ITTIBA’ SALAF, SALAFI & MUTASALLIF : SIAPAKAH YANG KE SYURGA ?

ITTIBA’ SALAF, SALAFI & MUTASALLIF : SIAPAKAH YANG KE SYURGA ?

Membaca article tulisan Ustaz Zamihan di dalam utusan yang bertarikh 12 Febuari lalu[1],
pemikiran ini melayang mengingati kepada satu tulisan ilmiyyah
berkenaan hadis “tuntutlah Ilmu, walau ke negeri cina”, sebagai “ulasan
balik” dari kenyataan Mufti Perlis Muda di TV 1 bersama Johan Jaafar
yang lalu.

Tulisan beliau kali ini juga tidak kurang menariknya,
iaitu beliau membincangkan berkenaan “fahaman At-Tabdi’ yang telah
mengancam Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah”.

Membaca tulisan tersebut,
diri ini tidak berminat untuk mengulas, kerana, memikirkan secara
rasional, kebenaran sememangnya wujud di sebalik tulisan tersebut.

Walaubagaimanapun,
melayari laman web “al-ahkam” dan melihat ruangan forum dalam
membincangkan article ustaz Zamihan tersebut, aku mula merasakan betapa
dendamnya “geng-geng al-ahkam” kepada Ustaz Zamihan, sehinggakan ada
satu tulisan didalam forum tersebut menggunakan kalimah “pekak badak”
untuk di tujukan kepada ustaz Zamihan.

Mungkin aku adalah orang
baru dalam dunia “alam maya”, tetapi dalam jangka masa yang terlalu
singkat ini, aku dapat merasakan “geng-geng Al-Ahkam” merupakan antara
pengikut kuat Mufti Perlis Muda. Ditambahi pula mereka mendakwa mereka
adalah golongan “tajdid” yang sudah diketahui di peringkat universiti,
tetapi tidak diketahui di peringkat nasional.

Alasan dakwah
mereka adalah, mereka mendakwa mereka adalah golongan yang dikatakan
sebagai salafi, iaitu kelompok manusia yang mengikut golongan salaf
as-soleh.

Aku mula terfikir, mengapa mudah mendakwa bahawa
mereka adalah “mujaddid” sedangkan sesuatu gelaran itu tidak boleh di
berikan kepada diri sendiri.

Imam As-Syafii yang di kenali
kealimannya tidak pernah mendakwa dirinya sebagai “Al-Imam”, tetapi
disebabkan kealimannya yang telah di nilai oleh ulama-ulama mu’tabar,
menyebabkan beliau di gelar sebagai Al-Imam.

Imam Al-Bukhari
telah mengarang kitabnya yang masyhur yang bernama “sahih Al-Bukhari”
atau nama penuhnya “Al-Jami’ As-Sahih Al-Musnad min Hadith Rasulillah
SAW wa Sunanihi Wa Ayyamihi”. Kitab tersebut di isytiharkan
kesahihannya sehingga di iktiraf sebagai kitab kedua tersahih selepas
Al-Quran. Kesahihan kitab tersebut, bukanlah dari dakwaan Imam
Al-Bukhari sendiri, tetapi telah di iktiraf oleh Imam yang hebat juga,
iaitu Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Mu’in dan beberapa ulama
muktabar di zaman tersebut. ini di akui oleh Abu Jaafar Al-‘Aqili[2].

Kalau
seseorang itu dilihat sebagai Alim, tetapi tidak pernah diisytihar
kealimannya oleh orang alim juga, maka hakikatnya orang itu bukan orang
alim. Kealiman seseorang itu perlu di nilai dan di isytihar oleh orang
Alim juga, maka barulah orang itu dikatakan sebagai orang Alim.

Maka begitujugalah “mujadid”; siapakah yang mengisytiharkan bahawa gerakan mereka ini sebagai gerakan “Tajdid”?

Orang-orang arab terdahulu ada berkata;

إنما يعرف ذا الفضل من الناس ذووه

Maksudnya;
          “Hanyasanya mengenali orang yang mempunyai kelebihan daripada manusia adalah  orang yang ada kelebihan (juga)[3]

JANGAN JADI MUTASALLIF

Mutasallif
adalah kalimah yang dimasyhurkan oleh seorang ulama besar dari Negara
Mesir yang bernama As-Syaikh Zaki Ibrahim didalam bukunya yang bertajuk
“ ‘Usmah An-Nabi ”[4].

Mutasallif
adalah “isim Fail” yang memberi maksud “orang yang berpura-pura
salafi”, seperti kalimah “صائم” yang mengandungi makna “orang yang
puasa”, tetapi “متصوم” mengandungi makna “orang yang berpura-pura
puasa”.

Rata-rata golongan yang mendakwa mereka sebagai salafi,
apabila dilihat kepada amalan dan penghujahan dalil, di fahami bahawa
mereka bukanlah salafi, tetapi mereka adalah mutasallif. Ini kerana,
jika di perhatikan dari sudut penghujahan dalil, banyak hujjah-hujjah
mereka tidak “berpijak” kepada penghujahan yang tepat.

Mereka
sekadar beristidlal dari beberapa nas dan dalil, tanpa mempunyai
syarat-syarat “mustanbit” (orang yang layak mengeluarkan hukum).

Semasa
belajar di Mesir, aku tinggal bersama rakan-rakan dari Indonesia yang
mendakwa mereka sebagai salafi. Setelah berkawan dengan mereka beberapa
ketika, didapati mereka mudah mengeluarkan hukum dengan semata-mata
membaca beberapa ayat Al-Quran dan beberapa Hadis, sedangkan mereka
sendiri mempunyai kelemahan didalam memahami Bahasa Arab dari sudut
Nahu dan Sorofnya.

Pem“bidaah”an secara “membabi buta” tanpa melihat kepada perkara yang dibidaahkan merupakan amalan “mutasallif”, bukan salafi.

Ini
kerana, didalam pengajian Fiqh, mengetahui sesuatu yang hendak
dihukumkan itu perlu diketahui terlebih dahulu sebelum dijatuhkan hukum.

Kaedah fiqh;

الحكم على شيء فرع عن تصوره

Maksudnya;
          “Hukum atas sesuatu adalah satu furu’ daripada gambarannya[5]

Seorang
Tuan Guru yang buta; tidak pernah menonton TV semenjak di lahirkan; di
tanya berkenaan hukum menonton TV. Memandangkan sesuatu hukum yang
dijatuhkan perlu mengetahui terlebih dahulu benda yang hendak
dihukumkan, dia telah meminta dari “mustafti” (orang yang bertanya)
agar mendatangkan TV kepadanya.

Ketika TV berada didepannya, dia meraba-raba TV tersebut, dan dia tidak boleh menjatuhkan hukuman.

Apabila
dipasangkan TV tersebut, terbunyi bacaan Al-Quran, maka guru tersebut
terus mengatakan bahawa hukum menonton TV adalah sunat.

Melihat
kepada fatwa Tuan Guru Buta tersebut bahawa hukum menonton TV adalah
sunat adalah hukum yang tidak berapa tepat. Ini kerana, menonton TV itu
sendiri mempunyai berbagai-bagai kategori. Menonton AF tidak sama
hukumnya menonton Al-Kuliyyah. Menonton Malaysia Idol tidak sama hukum
menonton Forum perdana Ehwal Islam (walaupun hukumnya sudah hampir sama
sebab ahli penal perempuan sudah bertabarruj) dan sebagainya.

Mengharamkan
amalan bidaah yang dilihat oleh ulama sebagai bidaah dibawah kategori
amalan khilafiyyah juga bukan dari amalan salafi, tetapi ianya adalah
amalan mutasallif.

Ini kerana, sikap sebegini seakan-akan telah menafikan kaedah Fiqh yang menyatakan;

أن الإجتهاد لا ينقض بالإجتهاد

Maksudnya;
          “Sesungguhnya sesuatu Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan Ijtihad (yang lain)[6]

Imam
As-Sayuti menyatakan didalam kitabnya “Al-Asybah Wa An-Nazair” bahawa
sepertimana yang dinukilkan oleh Ibnu As-Sibagh, kaedah ini telah
diijmakkan oleh para sahabat. Sesungguhnya Abu Bakar (As-Siddiq) pernah
berhukum dalam sesuatu masalah. Hukuman tersebut telah menyalahinya
oleh Omar bin Al-Khattab[7].

SALAFI ADALAH MARHALAH MASA, BUKAN MAZHAB ISLAM

Kelahiran
kalimah “salafi” bukanlah satu perkara yang pelik, ini kerana, kalimah
tersebut merujuk kepada istinbat dari sabda Rasulullah SAW;

خير الناس قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم يأتي قوم تسبق أيمانهم شهادتهم وشهادتهم أيمانهم

Maksudnya;
“sebaik-baik manusia adalah pada zamanku, kemudian orang-orang
berikutnya, kemudian orang-orang berikutnya, kemudian orang-orang
berikutnya, kemudian datang satu kaum yang didahului sumpah mereka
daripada penyaksian mereka, penyaksian mereka adalah sumpah mereka[8]

Hadis
ini menerangkan kelebihan golongan yang terdahulu. Kelebihan mereka
adalah kerana mereka mempunyai “kehampiran masa” dengan Baginda SAW.

Ekoran
mereka merupakan golongan yang terawal, mereka memahami maksud Nabi SAW
dengan sebenar-benar pemahaman, tanpa perlunya mewujudkan “kaedah
pemahaman” atau “turuq Al-Istinbat” dari Al-Quran dan Al-Hadis.

Setelah
kewafatan Nabi SAW, perkembangan Islam telah berjaya memaut hati
manusia yang menganut pelbagai agama, maka Islam sudah di anuti oleh
bekas-bekas penganut agama seperti Nasrani, Yahudi, hindu dan
sebagainya.

Dengan perkembangan baik ini, golongan-golongan baru
dengan islam mula membandingkan agama ini dengan agama-agama anutan
mereka terdahulu sehinggakan lahirlah perdebatan di kalangan mereka
yang sebahagian besarnya melibatkan sahabat-sahabat baginda SAW sendiri.

Tidak
dinafikan juga, ada sebahagian dari penganut-penganut baru islam ini,
walaupun sudah memeluk Islam, tetapi mereka masih cenderung kepada
ajaran-ajaran lama mereka, sehinggakan ajaran yang mereka cenderungkan
itu di lebelkan sebagai Islam juga[9].

Ekoran
dari keadaan sebegini, menyebabkan lahirnya “kaedah-kaedah pemahaman”
atau “turuq al-istinbat” yang betul bagi memahami kehendak nas dengan
sebenar. Maka dengan demikian, lahirlah mazhab-mazhab didalam Islam
untuk memahamikan maksud sebenar yang dikehendaki oleh Nas-nas syarak.

Memahami
dari ulasan ini, salafi bukanlah satu mazhab islam, tetapi salafi
adalah satu marhalah masa yang mana di sana terdapat mazhab-mazhab
islam yang telah menyediakan “turuq al-Istinbat” bagi menjadikannya
sebagai “alat” untuk generasi akan datang dalam memahami nas-nas
syariat.

Dengan demikian, mendakwa diri ini sebagai “salafi” adalah salah, tetapi ungkapan yang paling tepat adalah “ittiba’ salaf”.

Mendakwa
diri ini sebagai bermazhab Salafi adalah satu kemungkaran dan jenayah
didalam syariat Islam yang dikategorikan oleh Dr Said Ramadhan Al-Buti
sebagai “BIDAAH” yang tidak di redhai oleh Allah[10].

PENUTUP

Ulasan
ringkas ini bukanlah untuk meremeh-remehkan dakwaan dari pihak
tertentu, tetapi ulasan ini sekadar untuk memberi gambaran sebenar
disebalik dakwaan tersebut.

Tulisan ini juga, bukan membela
tulisan Ustaz Zamihan dan meremehkan golongan yang menyanggahinya,
ataupun sebaliknya, tetapi tulisan ini adalah untuk mencari titik
pertemuan disebalik perselisihan antara kedua-dua kelompok.

Mudah-mudahan kita tidak berada dibawah kategori manusia yang dikatakan sebagai “Syok sendiri” dengan dakwaan kita.

Yang paling utama disisi kita adalah ;

Marilah kita melawan penjajah yang telah menjajah system kehidupan, pemikiran dan ilmu kita !!!!!!!!!

Takbir !!!!!!!!!

Sekian

Wallahu ‘Alam

darul-fiqh

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.