Kelampaun dalam budaya

- Azizi Hj Abdullah

Apabila
selesai acara yang bermula jam 10.30 pagi hingga petang tentang
perkahwinan Siti Nurhaliza dengan Datuk K, ia sebenarnya bukan hari
terakhir sebuah kehidupan seorang artis tersohor dengan seorang ahli
perniagaan bergelar datuk. Seperti orang lain, perkahwinan tidak
bererti tidak berpisah, bercerai, bergaduh, cemburu, kegoncangan rumah
tangga. Sebaliknya selepas perkahwinanlah selalunya timbul tidak
sefahaman, cemburu, terikat, tak sporting, hodoh, atau apa yang
dinamakan dengan istilah lunak; tiada jodoh.

Sejarah artis yang
mabuk kepayang sebelum berkahwin, gelagat bercinta dan luahan rasa
dalam bentuk melampau sudah berlaku pada masa lalu. Tanpa bertujuan
memburuk-burukkan seseorang, perpisahan artis yang dulunya digambarkan
sebagai percintaan unggul dengan majlis perkahwinan melebihi ‘Royal Wedding’,
kini sudah berpisah dan jika diukur nilai belanja perkahwinan mereka
dahulu, kita menjadi bingung di mana hendak meletak keunggulan cinta
mereka dengan keangkuhan acara perkahwinan mereka.

Nilainya mampu mengubati seorang kanak-kanak penyakit kanser di luar negara.

Gambaran-gambaran
yang melampau ini telah menimbulkan persoalan, siapakah yang
bertanggungjawab meng ‘highlight’ isu ini? Adakah wartawan-wartawan
hiburan tidak tahu memilih sesebuah berita atau itulah sebuah ‘current issue’ atau sememangnya dikehendaki oleh artis terlibat untuk meningkatkan lagi ‘glamor’
mereka. Yang nyata kesannya ialah kepada masyarakat sehingga menganggap
isu-isu itu adalah isu negara, isu terpenting dan kadang-kadang
menenggelamkan teguran atau nasihat seorang mufti atau ulama.

Lebih parah lagi apabila isu-isu seperti ini di ‘highlight’,
menggambarkan masyarakat Melayu khususnya, gila kepada budaya
pembaziran, budaya kemegahan, budaya hiburan. Ia menggambarkan juga di
Malaysia ini orang-orang yang penting ialah golongan artis.

Kini,
isu percintaan, perkahwinan, persiapan ke arah majlis kenduri
perkahwinan Siti Nurhaliza, yang dianggap penyanyi nombor satu negara
dengan Datuk K melampaui isu-isu lain. Ia bukan saja mendapat
penonjolan di dalam akhbar perdana di muka hadapan, tetapi juga
mendapat liputan khas melalui TV, satu-satunya media elektronik yang
sangat memberi pengaruh. Pada satu ketika ia melebihi siaran langsung
pembentangan belanjawan atau lawatan perdana menteri. Apalagi ia
mengatasi kemalapan siaran langsung Majlis Tilawah Al-Quran.

Semua
liputan dan berita seolah-olah pasangan ini pasangan yang cukup
‘ideal’, melebihi percintaan Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, Uda
dan Dara dan kemegahan membina tugu cinta mereka sama dengan Shah Jahan
yang membina Taj Mahal. Tetapi masyarakat yang mabuk dengan isu ini,
yang menganggap artis adalah segala-galanya lupa beberapa sejarah pahit
yang memalukan. Bagaimanapun, masyarakat tetap bodoh oleh permainan
tulisan-tulisan wartawan hiburan dengan kata-kata; kami tetap berkawan.

Perkahwinan sememangnya baik dan seharusnya kita berdoa agar
pasangan (tidak saja artis) kekal jodoh sehingga akhir hayat. Tetapi
apabila dalam waktu yang sama kita melihat bagaimana keangkuhan,
keegoan, kelampauan (kadang-kadang dilebihkan oleh wartawan) kita
tertanya-tanya, adakah segala macam yang digembar-gembur itu menjadi
penting dan sepatutnya didedahkan?

Ia sudah menjadi riak,
takbur, membazir, melampau dan kadang-kadang sampai melanggar tata
susila hukum. Namun apa yang mendukacitakan, ulasan-ulasan dan paparan
dari wartawan hiburan seperti ini tidak mengambil kira hal-hal hukum.
Kerana mahu meng ’highlight’ kan orang-orang seumpama ini, mereka telah
meletakkan seperti dewa Hanuman yang turun ke dunia.

Sebagai
contoh, ambil saja isu percintaan, perkahwinan, majlis hantaran,
persiapan majlis kenduri Siti Nurhaliza dengan Datuk K. Contoh ini sama
sekali kita tidak meletakkan kesalahan, sangka buruk terhadap mereka.
Tetapi kita ingin bertanya; Mengapa hal sebegini terjadi?

Antaranya
ialah sebanyak tujuh kamera digunakan di Masjid Wilayah Persekutuan
bagi tujuan merakamkan upacara perkahwinan. Siaran secara langsung pula
dibuat. Pelamin diletakkan di dalam ruang masjid, satu-satunya rumah
ibadah. Seramai 30 krew produksi akan bekerja keras.

Sebelum
itu lawatan demi lawatan di Masjid Wilayah Persekutuan dibuat,
seolah-olah upacara Tilawah peringkat dunia hendak diadakan.

Memanglah
masjid sangat baik dijadikan tempat ijab qabul pernikahan. Tetapi
apabila ia menunjukkan seperti melampau, riak dan bermegah-megah,
menunjukkan kehebatan, apakah ia baik di sisi agama? Kita tidak tahu,
apakah ia mendapat restu dari pihak pentadbir agama dan masjid di situ?
Jika ia direstu dan diluluskan begitu mudah, alangkah malangnya
pemikiran sebegitu rupa kerana pihak bertanggungjawab juga terbawa-bawa
dengan budaya keglamoran artis-artis.

Bukan masanya lagi
apabila ada orang berkata, apa pun yang dilakukan oleh seseorang, itu
adalah hak mereka. Memang sesiapa pun boleh mengeluar hantaran RM1
juta, membelanja majlis perkahwinan RM1.5 juta, merancang akad nikah di
dalam kolah masjid atau sebentuk cincin bernilai RM3 juta. Bukan
masanya untuk kita berkata, jika dulu sebagai artis ia menjadi milik
masyarakat tetapi kini ia menjadi milik bla..bla..bla…

Tetapi
dalam masa yang sama, tidakkah kita merasa prihatin, sensitif dan peka
terhadap enam ratus kanak-kanak yang menghidap sakit jantung, yang
melanda kebanyakan keluarga berpendapatan rendah? Seperti Fariz, adakah
sama RM111,111.11 juta belanja mas kahwin dengan 6 milimeter jantungnya
yang berlubang?

Perlukah RM1.5 juta belanja kahwin, sedangkan
di sisi masyarakat kita kanak-kanak seperti Fariz memerlukan alat
mengepam dan proses pembedahan?

Apakah sesuai dengan masa,
apabila kita membuat hantaran tujuh dulang serba mewah, sedang di ceruk
desa dan kampung, ada tujuh ratus dulang hati-hati rakyat yang terbiar
menanti bantuan? Tergamakkah kita memakan juadah dan majlis santai
meraikan pengantin, tetapi dalam masa yang sama, ada mereka yang
menjerit kesakitan kerana luka dan berpenyakit kronik. Ada yang
menjelir lidah kerana tidak pernah merasa apa itu ‘Pizza’ atau KFC?

Memang
ini ia di sisi lain yang mungkin akan dijawab ia tidak ada kena
mengena. Tetapi itulah sebenarnya gambaran masyarakat kita. Jika ia
tidak dilakukan oleh pihak yang terlibat, siapakah pula yang
bertanggungjawab menggembar–gembur hal ini, sampaikan golongan seperti
ini dewa-dewi dari segala dewa-dewi?

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.