Disebalik impian Zionis


Oleh MASZLEE MALIK

 
STEPHEN Sizer, Elizabeth Barlow, Micheal Prior dan lain-lain
pengkritik Zionis Kristian tidak silap di dalam analisis-analisis
mereka. Bukan lagi sesuatu yang rahsia mengenai lobi Zionis Kristian ke
atas White House dan juga pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS),
George W. Bush.

Polisi-polisi luar AS berkaitan rejim Zionis Israel sering bersikap
lunak dan menyokong apa sahaja tindakan rejim tersebut. Maka tidak
hairanlah lebih 90 veto telah digunakan oleh AS untuk membatalkan apa
sahaja keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) berkaitan Zionis, termasuklah yang mutakhir ini berkaitan perang
ke atas Palestin.

Siapakah Zionis Kristian ini? Bukankah Zionis itu
sinonim kepada Yahudi di dalam mentaliti majoriti masyarakat dunia?
Jika anda semua berpendapat sedemikian, maka kita sebenarnya masih
belum lagi memahami big picture mengenai isu Palestin.

Zionis Kristian merupakan golongan yang bertanggungjawab menyebabkan
kemunculan gerakan Zionis dan juga negara haram Israel. Zionis Kristian
merupakan nama kepada sekumpulan Kristian Protestan yang mempunyai misi
mereka yang tersendiri. Di AS, golongan Avangelist merupakan tonggak
kepada golongan Zionis Kristian ini. Golongan ini mempunyai satu
pegangan yang mereka berusaha sedaya upaya untuk menjayakannya.

Pegangan tersebut ialah mengenai “Kedatangan semula Jesus (Nabi Isa
a.s.)” ke muka bumi ini untuk membawa The Happy Milleneum (Seribu tahun
yang gembira).

Golongan Zionis Kristian percaya, kedatangan semula Jesus memerlukan
beberapa syarat. Tanpa syarat-syarat tersebut, Jesus tidak mungkin
muncul untuk membawa seribu tahun gembira yang dinanti-nantikan. Syarat
pertama yang perlu ada ialah ‘kepulangan kaum Yahudi’ ke bumi Palestin.

Bagi golongan ini, Jesus hanya akan muncul di Palestin jika kaum
Yahudi menetap di sana seperti kemunculannya buat kali pertama dahulu.
Kaum Yahudi yang menetap di sana juga perlulah menyediakan suasana
Palestin seperti mana sewaktu awal kemunculan Jesus dahulu. Mereka
perlulah berkuasa di bumi tersebut, membina Haychal (kuil) di tapak di
mana hari ini terdapat Masjid al-Aqsa. Setelah itu sesuatu peperangan
besar akan berlaku di antara kaum Yahudi tersebut dengan bangsa Arab.
Peperangan ini merupakan peperangan besar yang melibatkan banyak nyawa
yang terkorban. Peperangan ini dinamakan sebagai peperangan
“Armagedon”. Selepas peperangan yang besar ini, maka pada saat itulah
Jesus akan muncul untuk membawa The Happy Milleneum.

Kekuasaan

Penghijrahan Yahudi ke bumi Palestin melalui usaha gerakan Zionis
Yahudi dan juga kerajaan Great Britain di awal kurun ke-20 merupakan
hasil usaha Zionis Kristian. Sir Arthur Belfour dan juga
pegawai-pegawai kerajaan British pada waktu itu kebanyakannya merupakan
penganut fahaman Zionis Kristian. Selepas kekuasaan dunia beralih ke
AS, golongan Zionis Kristian juga telah terarah ke sana untuk
menjayakan agenda mereka. Hasilnya, tertubuhnya negara haram “Israel”.
Dengan tertubuhnya “Israel”, kegilaan Zionis Kristian semakin
menjadi-jadi dan semakin diikuti oleh kebanyakan penganut Avangelist.

Kepercayaan mereka bahawa kedatangan Jesus semakin hampir juga turut
bertambah kuat. Peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim
Zionis juga menjadikan sokongan dan pengaruh golongan ini semakin kuat
di AS. Hasilnya, bantuan kepada projek rejim Zionis, sama ada dari segi
dana, politik, media, moral dan juga kemanusiaan juga turut bertambah.

Berdasarkan latar belakang inilah kita tidak akan berasa pelik
dengan polisi AS terhadap peperangan yang dilancarkan oleh rejim Zionis
ke atas rakyat Palestin dan juga rakyat Lebanon. Berhujahkan alasan
Israeli Right of Self Defence, mereka memberikan justifikasi kepada
semua tindakan kejam dan ganas rejim Zionis ke atas rakyat Palestin dan
Lebanon. Bagi mereka, kewujudan “Israel” amat penting kepada akidah
golongan yang telah menaja kebanyakan anggota Kongres AS untuk berada
di atas kerusi empuk mereka.

Demonstrasi 17 Julai di New York untuk menyokong tindakan ganas
rejim Zionis ke atas Lebanon merupakan satu lagi manifestasi perjuangan
golongan Zionis Kristian. Melalui usaha mereka dengan bantuan
agensi-agensi dan juga pertubuhan-pertubuhan Yahudi pro-Zionis, mereka
telah cuba mewujudkan public opinion untuk menyokong tindakan rejim
Zionis.

Pada minggu lepas sahaja, United Jewish Communities telah berjaya
mengutip AS$1 juta (RM3.7 juta) daripada kalangan golongan Yahudi dan
juga pro-Zionis untuk diserahkan kepada rejim Zionis sebagai tanda
solidariti. American Jewish Joint Distribution Committee, salah sebuah
pertubuhan berpengaruh di AS juga turut menyediakan program-program
untuk menyelamatkan kanak-kanak Yahudi di “Israel” untuk menghadapi
situasi peperangan. Di Texas, golongan Zionis Kristian telah
menganjurkan demonstrasi yang serupa untuk menunjukkan sokongan
terhadap keganasan rejim Zionis.

Judeo-Christian Alliance (JCA) di Washington juga sedang merancang
satu demonstrasi besar-besaran untuk menggesa Bush agar terus menyokong
tindakan ganas rejim Zionis. Paderi John C Hagee, salah seorang
pemimpin Zionis Kristian, ketika diwawancara oleh islamonline.net
menyatakan, peperangan tersebut adalah peperangan suci dan telah
dijanjikan oleh Tuhan. Sebarang sokongan terhadap keganasan Zionis
menurutnya adalah akhlak yang murni dan juga “kerja kebajikan” yang
dipuji oleh kitab Injil. Beliau juga turut menggesa rejim Zionis agar
melancarkan peperangan ke atas Iran yang dianggap sebagai musuh mereka
yang sebenar. American Israel Public Affairs Committee yang merupakan
lobi terkuat Zionis di Kongres AS turut berterima kasih kepada Hagee di
atas sokongan beliau.

Mereka juga telah menyokong veto AS di Majlis Keselamatan membantah
usaha sesetengah pihak untuk menggesa rejim Zionis daripada mengenakan
tekanan dan kekejaman ke atas rakyat Palestin baru-baru ini. Kini,
mereka dalam usaha memastikan agar Bush dan juga kerajaannya akan
berterusan menyokong segala tindakan ganas rejim Zionis.

Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah sikap AS. AS bukan hanya
sekadar menyokong tindakan ganas rejim Zionis, malah mereka dilihat
begitu bernafsu untuk melibatkan Syria dan Iran agar turut dihukum.
Bukankah dengan penglibatan kedua-dua buah negara tersebut akan
menyebabkan peperangan yang amat besar dan akan melibatkan banyak lagi
pihak? Atau itu merupakan salah satu usaha AS untuk mengheret rantau
tersebut ke dalam peperangan yang lebih besar?

Mungkin persoalan yang timbul, apakah keuntungannya? Sudah tentu
jawapannya ialah Armagedon yang mereka nanti-nantikan yang akan
menyaksikan kemunculan Jesus setelah peperangan tersebut selesai.

Petikan: Utusan Online

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.