Archive for March, 2007

Keutamaan Zikrullah Dalam Amalan Seharian

Saturday, March 31st, 2007

Bermulanya
Ad-Din itu adalah mengenal Allah. Setelah mengenal Allah barulah kita
dapat mengingatiNya. Begitulah halnya bagi pengamal zikr Tarekat Ahli Sufi yang mana amalan zikr ini menjadi teras kepada segala ibadah ( ibadah khususiyah mahupun ibadat umumiyah).

Perintah supaya sentiasa mengingati Allah itu, adalah berdasarkan Al-Quran dan As-sunnah.

Antaranya adalah :

 

1. Firman Allah swt di dalam surah Al-Ahzab 41-42 :

 

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اذْكُرُو اللهَ ذِكْراً كَثِيراً. وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu mengingati Allah

dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya

di waktu pagi dan petang”.

 

2. Surah An-Nisa’ 103 :

 

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُوا اللهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى جُنُوبِكُمْ…

“Maka apabila kamu telah selesai akan solat (mu), ingatlah Allah

dikala berdiri, dikala duduk dan dikala berbaring…..”

 

Dan sunnah yang menjadi dalil supaya berzikr itu seperti :

 

3. Hadith dari At-Tarmizi dan Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-Hakim, dari Abu Darda’ (marfu’) :

 

أَلاَ
أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ وَأزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ
وَازْفَعِهَا فِى دَرَجَاتِكُمْ وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ
وَالْوَرَقِ وَخَيْرٍ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَنَضْرِبُوا
أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ. قَالُوا: بَلَى. قَالَ:
ذِكْرُاللهِ.

“Tidakkah kuberitahukan kepada kamu tentang amalmu yang paling

baik dan paling bersih disisi Tuhan-mu dan paling tinggi (mengangkat)

darjatmu, dan terlebih baik bagimu dari (berperang) melawan

musuh, lantas kamu memenggal batang leher mereka dan mereka pun

memenggal batang lehermu?” Para Sahabat pun menjawab : “Bahkan”.

Nabi saw pun bersabda : “Zikrullah”.

 

4. Hadith Muslim dari Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah saw telah bersabda :

 

مَا
جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِساً يَذْكُرُونَ اللهَ فِيهِ إِلاَّ حَفَّتْهُمُ
الْمَلاَئِكَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ
عِنْدَهُ

“Tiadalah
duduk sesuatu kaum (kumpulan) itu di dalam suatu majlis yang mana ada
zikrullah (mengingati Allah) di dalamnya melainkan (disebut) akan para
Malaikat mengelilingi dan rahmat meliputi mereka, dan Allah mengingati
mereka termasuk orang (yang dekat) disisi-Nya”.

 

5. Hadith al-Bukhari pula :

 

إِنَّ لِلَّهِ مَلاَئِكَةً يَطُوفُونَ فِى الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ فَإِذَا وَجَدُوا قَوْمًا

يَذْكُرُونَ اللهَ يُنَادُونَ هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ. قَالَ : فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِمْ

إِلَى السَّماءِ الدُّنيَا.

“Sesungguhnya
bagi Allah itu ada malaikat yang mengelilingi di jalan-jalan mencari
orang-orang yang berzikr. Apabila mereka mendapati satu kaum (kalangan)
yang berzikr kepada Allah, lalu mereka berseru : “Ayuh, mari kepada
hajat kamu”. Lantas Nabi saw bersabda : “Maka para Malaikat itu
mengelilingi (melindungi) mereka dengan sayap-sayapnya sampai ke langit
dunia”.

 

Hadith -2 yang menerangkan kelebihan zikr ini terlalu banyak.

 

Adapun zikr ini terbahagi kepada dua :-

 

a. zikr Jahr yakni Lisani (lidah)

b. zikr Sirr / Khafiy yakni Qalbi (hati)

 

Zikr Jahr ialah zikr menyebut “Allah Allah Allah” dengan lidah yang disertai dengan suara. Zikr ini

sukar
dilakukan secara berterusan kerana banyak halangan dari kesibukkan dan
pekerjaan-2 dunia, umpamanya ketika bercakap, sudah semestinya
menghentikan seseorang itu dari berzikr apatah lagi pada
perbuatan-perbuatan yang lain seumpamanya.

 

Manakala
zikr Sirr pula ialah zikr yang tidak bersebut, tidak bersuara dan tidak
pula berhurf malah dikenali juga sebagai zikr Khafiy yang bermaksud
(tersembunyi). Zikr Sirr ini merupakan tumpuan jasad (anggota tubuh
badan) dan ruh (hati) untuk melahirkan suatu perasaan dan ingatan
kepada yang Khaliq samada dalam keadaan sedar mahu pun fana (lenyap).
Zikr Sirr ini tidak akan tergganggu dengan pekerjaan harian walau apa
keadaan sekali pun atau di mana sahaja kita berada. Walaupun mata (dan
termasuk anggota jasad yang lain) sedang nyenyak tidur tapi hati tetap
berzikr tanpa henti pada setiap saat.

 

Oleh
kerana itulah pengamal Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidi memilih zikir
Sirr ini, kerana peranan hati (qalbi) dalam kehidupan adalah sangat
penting. Hati adalah tempatnya pancaran cahaya dan penuh dengan
kerahsiaan. Para sufi mengumpamakan hati ini sebagai raja manakala
batang tubuh (badan) sebagai kerajaannya dan anggota-anggota tubuh pula
(mata, telinga, lidah, tangan, perut, kaki dan termasuklah kemaluan itu
sendiri) merupakan rakyat dan tentera-tenteranya. Jika baik raja itu
maka baiklah kerajaannya serta baik pula pekerjaan rakyat jelata atau
tentera-tenteranya. Sekira jahat raja itu maka jahatlah keseluruhan
kerajaan serta rakyat jelata atau tentera-tenteranya sekalian. Lalu
melekatlah di dalamnya segala sifat-sifat yang tercela (mazmumah), maka
seluruh anggota jasad menjadi keji dan mungkar.

 

 

6. Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih kedua-duanya bahawa Rasulullah saw telah bersabda :

 

وإنّ فى الجسدِ مضغةً إذا صلحتْ صلح كلّه

وإذا فسدتْ فسدَ الجسدُ كلّه، ألا وهى القلْبِ


Dan sesungguhnya bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia
baik maka baiklah badan seluruhnya; dan apabila rosak (jahat) ia, maka
rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! Itulah hati “.

 

7. Seseorang tidak dianggap beriman sekiranya hati itu belum membenarkan sesuatu yang wajib diimani.

 

Di dalam himpunan hadith oleh al-Imam Nawawi dalam syarahnya Matan al-Arba’in :

 

لا يستقيمُ إيمانُ عبدٍ حتَّى يستقيمَ قلبه

“ Tidak lurus iman seorang hamba itu sehingga lurus (lebih dahulu) hatinya “.

 

8. Dan sesuatu ibadah pun tidak dikira sah selagi tidak disertai dengan niat di dalam hati.

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith di dalam kitab sahih kedua-duanya :

 

إنَّما الأعمال بالنّياتِ وإنما لكلّ امْرىءٍ ما نوى

“ Hanya segala amal itu dengan niat (hati) dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang diniatkan “.

 

Ijmak
ulama menyatakan bahawa amal anggota tidak diterima selagi tidak
disertai amal hati, sedangkan amal hati diterima meskipun tanpa amal
anggota.

 

Jika pekerjaan hati tidak diterima, nescaya tidaklah diterima iman seseorang kerana iman itu adalah percaya dengan hati.

 

Mengenai zikr dengan hati ini terdapat banyak dalil-dalil Al-Quran dan Hadith, di antaranya :

 

9. Firman Allah swt di dalam surah Al-Mujaadalah : 22

 

…أُلَآئِكَ كَتَبَ فِى قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ….

 


Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam
hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang
daripada-Nya “.

 

 

 

 

 

 

 

 

10. Surah Al-Hujurat : 3

 

إِنَّ
الَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصْوَاتَهُمْ عِندَ رَسُولِ اللهِ أُوْلآَئِكَ
الَّذِينَ امْتَحَنَ اللهُ قُلُوبَهْم لَِلتَّقْوَى لَهُم مَّغْفِرَةٌ
وَّأَجْرٌ عَظِيمٌ

 


Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulillah
dan mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah
untuk bertaqwa, maka bagi mereka ampunan dan pahala yang besar “.

 

11. surah Al-A’raf : 205

 

وَاذْكُرْ
رَّبَّكَ فِى نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَّخِيفَةً وَّدُونَ الْجَهْرِ مِنَ
الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالأَصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

 


Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa
takut, dan dengan tanpa mengeluarkan suara, di waktu pagi dan petang
dan janganlah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang lalai “.

 

Adapun hadith-hadith yang menyebut tentang zikr Sirr ini diantara lainnya ialah :

 

12. Hadith al-Baihaqi dari Aisyah, bahawa Rasulullah saw telah bersabda :

 

يفضل
الذكر على الذكربسبعين ضعفاً إذا كان يوم القيامة رجّع الله الخلائق إلى
حسابه وجاءت الحفظة بما حفظوا وكتبوا. قال الله تعالى : انظروا هل بقى
لعبدى من شىءٍ. فيقولون : ما تركنا شيئاً ممّا علمناه وحفظناه إلاّ وقد
أحصيناه وكتبناه. فيقول الله تعالى : إنّ لك عندى حسنةً وأنا أجزيك به وهو
الذّكر الخفىّ.

 


Zikr yang paling afdhal (utama) dari segala zikr (zikr jahri) yang mana
ianya diberi tujuh puluh kali ganda (darjatnya). Apabila pada hari
kiamat kelak, Allah menghimpunkan semua makhluk-Nya ke tempat
perhitungan, Dan Malaikat Penjaga pun datang membawa apa yang mereka
jaga dan apa yang mereka catat. Allah pun berfirman kepada Malaikat
Penjaga :


Perhatikanlah, masih adakah sesuatu yang tertinggal dari hambaKu?’…Lalu
mereka pun menjawab : “ Tidak satu pun kami tinggalkan dari apa yang
kami ketahui dan apa yang kami jaga, melainkan kami batasi dan sudah
kami tulis dengan sebenarnya “. Maka Allah pun berfirman (kepada
hamba-Nya) : ‘ Sesungguhnya kebaikanmu ada pada-Ku Dan Aku akan
membalasnya. Kebaikanmu itu ialah zikr Khafiy.”

 

13. Hadith al-Bukhari dan lainnya menyatakan bahawa Nabi saw bersabda :

 

أنا غند ظنّ عبدى وأنا معه إذا ذكرنى. فإن ذكرنى فى نفسه ذكرته فى نفسى. وإن ذكرنى فى ملأٍ ذكرته فى ملأٍ خيرٍ منهم

 


Allah berfirman : Aku adalah di sisi dugaan hamba-Ku. Aku besertanya
apabila dia berzikr kepada-Ku. Maka jika ia mengingat Aku dalam
hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku. Dan jika ia
ingat kepada-Ku secara berjamaah, nescaya Aku ingat kepadanya dalam
kelompok berjamaah yang lebih baik daripada mereka “.

 

14. Hadith Abu ‘Uwanah, Sahih Ibnu Hibban dan al-Baihaqi :

 

خيرُ الذّكرِ الخفىُّ وخيرُ الرّزْقِ ما يكفى

 

“ Sebaik-baik zikr ialah zikr yang tersembunyi dan sebaik-baik rezeki adalah sesuatu yang mencukupi “.

 

15. Hadith al-Baihaqi :

 

الذّكرُ لا تسْمعه الحفظةُ يزيدُ على الذّكرِ الذى تسْمعه الحفظةُ بسبعين ضعفاً


Zikr yang tidak terdengar oleh Malaikat Penjaga melebihi dari zikr yang
didengar oleh Malaikat Penjaga, dengan tujuh puluh kali ganda “.

 

Begitulah di antara dalil-dalil yang menghendaki supaya kita memperbanyakkan zikr, terutama zikr Siir atau Khafiy ini.

 

16. Syeikh Abu Sa’id Al-Kharraz pernah menyatakan :

 


Apabila Allah swt hendak melindungi seseorang, maka dibukakan-Nya pintu
ingatannya (zikr). Jika kelazatan zikr telah terasa, maka dibukakan-Nya
pintu pendekatan (taqarrub) dan diangkatkan-Nya pula martabatnya di
hadapan manusia. Sesudah itu didudukkan-Nya di atas tauhid ( akidah
yang teguh) dan diangkatkan-Nya pula tabir (hijab), sehingga ia
mempunyai pandangan tembus (kasyaf). Kemudian dimasukkan-Nya ke dalam
Darul Fardaniah (alam penuh kerahsiaan). Tersingkaplah dinding jalal
(kemuliaan) dan ‘azmah (kebesaran). Tatkala pandangannya menembus ke
alam jalal dan ‘azmah, maka tinggallah dia tanpa dia. Pada waktu itu
jadilah ia Fana beberapa waktu, tenggelam dalam nikmat rahsia kebesaran
Allah swt dan terus dilindungi-Nya “.

 

17. Khalid bin Ma’dan menyatakan :

 


Seseorang (ahli zikr) itu mempunyai dua penglihatan diwajahnya. Dengan
penglihatan pertama itu (dua mata) ia dapat melihat dunia, manakala
penglihatan yang kedua yakni mata hati, dia dapat melihat sesuatu yang
ghaib yang dijanjikan Allah swt kepada hamba-Nya “.

 

 

 

18. Ahmad Ibnu Hadhrawaihi berkata :

 


Hati itu adalah wadah. Apabila telah penuh dengan kebenaran, maka
memancarlah cahayanya ke seluruh tubuh. Sebaliknya apabila penuh dengan
kebatilan maka seluruh kegelapan menyelubungi tubuhnya “.

 

19. Zunnurul Misri berkata :

 


Bertafakkur (zikr Sirr) sesaat lebih baik daripada beribadatnya manusia
dan jin. Apabila Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya
terdapat gambar-gambar dan patung-patung, maka mana mungkin saksi-saksi
kebenaran (syawahid) akan masuk ke dalam hati yang di dalamnya penuh
dengan hal-hal selain Allah?”

 

20. Syeikh Abu Hassan as-Syadzli menyatakan :

 

“ Sebesar zarrah amal dihati adalah seimbang dengan sebesar gunung amal dianggota “.

 

Jika
zikr dengan lidah diperkuat dengan zikr dalam hati, maka hal itu lebih
sempurna. Dan jika diperkuatkan lagi dengan menghadirkan pengertiannya,
maka hal itu lebih sempurna lagi. Jika berharap kepada Allah itu
dilakukan sepenuh hati dan ikhlas, maka itulah puncak zikr yang paling
tinggi.

 

Imam
Fakhrur Razi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan zikr lisan ialah
mengucapkan kalimat suci dengan lidah seperti bertasbih, tahmid dan
bertakbir serta menyebut ismuz-zat iaitu ‘ Allah, Allah, Allah ‘ adalah sebagai memuji akan keEsaan Allah Ta’ala.

 

Manakala
zikr Sirr/Khafiy (hati) ialah tafakkur mengingat Allah serta merenungi
rahsia-rahsia ciptaan-Nya secara mendalam dan mengintai-intai
(muraqabah) tentang zat, asma`, sifat dan af’al Allah Yang Maha Mulia.

 

Terdapat
satu lagi zikr yang dinamakan zikr Jawarih (anggota). Zikr ini
merupakan suatu bentuk penyerahan dan ketaatan dalam pengamalan.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa zikr tersebut terbahagi kepada tujuh
jawarih iaitu :

 

  1. Zikr mata dengan menangis.
  2. Zikr telinga dengan mendengar yang baik-baik.
  3. Zikr lidah dengan memuji Allah.
  4. Zikr tangan dengan memberi sedekah.
  5. Zikr badan dengan menunaikan kewajipan.
  6. Zikr hati dengan takut dan berharap.
  7. Zikr ruh dengan penyerahan diri kepada Allah dan rela.

 

Zikr
dengan lidah, hati dan jawarih dengan bertafakkur kepada Allah adalah
lebih baik dari berjihad Fi Sabilillah. Tetapi jihad Fi Sabilillah
adalah lebih baik dari zikr hanya dengan lisan sahaja.

 

Wallahu A’lam

Wasiat Luqmanul Hakim Kepada Anaknya

Tuesday, March 27th, 2007

  • Wahai
    anakku !  Elakkan dirimu dari membuat hutang kerana sesungguhnya dengan
    berhutang itu akan menjadikan dirimu hina diwaktu siang hari dan
    menjadikan dirimu gelisah di waktu malam hari.


  • Wahai
    anakku !  Sekiranya kedua ibubapamu memarahimu kerana sesuatu kesalahan
    yang telah kamu lakukan maka kemarahan kedua mereka itu adalah seperti
    baja untuk menyuburkan tanaman.

  • Wahai
    anakku !  Engkau akan dapat rasakan betapa beratnya ketika mengangkat
    batu yang besar atau besi yang padat tetapi ada yang lebih berat dari
    itu iaitu apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.


  • Wahai
    anakku !  Tidaklah dinamakan kebaikan sekalipun kamu sibuk mencari dan
    mengumpul ilmu pengetahuan tetapi tidak pernah mengamalkannya.
    Perbuatan ini tak ubah seperti seorang pencari kayu api yang sentiasa
    menambah timbunan kayunya sedangkan ia tidak mampu untuk mengangkatnya.


  • Wahai
    anakku !  Berhati-hatilah terhadap tutur tata dan bicaramu, peliharalah
    budi bahasamu dan sentiasalah bermanis muka nescaya kamu akan disenangi
    dan disukai oleh orang yang berada di sekelilingmu.  Perumpamaannya
    seolah mereka telah mendapat barang yang amat berharga darimu.


  • Wahai
    anakku !  Jika kamu mahu mencari sahabat sejati maka kamu ujilah ia
    terlebih dahulu dengan berpura-pura membuatkan ia marah terhadapmu.
    Sekiranya dalam kemarahan itu ia masih mahu menasihati, menyedarkan dan
    menginsafkan kamu, maka dialah sahabat yang dicari.  Jika berlaku
    sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.


  • Wahai
    anakku !  Bila kamu mempunyai teman yang karib maka jadikanlah dirimu
    sebagai seorang yang tidak mengharapkan sesuatu apapun darinya
    sebaliknya biarkanlah temanmu itu sahaja yang mengharapkan sesuatu
    darimu.


  • Wahai
    anakku !  Jagalah dirimu selalu supaya tidak terlalu condong kepada
    dunia dan segala kesenangan dan kemewahannya kerana Allah tidak
    menciptakan kamu hanya untuk kehidupan di dunia sahaja.  Ketahuilah
    tidak ada makhluk yang lebih hina selain dari mereka yang telah
    diperdayakan oleh dunia.


  • Wahai
    anakku !  Janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan,
    janganlah kamu berjalan jika tiada arah hala tujuan, janganlah kamu
    bertanya tentang sesuatu yang tidak memberi apa-apa faedah pun kepadamu
    dan janganlah kamu mensia-siakan hartamu pada jalan maksiat.


  • Wahai
    anakku !  Sesiapa yang bersifat penyayang sudah tentu dia akan
    disayang, sesiapa yang bersifat pendiam sudah tentu dia akan selamat
    dari mengeluarkan perkataan yang sia-sia.  Ketahuilah sesiapa yang
    tidak dapat menahan lidahnya dari mengeluarkan ucapan kotor, sudah
    tentu ia akan menyesal kelak.


  • Wahai
    anakku !  Bergaul dan berkawanlah dengan orang-orang yang soleh dan
    berilmu. Bukalah pintu hatimu dan dengarlah segala nasihat dan tunjuk
    ajar darinya.  Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah
    yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu
    disirami air hujan.


  • Wahai
    anakku !  Sesungguhnya kehidupan kita ini diibaratkan seperti sebuah
    kapal yang belayar di lautan dalam dan telah banyak manusia yang karam
    didalamnya.  Jika kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang
    bernama takwa, isi kandungannya ialah iman sedang layarnya pula ialah
    tawakal kepada Allah.


  • Wahai
    anakku !  Bila kamu menerima dua undangan majlis, satu majlis
    perkahwinan dan satu lagi majlis takziah kematian, maka utamakanlah
    majlis kematian kerana dengan menghadiri majlis ini akan mengingatkan
    kamu kepada kampung akhirat, sedangkan dengan menghadiri majlis
    perkahwinan akan mengingatkan kamu kepada keseronokkan dunia sahaja.


  • Wahai
    anakku !  Janganlah kamu terus menelan apa saja yang kamu rasa manis
    dan meludah setiap apa yang kamu rasa pahit.  Ingatlah, tidak semua
    yang manis itu akan menjadikan kita segar dan tidak semua yang pahit
    itu akan menjadikan kita segar.


  • Wahai
    anakku !  Janganlah kamu makan dengan terlalu kenyang yang
    berlebih-lebihan.  Sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari
    yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.


  • Wahai
    anakku !  Carilah harta di dunia ini sekadar keperluanmu sahaja dan
    nafkahkanlah hartamu yang selebihnya pada jalan Allah sebagai bekalan
    di akhirat.  Janganlah kamu membuat dunia ini kelak dirimu akan menjadi
    pengemis dan membebankan pula orang lain tetapi jangan pula kamu
    terlalu mengejar dunia sehingga terlupa bahawa kamu akan mati.
    Ketahuilah, apa yang kamu makan dan pakai itu semuanya dari tanah
    belaka.


  • Wahai
    anakku !  Jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu.
    Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka yang
    sebaiknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.


  • Wahai
    anakku !  Orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan
    dari orang yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan
    dari Allah tetapi bagi orang yang insaf dan sedar setelah menerima
    teguran maka dia lebih layak untuk mendapat kemulian dari Allah

  • Kewajipan bersiasah untuk kedaulatan Islam

    Sunday, March 4th, 2007

    ISLAM DAN SIASAH (POLITIK)

    Dari
    segi bahasa, Islam memberi maksud penyerahan diri. Adapun makna Islam
    dari sudut istilahnya terlalu banyak definisi yang dikemukakan oleh
    ulama.

    Jika membaca kitab karangan Dr Abdul Karim Zaidan yang
    bertajuk “Usul Ad-Dakwah”, beliau telah mendatangkan lebih enam
    definisi bagi Islam. Walaubagaimanapun, Dr Abdul Karim Zaidan telah
    menyatakan bahawa, Islam adalah sebuah agama yang berdasarkan kepada
    hadis jibril[1], iaitu sabda Nabi SAW sebagai jawapan dari persoalan
    jibril yang bermaksud;

    “Islam adalah, kamu bersaksi bahawa
    tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah
    Rasulullah, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, kamu berpuasa
    Ramadhan, haji di Baitullah sekiranya kamu mampu kepadanya”

    Hadis ini sebenarnya merupakan definisi Islam yang paling konprehensif bagi memahami islam yang sebenar.

    Bersyahadah
    bukan memahaminya dari sudut menyebutnya dengan lidah semata-mata,
    bahkan kandungan syahadah itu hendaklah difahami dengan meletakan
    ketauhidan yang tinggi pada Allah.

    Mengakui “uluhiyyah” Allah
    dan “Rububiyyah” Allah merupakan syarat keimanan seseorang yang
    mendakwa diri mereka sebagai mukmin. Menafikan salah satu dari
    kedua-dua tauhid ini atau menafikan kedua-duanya sekali, maka orang
    tersebut sudah dikira sebagai terkeluar daripada Islam.

    Sebagai
    muslim, kedua-dua tauhid ini perlu di serasikan dengan gerak kerja.
    Golongan ahl kitab yang telah terkeluar dari islam adalah berpunca dari
    mereka hanya mendakwa bahawa mereka mentauhidkan Allah dari sudut
    “uluhiyyah” Allah, tetapi dalam masa yang sama mereka menafikan
    “Rububiyyah” Allah SWT.

    Perkara ini jelas dengan tindakan
    mereka yang menafikan kenabian Nabi Muhammad SAW; yang telah ditetapkan
    oleh Allah sebagai Nabi akhir zaman. Dengan semangat kebangsaan Bani
    Israil yang terlalu menebal, sehinggakan mereka berani menkufuri Nabi
    Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

    Keadaan ini telah dinyatakan oleh Allah didalam firman-Nya yang bermaksud;

    “Sebahagian
    besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu
    kepada kekafiran setelah kamu beriman, karena dengki yang (timbul) dari
    diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran” (Surah
    Al-Baqarah : 109)

    Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa
    punca kedengkian bani Israil yang mahu nabi itu dari bangsa mereka,
    tetapi Allah telah memilih Nabi Muhammad SAW menjadi Nabi akhir zaman,
    menyebabkan mereka bukan sekadar mengkufuri Nabi SAW sahaja, bahkan
    mereka telah berusaha untuk memurtadkan orang-orang yang telah beriman
    dengan Allah dan Nabi SAW[3].

    Disebabkan sikap ahl kitab yang
    telah menafikan tauhid “rububiyyah” maka dengan demikian, tauhid
    “uluhiyyah” itu ternafi dari mereka, walaupun mereka mendakwa bahawa
    mereka mentauhidkan Allah dari sudut “uluhiyyah” sekalipun.

    BERSIASAH MERUPAKAN TUNTUTAN TAUHID

    Sesungguhnya
    Allah adalah tuhan yang maha adil kepada makhluknya. Keadilan Allah itu
    terbukti dengan mengutuskan Nabi-nabi bagi mendidik umatnya supaya
    menjalani kehidupan mereka dengan baik dan harmoni.

    Maka
    dengan demikian, Allah mendatangkan Al-Quran kepada Nabi SAW untuk
    disampaikan kepada umatnya bagi merealisasikan keadilan-Nya itu
    terhadap makhluk-makhluk.

    Al-Quran adalah sebuah kitab;
    merupakan panduan hidup manusia bagi mereka mendapat kehidupan yang
    baik. Maka dengan demikian, perlaksanaan Al-Quran perlu di usahakan
    supaya Al-Quran itu tidak sekadar menjadi bahan bacaan, teori,
    perbincangan mufti-mufti dan musabaqah sahaja, bahkan Al-Quran wajib di
    letakan pada tempatnya iaitu dilaksanakan didalam pemerintahan,
    kehidupan dan sebagainya

    Setelah kejatuhan khalifah osmaniyah
    di Turki pada tahun 1924 , maka umat sudah mula dijadikan sebagai
    “bahan buli” oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam sudah mula di jajah
    oleh musuh-musuh Islam dari semua segi, samada dari segi pemerintahan,
    pemikiran, ilmu dan sebagainya.

    Dengan keadaan sedemikianlah,
    berusaha kearah mendaulatkan Islam menjadi fardu Ain kepada seluruh
    umat Islam. Memberi maksud; apabila seseorang umat Islam tidak berusaha
    kearah itu, maka orang islam tersebut sudah berada didalam dosa.

    SIASAH ISLAMIYYAH (POLITIK ISLAM) DI MALAYSIA

    Malaysia
    adalah salah sebuah Negara yang tidak terketinggalan sebagai Negara
    yang pernah di jajah oleh musuh Islam. Walaupun penjajah telah
    meninggalkan negara, tetapi pemikiran, kepimpinan, system pemerintahan
    penjajah masih lagi kuat diamalkan di Negara ini.

    System
    kapitalis didalam ekonomi Malaysia merupakan antara bukti kukuh yang
    menyatakan bahawa Malaysia masih lagi kuat mengamalkan system
    pemerintahan penjajah. Maka dengan demikian, tidak pelik, kenaikan
    harga barang menjadi isu yang sering dibincangkan dikalangan rakyat
    Malaysia pada setiap tahun.

    System pemerintahan yang
    “merantingkan” atau “membirokan” agama menjadi sebagai bukti bahawa
    pemerintahan Negara ini berdasarkan kepada system penjajah.

    Maka
    dengan demikian, mengubah segala system penjajah ini merupakan sesuatu
    yang wajib. Walaubagaimanapun, apakah cara yang terbaik bagi menukarkan
    system penjajah tersebut kepada system Islam?

    Tidak ada cara
    lain, hendaklah di usahakan supaya kita berusaha kearah untuk
    menggantikan kepimpinan yang ada sekarang kepada kepimpinan yang
    berteraskan kepada Islam.

    Di Malaysia, kaedah yang paling baik
    untuk menukarkan kepimpinan tersebut adalah menggunakan kaedah
    pilihanraya yang berhajat kepada penubuhan parti-parti. Maka dengan
    kesedaran ini, lahirlah di Malaysia sebuah parti yang bernama PAS, atau
    Parti islam Se-Malaysia.

    Tindakan itu tidak bercanggah dengan Islam, kerana kaedah fiqh ada menyatakan;

    “tidak akan sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka melaksanakannya adalah sesuatu yang wajib[4]”.

    Ada
    sebahagian dari kalangan “agamawan” mendakwa bahawa, kaedah pilihanraya
    adalah bercanggah dengan Islam, dengan alasan bahawa kaedah tersebut
    telah “diciplak” dari barat.

    Perlu difahami, tidak semua
    kaedah barat perlu di tolak, bahkan selagi mana kaedah tersebut tidak
    bercanggah dengan nas yang qatii, maka kaedah tersebut boleh di terima.

    Juga perlu difahami, perlaksanaan kaedah pilihanraya bukanlah
    menunjukkan bahawa iktikad kepada fikrah barat, sebaliknya ia hanyalah
    merupakan wasilah, bukanlah merupakan maksud ataupun matlamat.

    Tidak
    semua perkara yang datang dari barat ditegah, ini kerana berdasarkan
    kepada sirah menunjukkan Rasulullah s.a.w sendiri pernah mengambil
    fikrah barat, yang mana ianya adalah seperti berikut;

    (a)
    Rasulullah menerima fikrah “menggali parit” dalam peperangan Ahzab,
    sedangkan fikrah menggali parit dalam peperangan adalah fikrah yang
    datang dari kalangan orang Farsi yang menganut agama majusi.

    (b)
    Rasulullah s.a.w telah menggunakan kepandaian orang musyrik yang
    ditawan dalam peperangan badar dengan mengajar membaca dan menulis
    kepada orang Islam yang buta huruf[5]

    Oleh yang demikian,
    tidak semua kaedah barat ditegah, bahkan dibenarkan kepada kita
    mengambil kaedah barat selagi tidak bercanggah dengan nas yang muhkam
    dan kaedah-kaedah syarak yang thabit.

    PENUTUP

    Menyokong
    dan mendokong PAS memberi makna, berusaha hendak menggantikan system
    pemerintahan penjajah kepada Islam. Maka dengan demikian, tindakan
    sedemikian adalah sesuatu yang wajib.

    Kepimpinan PAS terdiri
    dari manusia yang tidak ma’sum dari melakukan kesilapan, maka dengan
    demikian PAS menyediakan ruang untuk di kritik atas tujuan kemenangan
    Islam.

    Mengkritik dengan tujuan yang baik adalah sesuatu yang
    wajib. Adapun mengkritik untuk menjatuhkan dan merosakan PAS di samakan
    dengan menjatuhkan usaha hendak mendaulatkan Islam.

    Maka
    dengan demikian, semua kritikan perlu dilakukan, tetapi dilihat, adakah
    kritikan itu mahu membangunkan PAS atau mahu merosakan PAS.

    Jika
    kritikan itu bertujuan untuk merosakan PAS, maka dia sudah berada
    didalam lingkungan orang yang telah melakukan dosa, kerana mahu
    merosakan usaha untuk mendaulatkan Islam didalam pemerintahan Negara.

    Wallahu ‘Alam 

    Riba & Bentuknya dalam konteks semasa di Bank Konvensional

    Sunday, March 4th, 2007

    Oleh

    Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

    Bangunan Secantik Ini Bukanlah Tanda Kejayaan Umatnya Jika Masih Terlibat Dengan RIBA. Umum
    telah mengetahui bahawa antara perbezaan utama di antara Bank Islam dan
    Bank Konvensional adalah keterlibatan dengan Riba. Justeru bahagian ini
    akan mendedahkan secara ringkas dan padat berkenaan Riba dalam konteks
    semasa.

    Antara soalan yang kerap kali kita dengari berkaitan Riba adalah :

    • Apakah
      gambaran jelas bagi riba yang berlaku di dalam pengamalan Bank
      Konvensional hari ini dan mengapa ianya di haramkan oleh Islam?
    • Apakah pula yang di maksudkan bahawa riba adalah suatu penindasan dan menekan? Siapa yang ditindas sebenarnya?
    • Bagaimana mungkin sebuah Bank boleh meraih keuntungan tanpa mengenakan Riba?.

    Penulisan ini akan cuba mengupas ringkas semua persoalan yang dinyatakan tadi.

    1)     Apakah
    gambaran jelas bagi riba yang berlaku di dalam pengamalan Bank
    Konvensional hari dan mengapa ianya di haramkan oleh Islam?

    Sebenarnya bukan hanya Islam
    yang mengharamkan dan mengutuk amalan Riba, malah ia juga di haramkan
    di kalangan orang Yahudi. Larangan ini termakstub di dalam kitab mereka
    sama ada di dalam kitab undang-undang Talmud  ataupun Ibrani. (Rujuk
    bab Exodus ayat-ayat 22:35-37 menyebut : Janganlah engkau mengambil
    bunga wang atau riba daripadanya…)

    Adakah Ia Halal & Boleh di Bawa ke Dalam Kubur?    

    Selain itu Riba juga dicela oleh ajaran Kristian sebagaimana yang terdapat di dalam bab Luke 6:34-35. [1] 

    Riba dalam bentuk hari ini boleh berlaku dalam keadaan berikut :-

    1) RIBA DALAM PINJAMAN.

    Apabila seorang pelanggan
    datang ke sebuah Bank Konvensional atau sebarang Institusi Kewangan
    yang tidak menawarkan produk Islam; lalu ingin membuat pinjaman untuk
    :-

    • a- Membeli kereta ( Car Loan )
    • b- Membeli rumah ( Home Loan )
    • c- Mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft )
    • d- Membeli mesin dan alatan untuk syarikat ( Hire Purchase Loan )
    • e- Membuat pinjaman peribadi ( Personal Loan )

    Dalam proses pinjam meminjam
    di atas, proses pinjam meminjam antara kedua-dua pihak akan dibuat.
    Sebagai contoh di Bank Konvensional hari ini : atas permintaan si
    pelanggan B untuk membeli kereta, rumah, mendapatkan modal syarikat
    atau peribadi, Bank A memberi pinjaman RM 100,000 kepada pelanggan B,
    bagaimanapun sebagai imbalan balik kepada pihak Bank, mereka akan
    menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8 % (sebagai contoh)
    daripada jumlah pinjaman itu (RM 8,000) di bawah nama ‘interest’ bagi
    membolehkan pelanggan mendapat wang yang diperlukan.
    8 % ITULAH YANG DINAMAKAN RIBA AD-DUYUN JENIS AL-QARD. Sila lihat takrifan jenis riba ini sebelum ini. Semua jenis pulangan seperti ini adalah Riba secara sepakat ulama. [2]

    Jumlah faedah yang dicampur
    dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan pula mengikut bulan.
    Menurut hukum Islam, jumlah RM 8,000 yang diperolehi ini adalah
    merupakan hasil bank yang haram secara pasti. Pelanggan yang memberi RM
    8,000 tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan
    Riba.  Nabi SAW menyebut
     

    الآخذ والمعطي سوآء

    Ertinya : " Si pemberi (riba) dan si pengambil Riba adalah sama" ( Riwayat Muslim )

    Persoalannya : Mengapa pula ia di haramkan ? apa salahnya peminjam dikenakan Riba (interest) ? 

    Sebagai jawapan, ia diharamkan kerana :-

    • Eksploitasi kesusahan pelanggan :
      Hasil RM 8,000 itu sebenarnya diterima hasil daripada
      mengeksploitasikan kesusahan pelanggan. Iaitu, hanya pelanggan yang
      mempunyai keperluan kewangan mendesak terpaksa pergi ke Bank bagi
      mendapatkan pinjaman untuk merawati masalah kewangannya, tetapi dalam
      keadaan kewangannya mendesak, pihak Bank pula mengenakan bayaran
      tambahan (interest) atas pinjaman yang diberikan. Inilah yang dinamakan
      riba itu menekan dan menindas, di tambah pula apabila si pelanggan
      gagal membayar bayaran bulanan yang telah ditetapkan oleh pihak Bank.
      ketika itu, peminjam dikehendaki membayar penalti pula, penalti ini
      juga bersifat "compounding" (iaitu akan dimasukkan di dalam modal
      pinjaman dan akan berganda interestnya), ia adalah Riba yang menekan
      lagi menindas yang kelihatannya sudah menjadi kebiasaan dalam
      masyarakat.

    Perbezaan di Bank-bank Islam
    : Adapun, di dalam pengamalan perbankan Islam yang mengenakan sejumlah
    wang sebagai denda atau bayaran kos rugi (ta’widh atau ‘compensation’)
    yang dihadapi oleh Bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya
    kepada bank dalam waktu yang ditetapkan, pembaca perlu membezakan
    bayaran denda yang dikenakan oleh Bank-bank Islam dengan penalti oleh
    Bank Konvensional.

    Denda lambat bayar yang di kenakan oleh Bank Islam adalah berdasarkan proses jual beli secara bayaran ansuran manakala penalti Bank Konvensional adalah hasil dari kontrak pinjaman,
    maka apabila bayaran ansuran tidak dilangsaikan pada waktunya, ta’widh
    akan dikenakan. Ta’widh yang dikenakan oleh Bank Islam ini (menurut
    majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam
    pendapatan Bank Islam, malah mestilah di agihkan untuk tujuan kebajikan
    kepada orang miskin dan faqir sahaja. Inilah yang dilakukan oleh
    kebanyakkan Bank-bank Islam di Malaysia seperti Asian Finance Bank
    Berhad, Kuwait Finance House, Ar-Rajhi Bank dan RHB Islamic Bank Berhad.

    • Meruntuh Moral dan Akhlak :
      Faedah (interest) atau Riba yang dikenakan juga akan menyebabkan
      pudarnya akhlak mulia bantu membantu di dalam masyarakat, ia mengundang
      sikap orang yang berduit untuk menekan individu atau pihak yang
      memerlukan bantuan kewangan. Ini bakal menghancurkan sifat tolong
      menolong di antara manusia. Selain itu, ia bakal melahirkan masyarakat
      yang marah dan tertekan antara satu sama lain.
      [3]

    • Menyubur Sikap Si Kaya Malas Bekerja & Kurang Dinamik:
      Ia juga bakal melahirkan orang kaya atau Bank yang malas untuk bekerja
      keras bagi mencari keuntungan secara jual beli dan mengambil risiko,
      mereka akan mula berfikir mencari untung secara mudah, iaitu dengan
      memberi pinjam serta mengenakan interest. Lalu dengan cara ini mereka
      boleh mendapatkan untung dengan mudah sahaja. Islam tidak menerima konsep untung tanpa bekerja keras, dan Islam juga hanya menerima konsep :
       

    الغرم بالغنم

    Ertinya : " Ganjaran keuntungan adalah dengan menghadapi risiko" [4]

    Dan juga hadith :

    أن الخراج بالضمان

    Ertinya : "(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (dan jaminan barang yang dijual adalah selamat - bermakna tiada untung tetap dijanjikan)"  (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; As-Suyuti & Albani : Hasan)

    Menurut Dr Muhammad
    Az-Zuhayli menjelaskan lagi ertinya dengan katanya "sesungguhnya siapa
    yang yang menanggung kos dan risiko kerugian, maka merekalah yang layak
    mendapat manfaat atau keuntungan jika ada".
    [5] 

    Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi. Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram.

    Lihatlah bagaimana displin
    Islam dalam memastikan setiap individu menyumbang sesuatu kerja yang
    baik dan meningkatkan kualiti ekonomi.  Dengan wujudnya usaha-usaha
    sebegini bertambahlah peluang kerja, semakin meriahlah suasana ekonomi
    dan berkurangan jumlah pengangguran.

    Pinjaman Dalam Islam ?

    Perlu diketahui bahawa,
    disiplin Islam dalam perihal pinjam meminjam yang dibenarkan hanyalah
    pinjaman tanpa sebarang faedah. Sebagaimana di sebutkan dalam kaedah :
     

    كل قرض جرّ نفعاً فهو الربا

    Ertinya : "Setiap pinjaman yang membawa kepada sesuatu manfaat buat pemberi pinjam maka ia adalah Riba"  [6]

    Imam Ibn Quddamah pula berkata :

    كل قرض شرط فيه أن يزيده فهو حرام بغير خلاف

    Ertinya : "Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya untuk diberikan tambahan, maka ia adalah haram tanpa sebarang khilaf" [7]

    Justeru, tiada sebarang
    keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam dari
    aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara
    sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai
    Qardh Hasan (pinjaman tanpa sebarang ‘interest’ dikenakan kepada si
    peminjam).

    Islam amat menggalakkan pinjaman tanpa faedah ini sebagaimana disebut oleh Baginda SAW :

    " Pada malam aku dibawa ke syurga (semasa Israk Mi’raj), aku telah melihat tertulis di dalam pintu Syurga " Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali.."( Riwayat Ibn Majah)  

    Justeru, tiada sebarang
    keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam dari
    aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara
    sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai
    Qardh Hasan (pinjaman tanpa sebarang faedah riba dikenakan kepada si
    peminjam).

    2. RIBA DALAM AKAUN SIMPANAN DAN PELABURAN.

    Bagi menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti berikut :-

    Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-

    • Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
    • Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).

    Penjelasannya adalah seperti berikut :-

    • Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).

    Dalam akaun jenis pertama
    ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam "conventional fixed deposit
    account". Menurut kontrak dan perjanjian yang di tandatangani, pihak
    pengendali/Bank akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan
    wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang itu akan
    digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat
    yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk
    memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang
    kepada Bank untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal
    mahupun haram.

    Sebagai imbalan kepada para
    pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah
    tertentu (‘fixed interest’ atau ‘fixed return’) sebagai contoh 3 %
    untuk diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang
    modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 - 11 bulan, kadar
    faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada
    kebiasaannya Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar
    interest yang ingin diberinya.

    Ingin ditegaskan di sini
    bahawa, menurut Islam, kadar 3 % dari "fixed deposit account" tadi
    adalah Riba ‘Ad-Duyun’ dari jenis ‘Al-Qard’. Ini adalah kerana,
    sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, disiplin pelaburan Islam
    (iaitu Mudarabah atau Musyarakah) tidak boleh menentukan pulangan
    keuntungan di awal kontrak sama sekali. Hanya nisbah pembahagian
    keuntungan yang dibenarkan. Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).

    • Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).

    Manakala dalam Akaun Simpanan
    Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi terdapat Riba
    secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap
    sekitar 0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang
    dari pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan
    si pelanggan di anggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas
    pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu,
    hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar
    yang telah di tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun.
    Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan hasil penggunaan wang
    simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi, maka
    pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi
    kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira
    sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian
    Bank pasti bertambah dan membebankan.

    Justeru, penindasan berlaku
    dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di atas,
    sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba)
    atau pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).

    Akaun di Perbankan Islam

    Dalam pengurusan akaun secara
    Islam, suasananya adalah berbeza sama sekali, dimana semua pelanggan
    yang menyimpan wang di Islamic Akaun Islam ini boleh memilih sama ada
    ingin menggunakan:-

    • a) Akaun Simpanan atas asas Wadi’ah (simpanan biasa tanpa menggunakan konsep mudharabah);

    Dalam kontrak ini, pihak bank
    akan memastikan semua jumlah wang simpanan pelanggan adalah sentiasa
    selamat dan boleh di keluarkan pada bila-bila masa oleh pelanggan. Bagi
    memanfaatkan dan menanggung kos pengurusan simpanan ini, pihak
    pengurusan Bank-bank Islam biasanya akan menggunakan wang tersebut
    untuk tujuan pelaburan yang halal sahaja, tetapi pihak Bank akan
    menjamin pelanggan boleh mengeluarkan wangnya pada bila-bila masa serta
    akan menanggung segala kerugian jika berlaku. Sebagai menghargai
    pelanggan yang menyimpan wang ini sehingga membolehkan pihak Bank
    menjalankan operasi ekonomi dan perniagaan Islam, maka jika terdapat
    untung, pihak Bank akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang) kepada
    penyimpan sebagai tanda penghargaan.

    Bagaimanapun jumlah dan kadar
    pulangan dalam bentuk ‘hibah’ atau hadiah adalah terpulang kepada
    budibicara bank sepenuhnya, malah mungkin tiada sebarang hibah dalam
    keadaan tertentu. Jika ada pulangan, ia akan berubah-ubah menurut
    prestasi pernigaan yang dibuat oleh Bank Islam itu. Sekiranya hasil
    pelaburan menggalakkan, maka kebiasaannya penyimpan akan di beri
    "hibah" yang agak baik sebagai galakkan dan ucapan terima kasih kepada
    pelanggannya. Walaubagaimanapun hibah itu sama sekali tidak boleh
    dijanjikan oleh Bank dan tidak boleh pula dituntut oleh si pelanggan.
    [8]
    Oleh kerana itu, jika pelaburan mengalami kerugian, pihak penyimpan
    mungkin tidak akan diberi sebarang hibah, wang simpanan mereka juga
    tidak akan berkurangan. Ini lebih adil kerana :-

    • Pelanggan
      berpeluang mendapat hibah dalam keadaan wang simpanannya terjamin/tanpa
      risiko hasil pelaburan. Jumlah dan kadar hibah adalah sepenuhnya
      terpulang kepada budibicara bank. Bagaimanapun, biasanya pihak bank
      akan memberikan kadar hibah yang tinggi sedikit jika keuntungan
      diperolehi, demi menggalakkan minat pelanggan.

    • Bank
      juga tidak terpaksa membayar apa-apa kepada pelanggan jika tiada
      keuntungan. Justeru bank tidak teraniaya sama sekali berbanding Bank
      Konvensional.

    • Tiada
      sebarang Riba terbabit di dalam akaun ini dan semua pelaburan yang
      dibuat adalah setelah dipastikan memenuhi kehendak Shariah.

    • b) Akaun Simpanan atas asas Mudarabah (perkongsian untung)

    Satu lagi produk di dalam
    pengamalan kewangan Islam di Bank-bank Islam adalah akaun pelaburan
    yang menggunakan konsep ‘Mudharabah’. Ia bermaksud pihak pelanggan
    ingin menyimpan wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama
    produk-produk untuk akaun ini seperti " Akaun Pelaburan Umum Mudarabah"
    atau "Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah" atau " Akaun Semasa
    Mudarabah".

    Menurut konsep ini pelanggan
    bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi mendapat
    peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya
    melaburkan wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan di
    tetapkan di peringkat awal seperti 70 % untuk pelanggan dan 30 % bank,
    80/20, 60/40 dan sebagainya.

    Satu perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang terkumpul hanya akan digunakan untuk :-

    • a) Dilaburkan untuk kegunaan perniagaan bank Islam yang telah dipastikan halal
    • b)
      Dilabur kepada pihak ketiga yang juga dipastikan perniagaannya halal
      untuk membiayai perniagaan mereka, semua perniagaan ini telah di tapis
      oleh Majlis Penasihat Shariah dan pengurusan bank. Justeru semua
      "Shariah-Approved companies" ini telah di pastikan dengan teliti
      ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua keuntungan yang bakal di
      perolehi adalah harta yang bersih.

    Urusan tapisan dibuat secara
    terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana "client-friendly",
    iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau "transparent" dengan
    "client".

    Ia mungkin akan membuat
    penilaian dari sudut "asset" mahupun "lialibilities" sesebuah syarikat,
    tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa
    Saham atau tidak. Secara umum penapisan "filter" Shariah berikut
    biasanya digunakan antaranya :-

    • i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)

    • ii-
      Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap
      hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai "impure interest
      income" berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )

    Adapun di Bank Konvensional,
    proses pengendalian akaun simpanan dan pelaburannya adalah amat
    berbeza, pertamanya ia tidak terikat dengan displin Shariah, akibatnya
    mereka pasti akan menumpukan pelaburan di dalam syarikat yang boleh
    memberi pulangan besar tanpa meninjau aspek pematuhan Shariah atau
    tidak.

    Selain itu, pembaca mestilah
    tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan oleh sesetengah
    akauan Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah kadar pulangan purata menurut prestasi lepas,
    ia di gelar "indicavtive Rates" atau "kadar andaian dan ramalan" dan
    bukannya kadar yang tepat dan dijanjikan oleh pihak bank, ia di
    paparkan demi mencapai keyakinan pelanggan terhadap prestasi pengurusan
    dan pelaburan Bank.

    Cara kiraannya yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-

    Cara Kiraan :-

    Untung Sebenar  = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) = Keuntungan setahun

                                                          100

    Katakanlah kadar keuntungan bank adalah 3, justeru "indicative" atau andaiannya seperti berikut :-

    3 X 70 (pelanggan) = 2.10

    100

    Maka, jumlah 2.10 % inilah
    yang akan di paprkan oleh Bank bagi memaparkan prestasi akan datang
    Bank. Ia hanyalah andaian dan tidak menjadi kewajiban bagi Bank
    memberikan pulangan dengan kadar di atas.

    Perlulah sedari, seseorang
    yang menyimpan atau melabur wangnya di dalam akaun di bank konvensional
    pastinya akan mendapat saham keburukan hasil sokongan langsungnya dari
    wang depositnya itu, sama ada mereka menyedarinya atau tidak.

    Sekian

    Ust Zaharuddin



    [1] Tahrim ar-Riba wa Tanzim Iqtisadi oleh Syeikh Muhd Abu Zahrah 

    [2] Fawaid Al-Bunuk Hiya Ar-Riba Al-Haram, Al-Qaradawi, Muassasah Ar-Risalah, hlm44, 

    [3]
    Tahrim ar-Riba, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, hlm 55 ; Ar-Riba wal
    Mua’malat al-Masrafiah, ibid, hlm 167 ; Hikmatu at-Tasyri’ al-Islami fi
    Tahrim ar-Riba, Dar as-Sahwah, cet 2, 1407 H, hlm 63 ( dengan pindaan
    dan tambahan) )

    [4] Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, An-Nadawi, Dar al-Qalam, hlm 343

    [5] Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Az-Zuhayli, hlm 494

    [6]
    Naylul Awtar, As-Syawkani, 5/232 ; Nasb ar-Rayah, az-Zayla’ie, 4/60 ;
    Ramai yang menyebut ia adalah hadith Nabi, tetapi setelah dianalisa,
    terdapat perawinya bernama Sawwar Bin Mus’ab  yang lemah dan di anggap
    "matruk". Bagaimanapun makna yang terkandung di dalamnya disepakati
    penerimaannya di kalangan ulama kerana disokong oleh pelbagai dalil lain

    [7] Al-Mughni, 4/318

    [8] Al-Ma’ayir As-Shar’iyyah, AAOIFI, hlm  350

    Pelaburan Masa Kini

    Friday, March 2nd, 2007

    v"ABB Fund, Eaindex & Winlifund  Yang Diminati : Haram Lagikah ?
    Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
    www.zaharuddin.net

    Pelaburan
    melalui internet semakin popular hari ini, terutama di kalangan orang
    awam. Umat Islam tidak terlepas dari godaan pulangan tinggi yang
    ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini. Ini menjadikan penyertaannya
    begitu hebat dan menggunung hari demi hari.

    Tanpa memikirkan
    halal dan haram, atau hanya dengan kefahaman amat tipis tentang
    ‘nature’ sesuatu pelaburan itu dari kaca mata Islam, mereka
    berbondong-bondong menyertainya dengan ‘keyakinan’ ianya adalah halal
    atau sesetengahnya tiada endah berkenaan hukum, yang penting baginya
    adalah RM RM RM.

    ‘Keyakinan’ palsu ini kelihatan terserlah kesilapannya apabila tulisan-tulisan yang disiarkan di web saya http://www.zaharuddin.net/
    dan disebar luas oleh yang sukarelawan Islam tersedar melalui email dan
    yahoogroups yang pelbagai. Setelah meneliti pelaburan-pelaburan
    ‘favorite’ ini, ternyata hampir semuanya adalah tidak sah di sisi Islam
    secara sepakat ulama.

    Selain itu ternyata juga bahawa ianya
    tidak lain hanyalah ‘pinjaman dengan pulangan Riba’ belaka dan bukannya
    pelaburan yang sah atas dasar konsep ‘Mudarabah’ atau ‘Musharakah’ yang
    diredhai Allah SWT. Kali ini kita semak sama-sama beberapa isu asas
    dalam tiga dana pelaburan yang amat di ‘gilai’ oleh ramai. 

    Saya
    kira, mungkin ramai juga yang akan berhenti membaca artikel ini di sini
    akibat teruji dengan satu perasaan hebat di hatinya, bimbang akan
    ‘terbaca’ sesuatu yang tidak enak berkenaan pelaburan yang menjadi
    penyelesai masalah kewangan hidupnya. Apapun, saya tiada pilihan lain
    kecuali menyahut apa yang dikatakan oleh Nabi SAW « Berkata benarlah
    walaupun ianya pahit ».

    Saya juga ada mendengar terdapat
    beberapa indivdu utama pelaburan ini dengan sengaja mengatakan " Jangan
    tanya ustaz yang reti, nanti dijawabnya haram, tak pasal-pasal susah
    kita nak cari ahli" Bagi saya, ucapan ini tidak lain dari bercanggah
    dengan kehendak ALLAH SWt yang mengingatkan kita " Tanyalah kepada yang
    mengetahui jika kamu tidak mengetahui" dan juga ertin firman Allah SWT
    : " Wala yunabbi uka mishlu khabir" ertinya : "dan tiada yang dapat
    memberikan sesuatu jawab yang memuaskan seperti yang berpengalaman"  ABB Fund, Eaindex dan Winlifund  Semasa
    dihujani dengan soalan berkaitan pelaburan Em-Pay, saya juga dihujani
    dengan lebih lebat dengan soalan berkenaan ABB Fund, Winlifund dan
    Eaindex.

    Jika saya jumlahkan semuanya, semua soalan ulangan ini
    berjumlah lebih 150 kali kepada saya. Pada mulanya, ingin saya abaikan
    saja kerana kesibukan tugasan yang rencam, tetapi hari demi hari saya
    sendiri naik letih membaca soalan yang sama berulang kali, sehinggalah
    tergerak hati untuk mengkajinya bagi manfaat umat Islam setelah
    beberapa individu menelefon serta memberi penerangan lisan akan cara
    pelaburan ini dibuat. Ia menjadi lebih cepat dan mudah jika ada yang
    telah menyertainya menerangkan. Justeru, saya ingatkan, jiak masih ada
    yang ingin saya cepat tolong menyemak pelaburan yang dikehendakinya,
    anda perlulah menelefon saya dan menerangkan dengan jelas secara lisan.
    Hanya kemudian selepas itu, saya akan ikuti dengan pembacaan ‘line by
    line’ di web site syarikat terbabit.

    Diwarwarkan Halal

    Ketiga-ketiga
    jenis pelaburan ini pernah dan kerap diwarwarkan ‘halal’ oleh individu
    yang kurang biasa dengan displin mualamat Islam. Bagi ABBFund,
    Winlifund dan eaindex ia secara tidak sengaja atau sengaja didakwa
    halal kerana  dikatakan pelaburannya terhad kepada aktiviti halal
    seperti industri minyak dan gas, hartanah, getah dan sebagainya yang
    halal. Kita perlu memahami bahawa, apabila kita ingin mengetahui
    sesuatu pelaburan itu halal atau haram, kita tidak boleh hanya melihat
    kepada industri apakah yang digunakan wang kita itu. Sebaliknya, paling
    minima kita perlu melihat dari dua tahap. 

    1) Tahap Pertama : Wang dari poket kita kepada syarikat pelaburan .
    Inilah
    tahap yang kerap dilupakan oleh para peserta ABB Fund & Swiss cash
    dan sekutunya. Mereka kerap memfokuskan kepada tempat ABB melaburkan
    dana terkumpulnya. Ini tindakan yang kurang tepat kerana kita perlulah
    menyemak apakah aqad atau kontrak antara kita dan syarikat Pelaburan
    itu terlebih dahulu. Ringkasnya, ia MESTILAH dibuat dengan tepat
    menurut kehendak Shariah dan menepati cara dan syarat pelaburan Islam.
    Jika tidak, aqad akan batal, maka tiada gunalah lagi untuk mengetahui
    di mana dilaburkan dana terkumpul itu. Sebagai contoh mudah, si A
    mencuri duit dan kemudian membeli al-Quran dengan duit curi itu. Hukum
    adalah jelas dalam hal ini, walaupun duit itu digunakan dengan cara
    yang betul di tahap kedua (membeli Quran), tetapi  kerana tahap pertama
    (curi) adalah haram, maka tahap kedua yang baik tidak akanmenjadikan
    pembelian itu halal.

    2) Tahap Kedua : Wang
    kita di syarikat itu dilaburkan dan digunakan untuk industri dan
    instrumen pelaburan halal atau haram.  Kajian tahap pertama, terhadap
    aqad di antara peserta dengan syarikat ABB ,Eaindex dan Winlifund
    ternyata menunjukkan masalah yang sama iaitu :- Isu Pertama : ‘Fixed
    Return’ atau keuntungan yang dijamin. Telah berkali-kali saya sentuh
    isu ini, tapi nampaknya umat Islam masih kabur  dan tidak dapat
    menangkap dengan jelas konsep sebenar pelaburan Islam yang dibuat atas
    asas Mudarabah dan Musharakah. Saya ingin tegaskan di sini agar saya
    tidak ingin lagi ditanya dengan soalan dan skim pelaburan yang sama.
    Sebagai panduan utama :
    SEBARANG PELABURAN YANG MENJANJIKAN PULANGAN
    UNTUNG SECARA TETAP ADALAH HARAM MENURUT KONSEP PELABURAN ISLAM
    . Saya
    harap dengan panduan amat amat mudah ini, semua orang boleh menjadi
    menentukan ianya halal atau haram bagi dirinya setiap kali ingin
    membuat pelaburan. Justeru, aqad antara peserta dan syarikat ini telah
    dikira tidak halal di sisi Islam, Maka di ketika ini, tiada gunalah
    menghabiskan tenaga menyemak tahap kedua. Bagaimanapun , bagi
    mendatangkan lebih keyakinan kepada pembaca yang saya kira majoritinya
    telah menyertainya, saya akan bantu anda untuk mengesan di mana
    silapnya secara ringkas dan padat. ABB FUND   

    Hal ini ternyata apabila kita melihat di web ABB Fund di http://www.abbfund.biz/ atau http://abfund.mine.nu/.
    Kita akan dapati plannya begini :  Ini bermakna jika modal ‘pelaburan’
    anda USD 20. Setiap hari anda dijamin mendapat pulangan sebanyak 2 % ,
    dan jika anda letak USD 2000, maka akan mendapat 2.9 % setiap hari.
    WINLIFUND Adapun Winlifund pula seperti berikut ( rujukanhttp://www.winlifund.com/investment.html)  :-  EAINDEX Manakala Eaindex pula sebagaimana berikut ( http://www.eaindex.com/index.php
    ) :-  Ini bermakna jika modal ‘pelaburan’ anda USD 20. Setiap hari anda
    dijamin mendapat pulangan sebanyak 1.8 % , dan jika anda letak USD
    1000, maka akan mendapat 2.0 % setiap hari dan jika diberi pinjam USD
    5,000 akan dibalas dengan riba sebanyak 230 %. Dalam masa 100 hari.
    Secara sepakat ulama Shariah silam dan kontemporari, jaminan untung ini
    adalah namanya RIBA dan bukan pelaburan. Saya juga telah mengulas
    perkara ini semasa saya menulis berkenaan Swiss Cash dan juga Em-pay.
    EAINDEX dengan terus terang menyebut di laman webnya

    "
    EAINDEX Plans are designed to simplify the investment process by
    providing easy calculation values of $ 20, $ 1000 and $ 5000. Each
    index code provides a FIXED RETURN for period of 100 days from
    inception"

    Adakah anda perasan perkataan ‘FIXED
    RETURN’ yang dinyatakan ? Inilah yang dikatakan Riba. Kerana Pelaburan
    yang diiktiraf Islam tidak dibenarkan menjamin sebarang keuntungan,
    hanya anggaran dan andaian sahaja serta pihak pengurusannya tidak
    membuat sebarang janji untuk memberi untung itu. Demikian keputusan
    yang disebut secara sepakat oleh ulama silam, iaitu kontrak pelaburan
    itu tidak sah menurut Islam. Dan semua untungnya juga tidak sah. (Rujuk
    Bada’i as-Sonai’, Al-Kasani, 5/119 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 5/281 ;  Mughni
    Al-Muhtaj, 3/404 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/44) Manakala Majlis
    Penasihat Shariah Dunia, AAOIFI yang saya sebutkan nama pakar-pakarnya
    di bawah telah membuat  keputusan berikut,
    berikut teks fatwanya :- إذا شرط أحد الطرفين لنفسه مبلغاً مقطوعاً , فسدت المضاربة Ertinya
    :
    "Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang
    tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu" (
    Al-Ma’ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240) Jaminan untung tertentu dalam
    sebarang kontrak pelaburan adalah telah sepakat seluruh ulama sebagai
    haram kerana ia adalah Riba.

    Hadith Nabi yang telah dijadikan Kaedah Fiqh menyebut : أن الخراج بالضمان
    Ertinya :
    Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah
    dengan menghadapi risiko (bermakna tiada
    "(untung tetap dijanjikan dan
    pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan
    jual beli) "
      (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508
    ; Albani : Hasan)
    Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan
    adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi. Selain itu, sebarang
    pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman
    dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep
    pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram
    dan kontrak menjadi batal menurut sepakat Ulama. 

    Isu Kedua : ‘Commodity Futures’ dan Forex
     

    Adapun
    sekiranya, tahap pertama tadi berjaya, kita wajib memeriksa tahap kedua
    pula. Apabila saya merujuk dan membaca ‘line by line’ penerangan
    berkenaan ABB Fund dan Winlifund. Eaindex ternyata ia bukan sahaja
    melabur di dalam industri minyak dan gas sebagaimana yang difahami, ini
    disebutkan di web ABB  Major oil companies, energy services, oil and gas exploration and production companies, and natural gas pipeline companies. ,
    tetapi ia juga terlibat menggunakan perniagaan ‘commodity futures’ dan
    Forex bagi meraih keuntungan. Ini disebutkan dari petikan dari webnya
    iaitu :  The ABFUND program is a long term
    high yield private investment program managed by a group of
    professional traders specialize in trading on equity market,
    currencies , major market indexes and energy commodity futures

    markets. Our successful trading record has maximize high yield return
    to our investors’ investment and we are paying real-time in daily basis
    through the PAY-IT 4 PROFIT SYSTEM.

    Beirkut pula dalam web Winlifund ( http://www.winlifund.com/market.html )  " Basically, the markets are categorized into: Equities , Commodities  Currencies , Real Estates "
    Anda nampak perkataan CURRENCIES, itulah perniagaan berkaitan Forex,
    telah saya bawakan kajian dan keputusan Majlis Penasihat Shariah Dunia
    di artikel saya ketika mengulas isu Swiss Cash, sila buka link http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=157&Itemid=72

    Berkenaan
    ‘Commodity Futures’ pula, saya amat pasti, para ustaz yang tidak
    terlibat dengan industri perbankan dan kewangan di Malaysia atau
    antarabangsa, AMAT SUKAR UNTUK MEMAHAMI apakah erti ‘commodity
    futures’
    , apatah lagi mengulasnya dari sudut hukum, mungkin membaca
    tulisan saya ini pun boleh dilanda ‘migrain’. Ia perkara biasa dan
    boleh diterima, kerana setiap ustaz mempunyai pengkhususan
    masing-masing, seperti saya yang tidak mahir dalam bidang ‘faraid’
    (pembahagian harta pusaka), tiada apa yang perlu dimalukan dan aib.
    Cuma yang aib adalah berlagak ’specialist’ dan pakar lalu memberi fatwa
    dalam bidang yang bukan bidang anda, dengan mudah anda boleh
    ditertawakan atau disanggah oleh ’specialist’ kelak dengan hujjah
    ‘check mate’. Justeru, saya menasihatkan orang ramai yang menjadikan
    ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ sebagai kiblat dalam pelaburan ini memastikan
    mereka benar-benar ’specialist’ dalam bidang ini, untuk itu cuba
    meminta penjelasan kepada ustaz yang diikuti ini, apakah ‘Commodity
    Futures’ dan bagaimana ABB Fund ini boleh menjadi halal bila terlibat
    dengan commodity futures?. Sedangkan Majlis Penasihat Shariah Institusi
    Kewangan Dunia telah membuat keputusan bahawa (Rujuk keputusan no
    5/1/2, Al-Ma’ayir As-Shariah, hlm 371 ; Keputusan Persidangan Dallah
    AlBarakah, tahun 1999, no 17/1):
    TIDAK HARUS (HARAM) DARI SUDUT SYARA’
    UNTUK BERURUSAN DENGAN ‘FUTURES CONTRACT’ (termasuk Commodity Futures)
    SAMADA MEMBUATNYA, MEMBELI DAN MENJUALNYA.

    Ia menjadi haram kerana sebab berikut :-

    a)
    Penjualan beli komoditi secara tangguh bayaran dan penghantaran
    komoditi yang dijual . Ini menyebabkan ia tergolong dalam hadith,
    berkatalah Ibn Umar : أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الكالئ بالكالئ Ertinya
    :
    "Sesungguhnya Nabi SAW melarang dari menjual hutang dengan hutang"
    (Riwayat Ad-Dar Qutni ; At-Tabrani, Al-Hakim : Sohih atas syarat Imam
    Muslim ; Naylul Awtar , no 2187 ; 5/174 ) Imam Ahmad, Ibn Munzir, Ibn
    Rusyd, Ibn Quddamah, Ibn Taymiah , As-Syubki dan  Imam As-Syawkani
    menyebutkan bahawa telah Ijma’ seluruh ulama bahawa haram membeli
    secara tangguh serahan barang dan juga tangguh serahan bayarannya.
    (Al-Mughni, 4/53 ; Bidayatul Mujtahid, 2/162 ; Az-zarqani ala Muwatta,
    3/308)

    b) Menurut kebiasaannya penjual secara ‘futures’ ini
    menjual komoditi yang belum berada dalam miliknya . Ini dilarang oleh
    Nabi SAW sebagaimana hadith لا تبع ما ليس عندك
    Ertinya :
    "Janganlah (dilarang) kamu menjual sesuatu yang belum
    dimiliki olehmu" (Riwayat At-Tirmidzi , no 1232 , Albani : Sohih )

    Selain dua sebab ini terdapat 2 sebab lain yang menyebabkan Majlis
    Ulama Fiqh mengharamkannya. Termasuklah unsur perjudian yang wujud.
    Bagaimanapun, cukuplah dua hujjah ini untuk saya dedahkan kepada awam
    agar infomasi yang diberikan tidak begitu berat. Sesiapa yang berminat
    boleh rujuk di artikel saya tentang Swiss Cash, telah saya ulasnya http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=157&Itemid=72  

    Sebagai
    makluman, keputusan ini dibuat setelah sepakat seluruh Ulama Fiqh
    SeDunia bersama perbincangan pakar ekonomi. Ahli Majlis Penasihat

    Shariahnya dianggotai oleh ulama seperti berikut :-  ·       

    Sheikh Mufti Taqi Uthmani (Hakim Syarie Mahkamah Tinggi, Pakistan - Pengerusi)

    Sheikh Abdullah Bin Sulaiman Al-Mane (Hakim Mahkamah Mekah)       

    Sheikh Prof. Dr. Muhammad Siddiq Ad-Dharir ( Prof Shariah, Univ     Khartoum, Sudan)      

    Sheikh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli (Prof Shariah, Univ Damsyiq, Syria)

    Sheikh Prof. Dr ‘Ajil An-Nashmi ( Prof Shariah, Univ Kuwait)    

    Sheikh Husayn Hamid Hassan (Pengerusi Majlis Penasihar Shariah, Dubai Islamic Bank, UAE)       

    Sheikh Abd Rahman Al-Atram ( Penasihat Shariah, Ar-Rajhi Investment Bank, Saudi)   

    Sheikh Ali Tashkiri ( Setiausaha Agung, Kesatuan Dunia ‘Taqrib’ Sunnah dan Syiah, Iran)      

    Sheikh Dato’ Ghazali Abd Rahman (Ketua Hakim Syarie, Malaysia)      

    Sheikh Al-Ayyashi As-Sadiq Al-Faddad ( Ma’ahad Penyelidikan Islam, Islamic Development Bank, Saudi)      

    Sheikhuna Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, Kumpulan Perbankan Dallah Al-Barakah Sedunia)   

    Sheikh Ahmad bin Abdullah ( Setiausaha Agung, Majlis Penasihat Shariah, Sudan)   

    Sheikh Nizam Ya’qubi (Majlis Penasihat Shariah, Bahrain Islamic Bank)

    Sheikh Nazih Hammad (Majlis Penasihat Shariah, Citibank Islamic )      

    Sheikh Dr Mohd Daud Bakar (Pengerusi, Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan, Malaysia) 

    Itulah
    ahli Majlis yang membuat keputusan itu, saya tidak pasti jika anda
    masih mempercayai orang tertentu di Malaysia sedangkan ia telah
    dibincangkan oleh pakar-pakar seperti di atas.   

    Isu Ketiga  : Syarikat yang amat diragui

    Selain
    itu, walaupun perniagaan minyak dan gas, eletrik,  adalah halal,
    dokumen-dokumen utama dan cara jual belinya dilakukan hendaklah disemak
    oleh sebuah Majlis Penasihat Shariah terlebih dahulu agar semua rukun
    dan syarat jual beli diikuti. Sebagai contoh, Majlis Penasihat Shariah
    Dow Jones Islamic Fund, sila buka laman mereka di http://www.investaa.com/
    ; sebelum meluluskan sebarang syarikat yang boleh di sahkan halal,
    mereka akan mengkaji dengan teliti, antara contohnya mereka akan
    memastikan syarikat tersebut tidak mempunyai pinjaman konvensional
    lebih dari 30 % dan banyak lagi kaedah semakannya. Selain Dow Jones
    Islamic, anda boleh merujuk cara semakan dan pengesahan yang dibuat
    Jabatan ‘Islamic Capital Market’ di Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia.
    Dengan itu anda akan mengetahui bagaimanakah cara mereka mengesahkan
    sesebuah Dana Pelaburan itu untuk boleh sebagai halal. Inilah antara
    kerja di Suruhanjaya Sekuriti di Jabatan Pasaran Modal Islam. Tidak
    perlulah saya dedahkan kaedah ’screening’ mereka kerana ianya agak
    teknikal dan hanya akan memeningkan orang awam yang tidak berpengalaman
    dalam hal pelaburan. Kesimpulan saya di sini adalah, ABB Fund dan
    EAindex tidak pernah memikirkan tentang halal haram, mereka adalah
    Kapitalis yang hanya mencari untung semaksimum mungkin tanpa
    mengendahkan displin Islam, jika tidak mereka sudah tentu melantik
    pakar-pakar Shariah untuk menyemak pelaburan mereka. Dengan tiga hujjah
    ini pun sudah jelas, dan tidak perlu lagi saya mendedahkan kepincangan
    Shariah dalam system agensi dan commission memperkenalkan ahli bawah
    mereka. Jika tiga isu tidak lepas, yang lain juga tiadalah gunanya.

    RUNGUTAN & RESPOND
     

    "Kalau
    macam tu, semua haram ustaz, Bank Negara, kereta, rumah, ekonomi kita,
    negara kita, kedai runcit dan lain-lain" Demikian luahan tak puas hati
    yang pasti akan kedengaran bila artikel ini dibaca. Inilah jenis
    respond ‘cari makan’ apabila sudah didedahkan satu persatu bahawa
    pelaburan yang disertainya adalah bercanggah dengan hukum Allah
    SWT. Iaitu, cuba mengaitkan dengan perkara lain agar kelihatan mustahil
    untuk mengelaknya, selain itu ada juga yang akan mula mempersoalkan
    kewangan peribadi saya pula. Padahal, ia tiada kaitan dengan hukum
    pelaburan mereka. Ia dibuat hanya untuk mengubah focus isu ini kepada
    topic lain. Nasihat saya, janganlah menjadi tidak teliti tentang hukum
    sebelum melabur hanya kerana ia membawa keuntungan lumayan. Membuat
    kesimpulan umum tanpa ilmu hanya membawa masalah dan kemerbahayaan
    kepada diri sendiri. Saya tidak punyai masa yang panjang untuk
    menjelaskan satu demi satu. Cukup saya katakan, bahawa lebih mudah
    untuk saya menjelaskan secara ‘lisan’ dari menulis.  Justeru, anda
    boleh menemui saya atau mendaftar di kursus kewangan Islam yang akan
    diadakan 24 Februari 2007 jika anda ingin mengajukan soalan seperti
    itu. Saya tidak mahu mempromosi kursus itu di sini, kerana itu saya
    katakan, anda masih boleh mengajukannya secara telefon dan berjumpa
    saya di kuliah-kuliah bulanan saya di serata lembah Klang secara
    percuma. Saya kira, saya mampu menerangkannya dalam masa 5-15 minit
    sahaja.

    HUJJAH POPULAR UNTUK MENGHARUSKAN YANG HARAM

    Hujah-hujah ‘favorite’ dan rapuh yang kerap digunakan mereka adalah seperti berikut :

    Hujjah Pertama Mereka

    : "Apa salahnya, bukankah ia boleh meningkatkan ekonomi  umat Islam",
    Jawapan saya : "Ekonomi umat Islam hanya boleh berkembang bila ada
    unsur keberkatan. Bermuamalah dengan yang haram, adalah tiada berkat
    dan pasti tidak akan berkembang sampai bila-bila. Jika berkembang, ia
    hanya menambahkan dosa seperti melahirkan lebih banyak si tamak,
    penipu, pemberi dan penerima rasuah dan lain-lain unsur jahat yang
    secara senyap menghancur sesebuah masyarakat. Ia disebut oleh Allah
    dalam surah Al-Baqarah ayat 278 : "Allah memusnahkan keberkatan dari
    harta Riba.." 

    Hujjah Kedua Mereka   : "Maslahat" Jawapan saya : Saya telah jawab isu penggunaan maslahat ketika mengulas isu ASB. Boleh rujuk artikel di link http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=224&Itemid=63….

    Kesimpulannya ia adalah ‘Maslahat Mulghah’ iaitu Maslahat yang tertolak.

    Hujjah Ketiga Mereka : "Jika tiada duit maka buat kebajikan pun tak boleh" dan yang sepertinya.  Jawapan saya : Sebuah hadith menyebut :  من جمع مالاً من حرام ثم تصدق به , لم يكن له فيه أجر Ertinya
    : Barangsiapa yang megumpulkan wang haram dan kemudian bersedeqah
    dengannya( membuat kebajikan ) , maka tiadalah sebarang ganjaran
    kebaikan untuknya ( Riwayat Al-Hakim, 1/390; Ibn Hibban, no 797 : Sohih
    menurut Ibn Hibban dan Al-Hakim, dipersetujui oleh Az-Zahabi; Albani :
    Dhoif)

    Hujjah Keempat Mereka   : "Sampai tahap dharurat"  

    Jawapan
    saya : Ini adalah anggapan tidak sah, kerana dharurat adalah sesuatu
    perlara keperluan asas yang jika tidak dilakukan maka seseorang boleh
    hilang nyawanya. (Rujuk Al-Muwaqafat, As-Syatibi). Saya percaya ramai
    orang tidak melabur, tetapi masih hidup aman damai. Hujjah Kelima
    Mereka   : Ada hadith kata " tak boleh lari dari riba di akhir zaman,
    semua akan kena debunya" Jawapan saya : Saya telah ulas bahawa hadith
    ini dhoif menurut imam Al-Munziri dan Albani. Hujjah Keenam Mereka  :
    "Tak mengapa nanti kami bersihkan sebahagian bonus dengan mengeluarkan
    zakat" Jawapan saya : Syarat wajib zakat ke atas Muslim adalah memiliki
    harta itu dengan sah dari sudut Islam, dikeluarkan sebagai tanda
    kesyukuran kepada Allah SWT (Rujuk Al-Badai’ As-Sona’i, Al-Kasani, 2/4
    ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 11/171; Ad-Deen Al-Khalis, 8/84) . Jelasnya,
    zakat tidak boleh menyucikan harta yang haram, ia hanya boleh
    menambahkan berkat bagi harta yang didapati dengan cara halal. Secara
    sepakat ulama bahawa tiada zakat ke atas harta haram tetapi yang
    diperlukan adalah melupuskannya (Qadhaya Az-Zakat Al-Mu’asiroh, Dr Naim
    Yasin, 2/208 ). Marah dan Menyekat Untung  Saya pasti ada yang amat
    marah kerana ia telah mempunyai rangkaian yang cukup luas dan
    keuntungan pun sudah mencurah masuk ke akaun dengan lebat sekali. Apa
    yang boleh saya nasihatkan hanyalah hadith Nabi yang telah saya
    nyatakan dahulu iaitu كل لحم نبت  من سحت فالنار أولى به Ertinya
    : "Setiap daging yang tumbuh dari harta kotor ( haram) maka Neraka
    lebih layak untuknya" ( Riwayat At-Tabrani, 19/136 ; Al-Mughni lil
    ‘Iraqi, 2/9207 ; Ithaf As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226) Sebagai
    penambah kesedaran kita semua, suka saya nyatakan bahawa pelaburan ABB
    Fund, Winlifund, Em-Pay, Swiss Cash, EAindex adalah tidak sah menurut
    pandangan ulama dan semuanya terlibat dengan Riba dengan jelas. Saya
    juga sedar betapa besarnya ujian jika saya berada di tempat pemain,
    pelabur dan pelopor abb fund, eaindex dan sudah meraih untung
    ribu-ribu..memang sukar. Cuma suka saya ingatkan bahawa, lagi sukar
    sesebuah ujian, sudah tentu pahalanya juga lebih besar, sebagaimana
    yang pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a dalam sebuah
    riwayat :  "Pahala kamu adalah berdasarlah tahap keletihan dan
    kesukaranmu’
    Bergembiralah bagi sesiapa yang berjaya mengekang
    nafsunya demi untuk kebahgian di barzakh.. pastinya Rasulullah SAW
    berbangga dengan anda !! Malah saya juga merasakan, pahala individu
    yang sanggup berhenti kerana Allah ini mungkin lebih hebat dari saya
    yang menulis jawapan ini. Allahu akbar.! Sebagai akhirnya, tahukah anda
    setara mana besarnya dosa Riba iaitu duit untung yang diperolehi dari
    ABB Fund, Winlifund, EAindex, Em-Pay ini?. Saya nyatakan disini bahawa.
    Imam An-Nawawi rh berkata : "Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang
    pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan
    dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama, antara yang
    berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi" (Rujuk Al-Majmu’, 9/391
    )   

    BAHAYA DAN KECELAKAAN DARI RIBA
      Di
    sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang
    menerangkan perihal besarnya dosa riba yang menjadi sebab mengapa saya
    menumpukan masa yang lebih bagi menyelematkan masyarakat Islam darinya.

    a) Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.
    Ia berdasarkan Firman Allah SWT : Ertinya : "Wahai orang-orang yang
    beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki
    Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal
    meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya"
    (Al-Baqarah : 278)
    Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa
    yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan ’saki baki’ riba
    dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi
    peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini menyebut ’saki
    baki’, menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar menurut
    sunnah dan menjadi mukmin sejati, perlulah ia berpengetahuan jelas
    tentang riba serta menjauhkan diri darinya secara seratus peratus. Saya
    sering terfikir, bagaimanakah sunnah dapat ditegakkan, Negara Islam
    tulen dapat dibangunkan, masyarakat soleh dapat diasaskan dengan hidup
    dikelilingi ‘virus’ Riba ini. Sedangkan zahir ayat di atas tadi
    membayangkan peperangan itu berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah
    bagi setiap individu dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal
    ini. Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :  Ertinya : "Akan dikatakan
    kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk
    berperang dengan Allah SWT"   (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran,
    At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366) Berkatalah Abu
    Hanifah rh pula : " Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling
    menakutkan"   (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)
    Imam
    Malik Bin Anas rh pula berkata : Ertinya : "Telah ku membuka
    lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati
    (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam
    mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya" (Al-Jami’ Li Ahkam
    Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 )
    Berkata Imam Qatadah rh : " Allah
    menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya
    dimana sahaja mereka berada" (at-Tabari, 3/72 )

    b) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.  Allah SWT berfirman :  Ertinya : "Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah" (
    Al-Baqarah : 276 )
      Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di
    akhirat:- Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang
    terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang atau habisnya harta
    tersebut dari pemiliknya  kepada pelbagai bentuk yang tidak berfaedah
    dan membawa dosa, sehinggalah ia akan merasa amat miskin dan faqir
    (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), selain itu, harta tadi akan
    menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan
    menghinakan diri di sisi Allah SWT, lalu hilanglah sifat amanah,
    cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di
    timpa ujian harta yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan
    doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an
    ‘iqtiraf  al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut,
    1982 , 1/224).  Sabda Nabi SAW dari Ibn  Mas’ud r.a :- Ertinya : "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa" (
    Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn
    Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 )
      Di Akhirat :
    Berkatalah Ibn Abbas r.a :  Ertinya : "Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya" (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362  ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)  

    c)   Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri
     Dosa individu terlibat dengan Riba juga adalah seperti berzina dengan
    ibu bapa sendiri, saya kira, hadith di bawah sudah tidak perlu huraian
    lagi lantaran kejelasannya. Nabi SAW bersabda : Ertinya : " Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.." (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)  

    d)   Lebih Berat dari 36 Kali Zina.

    Nabi SAW bersabda : Ertinya : "Satu dirham Riba  yang dimakan oleh
    seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina
    sebanyak 36 kali" ( Musnad Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ;
    Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal
    wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103 ) Hadis ini bukanlah untuk merendahkan
    dosa zina, tetapi ia memfokuskan kepada besarnya dosa riba. Justeru,
    saya amat mengharapkan umat Islam membuka mata mereka kepada isu ini.

    e)  Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar
    Ia berdasarkan hadith nabi SAW : Ertinya : "Jauhilah tujuh dosa besar,
    Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba,
    lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang
    suci dengan zina ( tanpa saksi adil) " ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
    Jika kumpulan dalil ini masih tidak mampu menyedarkan anda dari
    keuntungan dunia yang sementara, Sesungguhnya Allah maha berkuasa atas
    segala yang kita lakukan. Justeru, saya tiada sebarang komen lagi.
      Saya ucap tahniah bagi sesiapa yang mampu membaca satu persatu
    tulisan ini ke tahap ini. Ini bermakna anda sememangnya masih mempunyai
    iman di hati dan masih berfikir tentang urusan halal haram. Kini ilmu
    telah ada, maka tindakan sahaja yang diperlukan. Akhirnya, cukuplah
    sekadar ini huraian ringkas saya, samada pembaca dan peserta semua dana
    pelaburan Riba ini ingin berhenti atau tidak, itu terpulanglah kepada
    empunya diri masing-masing. Tugas saya secara sukarela yang saya
    jalankan hanyalah mendedahkan kebenaran yang tidak dapat lagi
    disembunyikan. Saya juga pasti ramai yang ingin berhenti tetapi tidak
    tahu apa yang ingin dilakukan dengan keuntungan yang masuk, bagaimana
    ingin mendapatkan kembali modal, haruskah untuk mendapatkannya kembali
    dan pelabagi lagi bermain di kepala. InshaAllah saya akan cuba menulis
    dalam artikel lain. Kerana tidak mahu memanjangkan lain artikel ini. 

    Sekian Ust Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net/ 29 Muharram 1428 H  /  17 Februari 2007