Mengawal atau mengunci nafsu?

Cerita yang akan saya bawa ini,
mungkin ada kaitan dengan mereka yang masih hidup atau yang telah mati.
Jika ada persamaan, ia adalah secara kebetulan semata-mata. Cerita ini
akan diolah seakan-akan ia menjadi kisah yang benar-benar berlaku.

Cerita ini akan berkait dengan watak si A. Cuba
gambarkan si A ini sebagai pelajar lelaki biasa, dan penampilan
agamanya kurang (dari segi pakaian yang paling jelas), tetapi dalam
masa yang sama dia tak berputus asa dalam membaiki amalan agamanya.
 

Situasi pertama. Pada suatu petang, A dan kawan-kawan
(kaum Adam) berjalan-jalan di sebuah kompleks membeli belah. Seperti
kebiasaan persekitaran yang wujud adalah amalan mungkar seperti
pendedahan aurat berleluasa. Namun bukan isu itu yang menjadi fokus
utama.

Semasa dalam perjalanan membeli belah, kawan A menegur A dengan
berkata, " Ala, kau jangan jadi hipokrit la….rezeki dah ada depan
mata, tengok je la, ko pun suka kan?"….

A hanya diam dan hanya dapat senyum kambing sahaja.

Situasi kedua. Pernah satu ketika A melihat sebuah drama bersiri
Korea bersama-sama kawannya(kaum Hawa dalam tempat yang tak boleh
menimbulkan fitnah). Dalam drama itu ada watak heroin dan watak
perempuan penggoda yang akan mengganggu hubungan cinta heroin tersebut.

Untuk watak penggoda, maka pelakon itu diperlukan untuk kelihatan
seksi, justeru kebanyakan aksesori pakaiannya adalah begitu mencabar
nafsu kaum yang bergelar Adam.

Babak pada waktu itu penggoda tampil, tapi bukan dengan pakaian
seksi. Apabila penggoda itu tampil, kawan A (kaum Hawa) pun
berkata,"Ha…ni mesti kau suka tengok, sebab perempuan ni memang suka
pakai seksi"….dengan nada yang sinis.

A pun menjawab…"Eh konfem la aku suka, mana ada lelaki normal yang tak tertarik dengan kecantikan wanita".

Situasi ketiga. Pada suatu hari A bertemu dengan seniornya. A
percaya padanya. Dan A senang berkongsi masalah dengannya. A mengatakan
padanya bahawa A mempunyai masalah tentang bagaimana untuk mengawal
nafsu.

Senior A ini adalah seorang yang amat praktikal dalam agama. Beliau
boleh menjadi ustaz, beliau boleh menjadi seorang kapten dalam
pasukannya dan beliau juga boleh menjadi seorang kawan yang baik.

Jawapan yang senior itu bagi adalah lebih kurang begini," Ala rilek
la, kau kan lelaki normal. Jangan bimbang la, selagi mana kau ada
perasaan salah ni maka kau masih lagi seorang hamba Allah yang baik.
Kau tak perlu mengunci nafsu.Kau kena pandai kawal nafsu. Iman pun
turun-naik".

Daripada ketiga-tiga situasi diatas, apa yang dapat kita simpulkan?

Apa yang ingin saya bawa disini ialah, manusia itu dibekalkan dengan
nafsu dan akal. Manakala iman itu perlu dicari. Jadi bagaimana
hubungkait antara ketiga-tiga elemen ini?

Orang yang pandai menggunakan akal, tapi tanpa bimbingan iman,
takkan ke mana. Iman adalah sesuatu yang bernilai, apabila iman itu
turun, walaupun kita sedar tentang perbuatan buruk itu, tetapi kita kan
lebih cenderung untuk meneruskannya.

Dalam situasi pertama. Kawan si A, beranggapan dengan mengikut hawa
nafsu, maka kita takkan menjadi hipokrit. Mungkin maksud dia adalah,
jangan disangkal kehendak nafsu. Oleh kerana si A dan kawan-kawannya
terdiri dari golongan biasa(bukan golongan ustaz), maka kawan si A
mengeluarkan pendapat sedemikian.

Dalam situasi kedua. Kawan si A (kaum Hawa), menegur A dengan nada
yang sinis. Mungkin dia beranggapan bahawa lelaki yang kurang alim
penampilannya memang suka melihat maksiat. Manakala lelaki yang alim,
tidak mempunyai nafsu.

Dalam situasi ketiga, senior si A memahami hubungkait diantara elemen akal, nafsu dan iman.

Manusia dibekalkan nafsu. Kita tak boleh menafikannya. Tetapi
manusia dibekalkan akal. Dalam masa yang sama tak ramai orang berjaya
mengawal nafsu hanya dengan bantuan akal semata-mata.

Akal sepatutnya digunakan untuk mencari hidayah dan taufik agar
kemanisan iman dapat dirasa. Apbila iman subur didalam jiwa, maka ia
dapat memandu akal untuk mengawal nafsu, dan bukannya mengunci nafsu.

Akal tanpa panduan iman, mungkin akan cuba mengatasi nafsu dengan
mengunci nafsu. Adakah nafsu ini sesuatu yang buruk dan memang perlu
dikunci? Adakah Allah bagi nafsu kepada manusia hanya untuk dikunci?
Jadi, apakah tujuan dicipta Hawa dari jenis Adam itu sendiri?

Nafsu itu perlu dikawal. Bukan perlu dikunci. Disini saya tak akan
menyentuh bab-bab untuk mengawal atau mengunci nafsu secara terperinci.
Tetapi kepada para remaja yang berhadapan dengan masalah nafsu, jangan
mudah berputus asa kepada Allah. Allah ada berfirman dalam ayat 53-55,
Surah Az-Zumar yang mana maksudnya, Allah akan mengampunkan dosa-dosa
hambanya walaupun dosa itu begitu besar. Dan Allah juga menerangkan
tentang cara-cara mensucikan diri(untuk kembali padaNya), yakni dengan
berpandukan wahyu yang diturunkan.

Lihat betapa Allah tidak mahu hambaNya berputus harap dari Nya.
Allah bukan sahaja memberi peluang tetapi Allah juga memberi panduan
tentang macam mana untuk kembali padanya. Bukankah ini satu motivasi
yang paling berharga?!

Begitu untungnya orang Islam mempunyai Tuhan Yang Maha Pengampun!

Note : dlm penulisan di atas hanya dikaitkan dgn nafsu seks namun bolehlah dianggap sbg wakil kpd nafsu2 lain. Sebabnya, istilah nafsu itu sendiri sudah meliputi sebarang perlakuan negatif yang ada pada manusia.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.