HIKAYAT 1 DALIH, 1001 PEPERANGAN
11 September 2006 menandakan genapnya 5 tahun peristiwa pelanggaran pesawat terbang ke atas bangunan World Trade Centre (WTC), sebuah mercu tanda kemegahan rejim Amerika Syarikat (AS). Walaupun tragedi ini telah lama berlalu, tetapi perhatian, pernyiaran, perbincangan dan respon yang diberi menunjukkan seolah-olah ianya seperti baru semalam berlaku. Inilah di antara kejayaan AS dalam membawa dunia untuk sentiasa memikirkan dan bersetuju dengan apa yang mereka lakukan rentetan dari peristiwa tersebut.
Seperti tahun0tahun yang lalu, tragedi ini akan diperingati di seluruh dunia sama ada dengan menyiarkan semula rakaman peristiwa, bertafakur beberapa minit, mengalungkan bunga-bunga di pusara, serta menangisi pemergian mereka yang telah terkorban termasuklah anjing kesayangan mereka. Peringatan sebegini dibuat oleh AS di dalam usaha mereka untuk cuba menunjukkan kepada dunia bahawa keganasan seperti ini patut dijadikan pengajaran agar tidak berulang di masa akan datang. Yang lebih tepat adalah peringatan tersebut sebenarnya ditujukan kepada rakyat AS khasnya dan penduduk dunia amnya agar sentiasa berwaspada terhadap Islam (Islamphobia) dan kaum Muslimin yang dianggap sebagai golongan ‘pengganas’.
‘Peringatan’ juga ditujukan khas kepada pemimpin-pemimpin kaum Muslimin yang tunduk kepada Barat agar berhati-hati dengan golongan yang ingin menegakkan semula Deen Allah di muka bumi ini kerana mereka ini adalah ‘pengganas’. Jika perlu, tangkap, penjara dan bunuh sahaja mereka. Tetapi bagi golongan yang mengamalkan cara hidup Barat, mengambil undang-undang dan sistem Barat, berpemikiran sekular dan liberal, mesti dijaga, malah diangkat setinggi-tingginya. Inilah kesan yang paling nyata selepas tragedi 9/11 di mana siapa sahaja dikalangan umat Islam yang tidak tunduk kepada kehendak rejim AS akan dianggap sebagai pengganas, tetapi mereka yang mengikut telunjuk mereka akan dianggap sahabat. Oleh itu, selagi ada golongan yang memusuhi AS, maka selagi itulah AS akan memanfaatkan tragedi 9/11 ini untuk menghapuskan umat Islam melalui dasar ‘Perang Melawan Keganasan’.