah.
Di Checnya, para mujahidin "Salafi Jihadi" di sana juga bukan Syiah. Di
Iraq juga, para mujahidin adalah dari kalangan ahli sunnah. Syiah pula
telah melakukan pelbagai cara dan makar untuk menguasai Iraq, sehingga
sanggup bekerjasama dengan AS.

 

Kesimpulannya, perjuangan jihad dan juga kemenangan tidak terletak
pada Syiah atau tidaknya sesuatu kumpulan. Maka, adalah silap bagi
mereka yang mempromosikan Syiah lewat isu Hizbullah ini!

 

 

 

Pendirian yang sepatutnya

Sebagai kesimpulan, bolehlah kita katakan, isu yang wujud sekarang
ini wajib disikapi oleh umat Islam dengan bijaksana. Isu ini bukanlah
hujah bagi promoter Syiah untuk mempromosikan aqidah dan ideologi
mereka. Waktu ini juga bukanlah waktu untuk berbicara mengenai
kesesatan aqidah Syiah. Kita berada di dalam suasana peperangan.
Pendirian Dr Yusuf al-Qaradawi dan Majlis Ulama Islam Sedunia
(International Union for Muslim Scholars) wajar dicontohi, walaupun
beliau menyeru umat Islam di Lubnan untuk membantu Hizbullah menentang
Zionis, tetapi beliau tetap memberikan amaran kepada Syiah di Iraq agar
memberhentikan serangan ke atas Ahli Sunnah. Pendirian Jammat
Islamiyyah di Lubnan pimpinan Ibrahim al-Masri, juga wajar dicontohi.
Jamaat yang merupakan cawangan Ikhwan di Lubnan telah bersetuju
mengerahkan kader-kader mereka untuk mengangkat senjata bersama
Hizbullah menentang Zionis, tetapi di dalam literasi-literasi tarbiyah
mereka tetap menyenaraikan aqidah Syiah sebagai aqidah yang batil dan
sesat.

 

Akhir sekali, perbincangan yang tidak membuahkan amal bukanlah
sesuatu yang menguntungkan. Di waktu kita sibuk di dalam mempromosikan
Syiah, ataupun menghentam Syiah, ratusan kanak-kanak dan wanita terus
menjadi mangsa kegilaan rejim Zionis. Tidak kiralah, anda pro-Hizbullah
ataupun pro-HAMAS, yang penting apakah sumbangan anda di dalam isu ini?

 

Bukan hanya di Lubnan, malah di Gaza, di Tebing Barat, dan di Baitul
Maqdis… kesemuanya memerlukan sokongan anda. Rakyat Palestin terus
dilupakan walaupun sekatan ekonomi masih lagi dikenakan ke atas mereka.
Rakyat Palestin di Gaza terus bergelapan, sekolah-sekolah telah hancur,
kerajaan di bawah pimpinan HAMAS tetap ditekan, rakyat masih kelaparan.
Sehingga kini, lima menteri kabinet Palestin masih lagi ditahan, 25
ahli parlimen masih lagi dikurung oleh Zionis, dan lebih 10,000 tahanan
Palestin masih lagi terseksa di dalam tahanan Zionis. Masjid al-Aqsa
masih lagi diancam. Sehingga kini, sudah sebulan umat Islam tidak dapat
menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa kerana dikepong oleh pegawai
polis Zionis. Pada 3 Ogos 2006, sekumpulan ekstrimis Zionis telah
dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Zionis untuk memasuki kawasan Masjid
al-Aqsa untuk melakukan upacara perayaan mereka.

 

Lakukan sesuatu. Hulurkan sumbangan anda. Bangunlah pada sepertiga
malam terakhir untuk bermunajat kepada Allah agar memberikan kemenangan
kepada umat Islam. Lakukanlah juga Qunut Nazilah menurut Sunnah
Rasulullah SAW, boikot barangan Zionis, dan bantulah mereka sekadar
yang anda mampu.

 

Jika anda masih lagi hendak membicarakan persoalan Sunnah-Syiah di dalam keadaan seperti ini, di manakah Fiqh Awlawiyat anda?

 

 

**Penulis merupakan ahli al-Quds Institute yang berpusat di Beirut,
dan baru pulang dari Beirut seminggu sebelum bermulanya perang di
Lubnan.

http://al-ahkam.net

SEJARAH SILAM BERULANG KEMBALI

Friday, August 4th, 2006

Hari
ini Beirut sekali lagi menjadi medan berdarah. Luka-luka lama yang baru
sahaja sembuh kini berdarah semula, dan kali ini ia lebih parah. Bukan
hanya Beirut dan pekan-pekan di selatan Lubnan seperti Qana yang
binasa, malah ia sebenarnya adalah rentetan kehancuran bumi Palestin di
tangan Regim Yahudi yang digerakkan oleh puak Neo Conservatives di
Amerika Syarikat yang memegang remote controller.
 
Sebagaimana bumi Syam panas dan hangus dibakar
kerakusan Yahudi, umat Islam di seluruh dunia juga memberikan pelbagai
reaksi. Terlalu banyak yang boleh diperkatakan. Namun saya ingin
berkongsi rasa terhadap Sunnatullah yang berlangsung di sebalik tragedi
demi tragedi ini.
 
Ya, kita terluka sama dengan kematian dan
kehilangan erti hidup warga Palestin dan Lubnan. Tangan dan mulut kita
tidak henti-henti melafazkan Qunut Nazilah demi merintih bantuan Allah
agar dilepaskan umat Islam dari derita ini.
 
 
Walau bagaimana pun, kita tidak harus lupa bahawa
bencana di Lebanon ini bukan tragedi pertama umat Islam. Kita pernah
kelam kabut, gelisah dan kebingungan semasa menyambut berita
penyembelihan umat Islam beramai-ramai di Bosnia Herzagovina lebih 10
tahun yang lalu. Kita tidak tahu apa yang patut dilakukan dan kita
cepat melancarkan demonstrasi besar-besaran demi meredakan ledakan
emosi yang dibakar oleh kekejaman Serbia. Kita segera membuka Malaysia
kepada pelarian Bosnia dan menghulurkan atap dan pinggan untuk mereka
berteduh.
 
Selain Bosnia, kita sudah banyak kali terkejut,
gelisah dan kebingungan terhadap satu demi satu bencana yang menimpa
umat Islam. Iraq, Afghanistan, Kashmir, Ambon, Tak Bai dan aduh,
terlalu sukar untuk menyenaraikan kesemuanya.
 
Saya amat percaya bahawa semua yang berlaku ini
adalah mengikut apa yang dikehendaki oleh pemilik papan catur yang kita
hari ini sedang menjadi butir-butir pawns
yang dilaga-lagakan
dalam permainan tangan-tangan ghaib itu. Pemain-pemain catur ini
merancang pergerakan buah caturnya bukan selapis malah berlapis-lapis.
Pemikiran simplistik tidak memungkinkan kita untuk keluar dari papan
catur itu. Jika kita menang sekali pun, permainan akan diulang oleh
tangan-tangan ghaib itu dan pada siri yang seterusnya, kita mungkin
kalah pula dan menang semula selepasnya. Menang atau kalah, kita masih
buah catur di papan permainan yang dimiliki oleh orang lain.
 
Tangan-tangan ghaib itu mesti dikenali oleh umat
Islam. Taaruf mesti bermula dengan mengimbas kembali sejarah Revolusi
Perancis dengan gelagat Jacobins yang menganggap diri mereka di pihak
yang benar. Mereka tidak perlu mengambil kira pendapat orang lain atau
cuba menyediakan common ground untuk berbincang dengan
tamadun dan nilai yang bertembung. Lihat apa yang saya petik dari
Wikipedia ini, di bawah kata kunci NEOCONSERVATISM:

The "traditional" conservative Claes Ryn has argued that neoconservatives are "a variety of neo-Jacobins."
Ryn asserts that true conservatives deny the existence of a universal
political and economic philosophy and model that is suitable for all
societies and cultures, and believe that a society’s institutions
should be adjusted to suit its culture, while Neo-Jacobins
are
attached in the end to ahistorical, supranational principles that they
believe should supplant the traditions of particular societies. The new
Jacobins see themselves as on the side of right and fighting evil and
are not prone to respecting or looking for common ground with countries
that do not share their democratic preferences. (Ryn 2003: 387)

Further examining the relationship between Neoconservatism and moral rhetoric, Ryn argues that Neo-Jacobinism
regards America as founded on universal principles and assigns to the
United States the role of supervising the remaking of the world. Its
adherents have the intense dogmatic commitment of true believers and
are highly prone to moralistic rhetoric. They demand, among other
things, "moral clarity" in dealing with regimes that stand in the way
of America’s universal purpose. They see themselves as champions of
"virtue." (p. 384).

Thus, according to Ryn, neoconservatism is analogous to Bolshevism:
in the same way that the Bolsheviks wanted to destroy established ways
of life throughout the world to replace them with communism, the
neoconservatives want to do the same, only imposing free-market
capitalism and American-style "liberal democracy" instead of socialism.

Colonel Lawrence Wilkerson, former chief of staff to U.S. Secretary of State Colin Powell, had the following to say in a December, 2005 interview with the German weekly Der Spiegel: "They are not new conservatives. They’re Jacobins. Their predecessor is French Revolution leader Maximilien Robespierre."[9]

Jacobins inilah sebenarnya yang sedang memegang remote controller
yang membinasakan Palestin dan Lubnan. Peranan golongan ini di Amerika
Syarikat bersama sekutunya di Britain, amat bertepatan dengan
keterangan Surah al-Israa’ yang menjelaskan tentang dua kerosakan yang
dilakukan oleh Yahudi.

“Kemudian, Kami kembalikan
kepada kamu (Yahudi) kekuatan untuk mengalahkan mereka (umat Islam),
dan Kami perpanjangkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan
anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.”
[Al-Israa’ 17.6]

Nas di atas memahamkan kepada
kita bahawa terusir dan terhinanya bangsa Yahudi dari Tanah Arab tidak
berterusan. Setelah merempat dari Semenanjung Tanah Arab, setelah
terusir dari bumi Andalus, bangsa Yahudi ini kembali bangun berkuasa
dan mengalahkan “mereka” iaitulah umat Islam yang suatu ketika
dulu telah menunduk dan menamatkan fasad pertama mereka. Ia adalah
pertembungan gelombang kedua. Namun kali ini mereka berkuasa
bukanlah dengan kekuatan dari sumber mereka sendiri. Sebaliknya melalui
sokongan pihak ‘luar’ berupa harta kekayaan, senjata dan anak pinak
serta pasukan penyokong yang ramai. Kerana itulah Allah SWT menggunakan
lafaz (
ﻢﻛﺎﻧﺪﺪﻣﺃﻮ
)
iaitu “Kami perpanjangkan sokongan” sebagai mengisyaratkan kekuatan
sumber ekonomi dan tenaga manusia kepada Yahudi di era kerosakan kedua
mereka itu adalah dari sumber luar.

Sesungguhnya kita hari
ini sedang berhadapan dengan fasad kedua Yahudi. Mereka sedang
menghancur binasakan bumi Syam, umat Islam dan dunia secara
keseluruhannya. Sifat takbur dan bongkak mereka berulang kembali. Dan
kini, Amerika Syarikat serta kuasa Barat menghulurkan segala macam
bantuan kepada Yahudi untuk mengekalkan kewujudkan mereka di bumi
Palestin. Yahudi hari ini menjadi kuasa besar dunia dan Amerika
Syarikat serta beberapa negara Eropah menjadi sumber kekuatannya.

Bacalah dengan lebih lanjut apa yang telah saya coretkan berkenaan dengan hal ini di bawah artikel MASA DEPAN PALESTIN DARI KACA MATA AL-ISRAA’ WA AL-MI’RAAJ .


sumber : http://www.saifulislam.com/ilmiah.html

Disebalik impian Zionis

Thursday, August 3rd, 2006


Oleh MASZLEE MALIK

 
STEPHEN Sizer, Elizabeth Barlow, Micheal Prior dan lain-lain
pengkritik Zionis Kristian tidak silap di dalam analisis-analisis
mereka. Bukan lagi sesuatu yang rahsia mengenai lobi Zionis Kristian ke
atas White House dan juga pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS),
George W. Bush.

Polisi-polisi luar AS berkaitan rejim Zionis Israel sering bersikap
lunak dan menyokong apa sahaja tindakan rejim tersebut. Maka tidak
hairanlah lebih 90 veto telah digunakan oleh AS untuk membatalkan apa
sahaja keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) berkaitan Zionis, termasuklah yang mutakhir ini berkaitan perang
ke atas Palestin.

Siapakah Zionis Kristian ini? Bukankah Zionis itu
sinonim kepada Yahudi di dalam mentaliti majoriti masyarakat dunia?
Jika anda semua berpendapat sedemikian, maka kita sebenarnya masih
belum lagi memahami big picture mengenai isu Palestin.

Zionis Kristian merupakan golongan yang bertanggungjawab menyebabkan
kemunculan gerakan Zionis dan juga negara haram Israel. Zionis Kristian
merupakan nama kepada sekumpulan Kristian Protestan yang mempunyai misi
mereka yang tersendiri. Di AS, golongan Avangelist merupakan tonggak
kepada golongan Zionis Kristian ini. Golongan ini mempunyai satu
pegangan yang mereka berusaha sedaya upaya untuk menjayakannya.

Pegangan tersebut ialah mengenai “Kedatangan semula Jesus (Nabi Isa
a.s.)” ke muka bumi ini untuk membawa The Happy Milleneum (Seribu tahun
yang gembira).

Golongan Zionis Kristian percaya, kedatangan semula Jesus memerlukan
beberapa syarat. Tanpa syarat-syarat tersebut, Jesus tidak mungkin
muncul untuk membawa seribu tahun gembira yang dinanti-nantikan. Syarat
pertama yang perlu ada ialah ‘kepulangan kaum Yahudi’ ke bumi Palestin.

Bagi golongan ini, Jesus hanya akan muncul di Palestin jika kaum
Yahudi menetap di sana seperti kemunculannya buat kali pertama dahulu.
Kaum Yahudi yang menetap di sana juga perlulah menyediakan suasana
Palestin seperti mana sewaktu awal kemunculan Jesus dahulu. Mereka
perlulah berkuasa di bumi tersebut, membina Haychal (kuil) di tapak di
mana hari ini terdapat Masjid al-Aqsa. Setelah itu sesuatu peperangan
besar akan berlaku di antara kaum Yahudi tersebut dengan bangsa Arab.
Peperangan ini merupakan peperangan besar yang melibatkan banyak nyawa
yang terkorban. Peperangan ini dinamakan sebagai peperangan
“Armagedon”. Selepas peperangan yang besar ini, maka pada saat itulah
Jesus akan muncul untuk membawa The Happy Milleneum.

Kekuasaan

Penghijrahan Yahudi ke bumi Palestin melalui usaha gerakan Zionis
Yahudi dan juga kerajaan Great Britain di awal kurun ke-20 merupakan
hasil usaha Zionis Kristian. Sir Arthur Belfour dan juga
pegawai-pegawai kerajaan British pada waktu itu kebanyakannya merupakan
penganut fahaman Zionis Kristian. Selepas kekuasaan dunia beralih ke
AS, golongan Zionis Kristian juga telah terarah ke sana untuk
menjayakan agenda mereka. Hasilnya, tertubuhnya negara haram “Israel”.
Dengan tertubuhnya “Israel”, kegilaan Zionis Kristian semakin
menjadi-jadi dan semakin diikuti oleh kebanyakan penganut Avangelist.

Kepercayaan mereka bahawa kedatangan Jesus semakin hampir juga turut
bertambah kuat. Peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim
Zionis juga menjadikan sokongan dan pengaruh golongan ini semakin kuat
di AS. Hasilnya, bantuan kepada projek rejim Zionis, sama ada dari segi
dana, politik, media, moral dan juga kemanusiaan juga turut bertambah.

Berdasarkan latar belakang inilah kita tidak akan berasa pelik
dengan polisi AS terhadap peperangan yang dilancarkan oleh rejim Zionis
ke atas rakyat Palestin dan juga rakyat Lebanon. Berhujahkan alasan
Israeli Right of Self Defence, mereka memberikan justifikasi kepada
semua tindakan kejam dan ganas rejim Zionis ke atas rakyat Palestin dan
Lebanon. Bagi mereka, kewujudan “Israel” amat penting kepada akidah
golongan yang telah menaja kebanyakan anggota Kongres AS untuk berada
di atas kerusi empuk mereka.

Demonstrasi 17 Julai di New York untuk menyokong tindakan ganas
rejim Zionis ke atas Lebanon merupakan satu lagi manifestasi perjuangan
golongan Zionis Kristian. Melalui usaha mereka dengan bantuan
agensi-agensi dan juga pertubuhan-pertubuhan Yahudi pro-Zionis, mereka
telah cuba mewujudkan public opinion untuk menyokong tindakan rejim
Zionis.

Pada minggu lepas sahaja, United Jewish Communities telah berjaya
mengutip AS$1 juta (RM3.7 juta) daripada kalangan golongan Yahudi dan
juga pro-Zionis untuk diserahkan kepada rejim Zionis sebagai tanda
solidariti. American Jewish Joint Distribution Committee, salah sebuah
pertubuhan berpengaruh di AS juga turut menyediakan program-program
untuk menyelamatkan kanak-kanak Yahudi di “Israel” untuk menghadapi
situasi peperangan. Di Texas, golongan Zionis Kristian telah
menganjurkan demonstrasi yang serupa untuk menunjukkan sokongan
terhadap keganasan rejim Zionis.

Judeo-Christian Alliance (JCA) di Washington juga sedang merancang
satu demonstrasi besar-besaran untuk menggesa Bush agar terus menyokong
tindakan ganas rejim Zionis. Paderi John C Hagee, salah seorang
pemimpin Zionis Kristian, ketika diwawancara oleh islamonline.net
menyatakan, peperangan tersebut adalah peperangan suci dan telah
dijanjikan oleh Tuhan. Sebarang sokongan terhadap keganasan Zionis
menurutnya adalah akhlak yang murni dan juga “kerja kebajikan” yang
dipuji oleh kitab Injil. Beliau juga turut menggesa rejim Zionis agar
melancarkan peperangan ke atas Iran yang dianggap sebagai musuh mereka
yang sebenar. American Israel Public Affairs Committee yang merupakan
lobi terkuat Zionis di Kongres AS turut berterima kasih kepada Hagee di
atas sokongan beliau.

Mereka juga telah menyokong veto AS di Majlis Keselamatan membantah
usaha sesetengah pihak untuk menggesa rejim Zionis daripada mengenakan
tekanan dan kekejaman ke atas rakyat Palestin baru-baru ini. Kini,
mereka dalam usaha memastikan agar Bush dan juga kerajaannya akan
berterusan menyokong segala tindakan ganas rejim Zionis.

Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah sikap AS. AS bukan hanya
sekadar menyokong tindakan ganas rejim Zionis, malah mereka dilihat
begitu bernafsu untuk melibatkan Syria dan Iran agar turut dihukum.
Bukankah dengan penglibatan kedua-dua buah negara tersebut akan
menyebabkan peperangan yang amat besar dan akan melibatkan banyak lagi
pihak? Atau itu merupakan salah satu usaha AS untuk mengheret rantau
tersebut ke dalam peperangan yang lebih besar?

Mungkin persoalan yang timbul, apakah keuntungannya? Sudah tentu
jawapannya ialah Armagedon yang mereka nanti-nantikan yang akan
menyaksikan kemunculan Jesus setelah peperangan tersebut selesai.

Petikan: Utusan Online

Cintailah Ilahi

Wednesday, August 2nd, 2006


Rasa cinta

Adalah satu anugerah tuhan pada hambaNya

Dan kerananya manusia sanggup apa saja

Asalkan dia memiliki apa yang dicita

Kerna cinta

Sanggup berkorban apa saja, harta dan nyawa

Setiap detik hanya memikirkan tentang si dia yang tercinta

Ingin bersama sepanjang masa

Tetapi pastikah cintamu dihargai

Mungkinkah si dia ?kan tetap setia

Setelah kau serah jiwa dan ragamu

Mungkinkah kau pastikan tidak ?kan dihancurkan

Jika kau mencintai bunga

Sedarlah engkau bunga itu ?kan layu

Jika kau cintakan manusia

Sedarlah suatu hari dia ?kan pergi

Jika kau mencintai harta

Harta itu nanti kau akan tinggalkan

Jika kau mencintai Ilahi

Hanya Dia yang akan kekal abadi

Cintailah Ilahi