Keutamaan Zikrullah Dalam Amalan Seharian
Bermulanya
Ad-Din itu adalah mengenal Allah. Setelah mengenal Allah barulah kita
dapat mengingatiNya. Begitulah halnya bagi pengamal zikr Tarekat Ahli Sufi yang mana amalan zikr ini menjadi teras kepada segala ibadah ( ibadah khususiyah mahupun ibadat umumiyah).
Perintah supaya sentiasa mengingati Allah itu, adalah berdasarkan Al-Quran dan As-sunnah.
Antaranya adalah :
1. Firman Allah swt di dalam surah Al-Ahzab 41-42 :
يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اذْكُرُو اللهَ ذِكْراً كَثِيراً. وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu mengingati Allah
dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya
di waktu pagi dan petang”.
2. Surah An-Nisa’ 103 :
فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُوا اللهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى جُنُوبِكُمْ…
“Maka apabila kamu telah selesai akan solat (mu), ingatlah Allah
dikala berdiri, dikala duduk dan dikala berbaring…..”
Dan sunnah yang menjadi dalil supaya berzikr itu seperti :
3. Hadith dari At-Tarmizi dan Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-Hakim, dari Abu Darda’ (marfu’) :
أَلاَ
أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ وَأزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ
وَازْفَعِهَا فِى دَرَجَاتِكُمْ وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ
وَالْوَرَقِ وَخَيْرٍ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَنَضْرِبُوا
أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ. قَالُوا: بَلَى. قَالَ:
ذِكْرُاللهِ.
“Tidakkah kuberitahukan kepada kamu tentang amalmu yang paling
baik dan paling bersih disisi Tuhan-mu dan paling tinggi (mengangkat)
darjatmu, dan terlebih baik bagimu dari (berperang) melawan
musuh, lantas kamu memenggal batang leher mereka dan mereka pun
memenggal batang lehermu?” Para Sahabat pun menjawab : “Bahkan”.
Nabi saw pun bersabda : “Zikrullah”.
4. Hadith Muslim dari Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah saw telah bersabda :
مَا
جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِساً يَذْكُرُونَ اللهَ فِيهِ إِلاَّ حَفَّتْهُمُ
الْمَلاَئِكَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ
عِنْدَهُ
“Tiadalah
duduk sesuatu kaum (kumpulan) itu di dalam suatu majlis yang mana ada
zikrullah (mengingati Allah) di dalamnya melainkan (disebut) akan para
Malaikat mengelilingi dan rahmat meliputi mereka, dan Allah mengingati
mereka termasuk orang (yang dekat) disisi-Nya”.
5. Hadith al-Bukhari pula :
إِنَّ لِلَّهِ مَلاَئِكَةً يَطُوفُونَ فِى الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ فَإِذَا وَجَدُوا قَوْمًا
يَذْكُرُونَ اللهَ يُنَادُونَ هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ. قَالَ : فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِمْ
إِلَى السَّماءِ الدُّنيَا.
“Sesungguhnya
bagi Allah itu ada malaikat yang mengelilingi di jalan-jalan mencari
orang-orang yang berzikr. Apabila mereka mendapati satu kaum (kalangan)
yang berzikr kepada Allah, lalu mereka berseru : “Ayuh, mari kepada
hajat kamu”. Lantas Nabi saw bersabda : “Maka para Malaikat itu
mengelilingi (melindungi) mereka dengan sayap-sayapnya sampai ke langit
dunia”.
Hadith -2 yang menerangkan kelebihan zikr ini terlalu banyak.
Adapun zikr ini terbahagi kepada dua :-
a. zikr Jahr yakni Lisani (lidah)
b. zikr Sirr / Khafiy yakni Qalbi (hati)
Zikr Jahr ialah zikr menyebut “Allah Allah Allah” dengan lidah yang disertai dengan suara. Zikr ini
sukar
dilakukan secara berterusan kerana banyak halangan dari kesibukkan dan
pekerjaan-2 dunia, umpamanya ketika bercakap, sudah semestinya
menghentikan seseorang itu dari berzikr apatah lagi pada
perbuatan-perbuatan yang lain seumpamanya.
Manakala
zikr Sirr pula ialah zikr yang tidak bersebut, tidak bersuara dan tidak
pula berhurf malah dikenali juga sebagai zikr Khafiy yang bermaksud
(tersembunyi). Zikr Sirr ini merupakan tumpuan jasad (anggota tubuh
badan) dan ruh (hati) untuk melahirkan suatu perasaan dan ingatan
kepada yang Khaliq samada dalam keadaan sedar mahu pun fana (lenyap).
Zikr Sirr ini tidak akan tergganggu dengan pekerjaan harian walau apa
keadaan sekali pun atau di mana sahaja kita berada. Walaupun mata (dan
termasuk anggota jasad yang lain) sedang nyenyak tidur tapi hati tetap
berzikr tanpa henti pada setiap saat.
Oleh
kerana itulah pengamal Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidi memilih zikir
Sirr ini, kerana peranan hati (qalbi) dalam kehidupan adalah sangat
penting. Hati adalah tempatnya pancaran cahaya dan penuh dengan
kerahsiaan. Para sufi mengumpamakan hati ini sebagai raja manakala
batang tubuh (badan) sebagai kerajaannya dan anggota-anggota tubuh pula
(mata, telinga, lidah, tangan, perut, kaki dan termasuklah kemaluan itu
sendiri) merupakan rakyat dan tentera-tenteranya. Jika baik raja itu
maka baiklah kerajaannya serta baik pula pekerjaan rakyat jelata atau
tentera-tenteranya. Sekira jahat raja itu maka jahatlah keseluruhan
kerajaan serta rakyat jelata atau tentera-tenteranya sekalian. Lalu
melekatlah di dalamnya segala sifat-sifat yang tercela (mazmumah), maka
seluruh anggota jasad menjadi keji dan mungkar.
6. Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih kedua-duanya bahawa Rasulullah saw telah bersabda :
وإنّ فى الجسدِ مضغةً إذا صلحتْ صلح كلّه
وإذا فسدتْ فسدَ الجسدُ كلّه، ألا وهى القلْبِ
“
Dan sesungguhnya bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia
baik maka baiklah badan seluruhnya; dan apabila rosak (jahat) ia, maka
rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! Itulah hati “.
7. Seseorang tidak dianggap beriman sekiranya hati itu belum membenarkan sesuatu yang wajib diimani.
Di dalam himpunan hadith oleh al-Imam Nawawi dalam syarahnya Matan al-Arba’in :
لا يستقيمُ إيمانُ عبدٍ حتَّى يستقيمَ قلبه
“ Tidak lurus iman seorang hamba itu sehingga lurus (lebih dahulu) hatinya “.
8. Dan sesuatu ibadah pun tidak dikira sah selagi tidak disertai dengan niat di dalam hati.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith di dalam kitab sahih kedua-duanya :
إنَّما الأعمال بالنّياتِ وإنما لكلّ امْرىءٍ ما نوى
“ Hanya segala amal itu dengan niat (hati) dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang diniatkan “.
Ijmak
ulama menyatakan bahawa amal anggota tidak diterima selagi tidak
disertai amal hati, sedangkan amal hati diterima meskipun tanpa amal
anggota.
Jika pekerjaan hati tidak diterima, nescaya tidaklah diterima iman seseorang kerana iman itu adalah percaya dengan hati.
Mengenai zikr dengan hati ini terdapat banyak dalil-dalil Al-Quran dan Hadith, di antaranya :
9. Firman Allah swt di dalam surah Al-Mujaadalah : 22
…أُلَآئِكَ كَتَبَ فِى قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ….
“
Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam
hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang
daripada-Nya “.
10. Surah Al-Hujurat : 3
إِنَّ
الَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصْوَاتَهُمْ عِندَ رَسُولِ اللهِ أُوْلآَئِكَ
الَّذِينَ امْتَحَنَ اللهُ قُلُوبَهْم لَِلتَّقْوَى لَهُم مَّغْفِرَةٌ
وَّأَجْرٌ عَظِيمٌ
“
Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulillah
dan mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah
untuk bertaqwa, maka bagi mereka ampunan dan pahala yang besar “.
11. surah Al-A’raf : 205
وَاذْكُرْ
رَّبَّكَ فِى نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَّخِيفَةً وَّدُونَ الْجَهْرِ مِنَ
الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالأَصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ
“
Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa
takut, dan dengan tanpa mengeluarkan suara, di waktu pagi dan petang
dan janganlah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang lalai “.
Adapun hadith-hadith yang menyebut tentang zikr Sirr ini diantara lainnya ialah :
12. Hadith al-Baihaqi dari Aisyah, bahawa Rasulullah saw telah bersabda :
يفضل
الذكر على الذكربسبعين ضعفاً إذا كان يوم القيامة رجّع الله الخلائق إلى
حسابه وجاءت الحفظة بما حفظوا وكتبوا. قال الله تعالى : انظروا هل بقى
لعبدى من شىءٍ. فيقولون : ما تركنا شيئاً ممّا علمناه وحفظناه إلاّ وقد
أحصيناه وكتبناه. فيقول الله تعالى : إنّ لك عندى حسنةً وأنا أجزيك به وهو
الذّكر الخفىّ.
“
Zikr yang paling afdhal (utama) dari segala zikr (zikr jahri) yang mana
ianya diberi tujuh puluh kali ganda (darjatnya). Apabila pada hari
kiamat kelak, Allah menghimpunkan semua makhluk-Nya ke tempat
perhitungan, Dan Malaikat Penjaga pun datang membawa apa yang mereka
jaga dan apa yang mereka catat. Allah pun berfirman kepada Malaikat
Penjaga :
‘
Perhatikanlah, masih adakah sesuatu yang tertinggal dari hambaKu?’…Lalu
mereka pun menjawab : “ Tidak satu pun kami tinggalkan dari apa yang
kami ketahui dan apa yang kami jaga, melainkan kami batasi dan sudah
kami tulis dengan sebenarnya “. Maka Allah pun berfirman (kepada
hamba-Nya) : ‘ Sesungguhnya kebaikanmu ada pada-Ku Dan Aku akan
membalasnya. Kebaikanmu itu ialah zikr Khafiy.”
13. Hadith al-Bukhari dan lainnya menyatakan bahawa Nabi saw bersabda :
أنا غند ظنّ عبدى وأنا معه إذا ذكرنى. فإن ذكرنى فى نفسه ذكرته فى نفسى. وإن ذكرنى فى ملأٍ ذكرته فى ملأٍ خيرٍ منهم
“
Allah berfirman : Aku adalah di sisi dugaan hamba-Ku. Aku besertanya
apabila dia berzikr kepada-Ku. Maka jika ia mengingat Aku dalam
hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku. Dan jika ia
ingat kepada-Ku secara berjamaah, nescaya Aku ingat kepadanya dalam
kelompok berjamaah yang lebih baik daripada mereka “.
14. Hadith Abu ‘Uwanah, Sahih Ibnu Hibban dan al-Baihaqi :
خيرُ الذّكرِ الخفىُّ وخيرُ الرّزْقِ ما يكفى
“ Sebaik-baik zikr ialah zikr yang tersembunyi dan sebaik-baik rezeki adalah sesuatu yang mencukupi “.
15. Hadith al-Baihaqi :
الذّكرُ لا تسْمعه الحفظةُ يزيدُ على الذّكرِ الذى تسْمعه الحفظةُ بسبعين ضعفاً
“
Zikr yang tidak terdengar oleh Malaikat Penjaga melebihi dari zikr yang
didengar oleh Malaikat Penjaga, dengan tujuh puluh kali ganda “.
Begitulah di antara dalil-dalil yang menghendaki supaya kita memperbanyakkan zikr, terutama zikr Siir atau Khafiy ini.
16. Syeikh Abu Sa’id Al-Kharraz pernah menyatakan :
“
Apabila Allah swt hendak melindungi seseorang, maka dibukakan-Nya pintu
ingatannya (zikr). Jika kelazatan zikr telah terasa, maka dibukakan-Nya
pintu pendekatan (taqarrub) dan diangkatkan-Nya pula martabatnya di
hadapan manusia. Sesudah itu didudukkan-Nya di atas tauhid ( akidah
yang teguh) dan diangkatkan-Nya pula tabir (hijab), sehingga ia
mempunyai pandangan tembus (kasyaf). Kemudian dimasukkan-Nya ke dalam
Darul Fardaniah (alam penuh kerahsiaan). Tersingkaplah dinding jalal
(kemuliaan) dan ‘azmah (kebesaran). Tatkala pandangannya menembus ke
alam jalal dan ‘azmah, maka tinggallah dia tanpa dia. Pada waktu itu
jadilah ia Fana beberapa waktu, tenggelam dalam nikmat rahsia kebesaran
Allah swt dan terus dilindungi-Nya “.
17. Khalid bin Ma’dan menyatakan :
“
Seseorang (ahli zikr) itu mempunyai dua penglihatan diwajahnya. Dengan
penglihatan pertama itu (dua mata) ia dapat melihat dunia, manakala
penglihatan yang kedua yakni mata hati, dia dapat melihat sesuatu yang
ghaib yang dijanjikan Allah swt kepada hamba-Nya “.
18. Ahmad Ibnu Hadhrawaihi berkata :
“
Hati itu adalah wadah. Apabila telah penuh dengan kebenaran, maka
memancarlah cahayanya ke seluruh tubuh. Sebaliknya apabila penuh dengan
kebatilan maka seluruh kegelapan menyelubungi tubuhnya “.
19. Zunnurul Misri berkata :
“
Bertafakkur (zikr Sirr) sesaat lebih baik daripada beribadatnya manusia
dan jin. Apabila Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya
terdapat gambar-gambar dan patung-patung, maka mana mungkin saksi-saksi
kebenaran (syawahid) akan masuk ke dalam hati yang di dalamnya penuh
dengan hal-hal selain Allah?”
20. Syeikh Abu Hassan as-Syadzli menyatakan :
“ Sebesar zarrah amal dihati adalah seimbang dengan sebesar gunung amal dianggota “.
Jika
zikr dengan lidah diperkuat dengan zikr dalam hati, maka hal itu lebih
sempurna. Dan jika diperkuatkan lagi dengan menghadirkan pengertiannya,
maka hal itu lebih sempurna lagi. Jika berharap kepada Allah itu
dilakukan sepenuh hati dan ikhlas, maka itulah puncak zikr yang paling
tinggi.
Imam
Fakhrur Razi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan zikr lisan ialah
mengucapkan kalimat suci dengan lidah seperti bertasbih, tahmid dan
bertakbir serta menyebut ismuz-zat iaitu ‘ Allah, Allah, Allah ‘ adalah sebagai memuji akan keEsaan Allah Ta’ala.
Manakala
zikr Sirr/Khafiy (hati) ialah tafakkur mengingat Allah serta merenungi
rahsia-rahsia ciptaan-Nya secara mendalam dan mengintai-intai
(muraqabah) tentang zat, asma`, sifat dan af’al Allah Yang Maha Mulia.
Terdapat
satu lagi zikr yang dinamakan zikr Jawarih (anggota). Zikr ini
merupakan suatu bentuk penyerahan dan ketaatan dalam pengamalan.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa zikr tersebut terbahagi kepada tujuh
jawarih iaitu :
- Zikr mata dengan menangis.
- Zikr telinga dengan mendengar yang baik-baik.
- Zikr lidah dengan memuji Allah.
- Zikr tangan dengan memberi sedekah.
- Zikr badan dengan menunaikan kewajipan.
- Zikr hati dengan takut dan berharap.
- Zikr ruh dengan penyerahan diri kepada Allah dan rela.
Zikr
dengan lidah, hati dan jawarih dengan bertafakkur kepada Allah adalah
lebih baik dari berjihad Fi Sabilillah. Tetapi jihad Fi Sabilillah
adalah lebih baik dari zikr hanya dengan lisan sahaja.
Wallahu A’lam
March 31st, 2007 at 11:59 pm
Terdapat satu lagi zikr yang dinamakan zikr Jawarih (anggota). Zikr ini merupakan suatu bentuk penyerahan dan ketaatan dalam pengamalan.Sebahagian ulama mengatakan bahawa zikr tersebut terbahagi kepada tujuh jawarih iaitu :
1. Zikr mata dengan menangis.
2. Zikr telinga dengan mendengar yang baik-baik.
3. Zikr lidah dengan memuji Allah.
4. Zikr tangan dengan memberi sedekah.
5. Zikr badan dengan menunaikan kewajipan.
6. Zikr hati dengan takut dan berharap.
7. Zikr ruh dengan penyerahan diri kepada Allah dan rela.
komen:
1-Ramai org menangis krn sedih tak dapat meneruskan AF, kecewa dgn seseorg dan krn hampa dgn perbuatan manusia.
2-kalau setiap hari asyik dengar nyanyian dan muzik, sedikit sebanyak hati akan terikut dgn rentak nyanyian sehingga hafal lagu > hafal ayat al qur’an.
3-Ramai puji Allah bila dapat kesenangan…bersungut bila ditimpa kesusahan.
4-Sedekah terasa berat, membeli belah terasa nikmat.
5.Selalunya kewajian duniawi/kerjayakeluarga > diutamakan dari kewajipan terhadap Allah s.wt. umpamanya solat.
6.Bila rasa takut selalunya manusia akan ingat kepada Allah dan berharap sepenuhnya kepada-Nya.
7-Radhitu billahi robba. Susah nak dipraktis, biasanya harapan > dari redho.
Marilah berzikir dan berselawat. Mari latih jari kita ber’zikir’ dgn menulis perkara yg baik dan bermanfaat.
wassalam.