Menetapkan Amalan Pada Waktu-waktu Tertentu, Adakah Bid’ah?


Selalu juga perkara-perkara yang berkaitan dengan menetapkan amalan
pada waktu-waktu tertentu ini dijadikan sebagai alasan untuk membid’ah
sesuatu amalan. Berhubung dengan perkara ini ada dua situasi yang perlu
diambil perhatian:

1. Menentukan amalan pada hari-hari yang mempunyai kelebihan
tertentu. Dalam Islam sememangnya amalan seseorang itu kadang-kadang
Allah swt memberi ganjaran berbeza mengikut waktu yang berbeza. Sebagai
contoh yang jelas solat berjamaah lebih afdhal dari solat bersendirian,
puasa Sunat pada hari panas dan terik adalah lebih utama, bersedekah
pada bulan Ramadhan ganjarannya lebih besar, berpuasa pada bulan haram
lebih fadilatnya, hadir lebih awal ke masjid pada hari Jumaat lebih
besar pahalanya, terdapat satu ketika pada hari Jumaat yang doa
dimakbulkan ALlah dan lain-lain lagi. Kelebihan-kelebihan waktu
tersebut telah thabit daripada Rasulullah saw. Sehubungan dengan itu
ada dua kaedah beramal pada waktu-waktu yang telah thabit kelebihannya
berbanding waktu-waktu yang lain:

a. Beramal bersandarkan kepada nas-nas yang khusus tentangnya
seperti puasa pada hari kesepuluh Muharram, puasa pada hari Wukuf,
solat tarawih pada bulan Ramadhan dan lain-lain. Maka bila kita
melaksanakan puasa atau solat pada waktu-waktu tersebut perlulah
diniatkan dengan niat khusus seperti Puasa 10 Muharram dan 9 Zulhijjah,
solat tarawih dan lain-lain.

b. Beramal bersandarkan kepada nas-nas yang umum iaitu seperti solat
sunat atau puasa sunat atau zikir atau membaca al-Quran. Kesemua amalan
solat sunat, puasa sunat, zikir atau membaca al-Quran ini boleh
didirikan pada bila-bila masa kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan
oleh ALlah swt seperti solat sunat selepas subuh, puasa sunat pada hari
tasyrik, zikir secara lafaz dalam tandas dan membaca al-Quran sewaktu
berhadas besar. Oleh itu sekiranya kita ingin melakukan ibadat-ibadat
yang bersandarkan pada nas-nas umum seperti ini pada hari-hari yang
tertentu seperti malam Nisfu Sya’ban dan lain-lain, maka tidak boleh
diniatkan dengan niat khusus seumpama ’sahaja aku solat sunat Nisfu
Sya’ban’ sebaliknya niat ’sahaja aku solat sunat (mutlak) atau solat
sunat khusus yang lain. Demikian juga jika kita membaca Yaasin sebanyak
3 kali maka niatkan sebagai membaca al-Quran secara mutlak bukan
sempena Nisfu Sya’ban dengan harapan segala amalan tersebut dapat
membersihkan dosa kita pada malam yang dijanjikan keampunan oleh ALlah
swt. Sekiranya kita melipat-ganda amalan pada malam tersebut melebihi
malam yang lain maka tiadalah dilarang. Seperti juga pada 10 malam
terakhir bulan Ramadhan iaitu antara malam Lailatul Qadar, maka kita
berniat dengan niat membaca al-Quran, zikir atau solat yang tidak
disandarkan pada Lailatu Qadar. Tidak boleh berniat ’sahaja aku solat
sunat Lailatul Qadar’, kerana tidak ada solat sunat seumpamanya, tetapi
solat sunat (mutlak) atau solat-solat khusus seperti tahajud, witir dan
lain-lain. Moga-moga amalan yang dilakukan pada waktu-waktu yang
mustajab seperti Lailatul Qadar dan Nisfu Sya’ban itu pahalanya akan
lebih berlipat-ganda daripada membaca al-Quran, zikir dan solat sunat
pada waktu yang lain.


Maka jika kita beramal seperti kedua-dua cara di atas pada waktu-waktu
yang tertentu berdasarkan nas khusus dan nas umum, tidak boleh disebut
amalan-amalan tersebut bid’ah.

2. Menetapkan amalan untuk tujuan-tujuan yang baik seperti
mendisiplinkan diri, memupuk ukhuwah dan lain-lain selama mana tidak
menentukan niat khusus amalan dan balasan-balasan khusus tentang amalan
tersebut, maka ia adalah harus. Contohnya jika seorang yang berhasrat
untuk menghafaz al-Quran menentukan dia akan membaca surah-surah
tertentu selepas solat. Demikian juga menentukan membaca juzuk pertama
dalam solat-solatnya pada hari pertama setiap bulan kemudian membaca
juzuk kedua dalam hari kedua berikutnya sehingga habis 30 juzuk setiap
bulan dengan tujuan menjaga hafazannya, maka ia adalah diharuskan.
Begitulah juga membaca Yaasin pada malam Jumaat dengan tujuan
mendisiplin ahli-ahli Kariah dan memupuk ukhuwah selama mana tidak
menthbitkannya dengan amalan khusus, maka tiada menjadi satu kesalahan.


Wallahu’alam

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.