Pelaburan Masa Kini
v"ABB Fund, Eaindex & Winlifund Yang Diminati : Haram Lagikah ?
Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Pelaburan
melalui internet semakin popular hari ini, terutama di kalangan orang
awam. Umat Islam tidak terlepas dari godaan pulangan tinggi yang
ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini. Ini menjadikan penyertaannya
begitu hebat dan menggunung hari demi hari.
Tanpa memikirkan
halal dan haram, atau hanya dengan kefahaman amat tipis tentang
‘nature’ sesuatu pelaburan itu dari kaca mata Islam, mereka
berbondong-bondong menyertainya dengan ‘keyakinan’ ianya adalah halal
atau sesetengahnya tiada endah berkenaan hukum, yang penting baginya
adalah RM RM RM.
‘Keyakinan’ palsu ini kelihatan terserlah kesilapannya apabila tulisan-tulisan yang disiarkan di web saya http://www.zaharuddin.net/
dan disebar luas oleh yang sukarelawan Islam tersedar melalui email dan
yahoogroups yang pelbagai. Setelah meneliti pelaburan-pelaburan
‘favorite’ ini, ternyata hampir semuanya adalah tidak sah di sisi Islam
secara sepakat ulama.
Selain itu ternyata juga bahawa ianya
tidak lain hanyalah ‘pinjaman dengan pulangan Riba’ belaka dan bukannya
pelaburan yang sah atas dasar konsep ‘Mudarabah’ atau ‘Musharakah’ yang
diredhai Allah SWT. Kali ini kita semak sama-sama beberapa isu asas
dalam tiga dana pelaburan yang amat di ‘gilai’ oleh ramai.
Saya
kira, mungkin ramai juga yang akan berhenti membaca artikel ini di sini
akibat teruji dengan satu perasaan hebat di hatinya, bimbang akan
‘terbaca’ sesuatu yang tidak enak berkenaan pelaburan yang menjadi
penyelesai masalah kewangan hidupnya. Apapun, saya tiada pilihan lain
kecuali menyahut apa yang dikatakan oleh Nabi SAW « Berkata benarlah
walaupun ianya pahit ».
Saya juga ada mendengar terdapat
beberapa indivdu utama pelaburan ini dengan sengaja mengatakan " Jangan
tanya ustaz yang reti, nanti dijawabnya haram, tak pasal-pasal susah
kita nak cari ahli" Bagi saya, ucapan ini tidak lain dari bercanggah
dengan kehendak ALLAH SWt yang mengingatkan kita " Tanyalah kepada yang
mengetahui jika kamu tidak mengetahui" dan juga ertin firman Allah SWT
: " Wala yunabbi uka mishlu khabir" ertinya : "dan tiada yang dapat
memberikan sesuatu jawab yang memuaskan seperti yang berpengalaman" ABB Fund, Eaindex dan Winlifund Semasa
dihujani dengan soalan berkaitan pelaburan Em-Pay, saya juga dihujani
dengan lebih lebat dengan soalan berkenaan ABB Fund, Winlifund dan
Eaindex.
Jika saya jumlahkan semuanya, semua soalan ulangan ini
berjumlah lebih 150 kali kepada saya. Pada mulanya, ingin saya abaikan
saja kerana kesibukan tugasan yang rencam, tetapi hari demi hari saya
sendiri naik letih membaca soalan yang sama berulang kali, sehinggalah
tergerak hati untuk mengkajinya bagi manfaat umat Islam setelah
beberapa individu menelefon serta memberi penerangan lisan akan cara
pelaburan ini dibuat. Ia menjadi lebih cepat dan mudah jika ada yang
telah menyertainya menerangkan. Justeru, saya ingatkan, jiak masih ada
yang ingin saya cepat tolong menyemak pelaburan yang dikehendakinya,
anda perlulah menelefon saya dan menerangkan dengan jelas secara lisan.
Hanya kemudian selepas itu, saya akan ikuti dengan pembacaan ‘line by
line’ di web site syarikat terbabit.
Diwarwarkan Halal
Ketiga-ketiga
jenis pelaburan ini pernah dan kerap diwarwarkan ‘halal’ oleh individu
yang kurang biasa dengan displin mualamat Islam. Bagi ABBFund,
Winlifund dan eaindex ia secara tidak sengaja atau sengaja didakwa
halal kerana dikatakan pelaburannya terhad kepada aktiviti halal
seperti industri minyak dan gas, hartanah, getah dan sebagainya yang
halal. Kita perlu memahami bahawa, apabila kita ingin mengetahui
sesuatu pelaburan itu halal atau haram, kita tidak boleh hanya melihat
kepada industri apakah yang digunakan wang kita itu. Sebaliknya, paling
minima kita perlu melihat dari dua tahap.
1) Tahap Pertama : Wang dari poket kita kepada syarikat pelaburan .
Inilah
tahap yang kerap dilupakan oleh para peserta ABB Fund & Swiss cash
dan sekutunya. Mereka kerap memfokuskan kepada tempat ABB melaburkan
dana terkumpulnya. Ini tindakan yang kurang tepat kerana kita perlulah
menyemak apakah aqad atau kontrak antara kita dan syarikat Pelaburan
itu terlebih dahulu. Ringkasnya, ia MESTILAH dibuat dengan tepat
menurut kehendak Shariah dan menepati cara dan syarat pelaburan Islam.
Jika tidak, aqad akan batal, maka tiada gunalah lagi untuk mengetahui
di mana dilaburkan dana terkumpul itu. Sebagai contoh mudah, si A
mencuri duit dan kemudian membeli al-Quran dengan duit curi itu. Hukum
adalah jelas dalam hal ini, walaupun duit itu digunakan dengan cara
yang betul di tahap kedua (membeli Quran), tetapi kerana tahap pertama
(curi) adalah haram, maka tahap kedua yang baik tidak akanmenjadikan
pembelian itu halal.
2) Tahap Kedua : Wang
kita di syarikat itu dilaburkan dan digunakan untuk industri dan
instrumen pelaburan halal atau haram. Kajian tahap pertama, terhadap
aqad di antara peserta dengan syarikat ABB ,Eaindex dan Winlifund
ternyata menunjukkan masalah yang sama iaitu :- Isu Pertama : ‘Fixed
Return’ atau keuntungan yang dijamin. Telah berkali-kali saya sentuh
isu ini, tapi nampaknya umat Islam masih kabur dan tidak dapat
menangkap dengan jelas konsep sebenar pelaburan Islam yang dibuat atas
asas Mudarabah dan Musharakah. Saya ingin tegaskan di sini agar saya
tidak ingin lagi ditanya dengan soalan dan skim pelaburan yang sama.
Sebagai panduan utama : SEBARANG PELABURAN YANG MENJANJIKAN PULANGAN
UNTUNG SECARA TETAP ADALAH HARAM MENURUT KONSEP PELABURAN ISLAM. Saya
harap dengan panduan amat amat mudah ini, semua orang boleh menjadi
menentukan ianya halal atau haram bagi dirinya setiap kali ingin
membuat pelaburan. Justeru, aqad antara peserta dan syarikat ini telah
dikira tidak halal di sisi Islam, Maka di ketika ini, tiada gunalah
menghabiskan tenaga menyemak tahap kedua. Bagaimanapun , bagi
mendatangkan lebih keyakinan kepada pembaca yang saya kira majoritinya
telah menyertainya, saya akan bantu anda untuk mengesan di mana
silapnya secara ringkas dan padat. ABB FUND
Hal ini ternyata apabila kita melihat di web ABB Fund di http://www.abbfund.biz/ atau http://abfund.mine.nu/.
Kita akan dapati plannya begini : Ini bermakna jika modal ‘pelaburan’
anda USD 20. Setiap hari anda dijamin mendapat pulangan sebanyak 2 % ,
dan jika anda letak USD 2000, maka akan mendapat 2.9 % setiap hari.
WINLIFUND Adapun Winlifund pula seperti berikut ( rujukanhttp://www.winlifund.com/investment.html) :- EAINDEX Manakala Eaindex pula sebagaimana berikut ( http://www.eaindex.com/index.php
) :- Ini bermakna jika modal ‘pelaburan’ anda USD 20. Setiap hari anda
dijamin mendapat pulangan sebanyak 1.8 % , dan jika anda letak USD
1000, maka akan mendapat 2.0 % setiap hari dan jika diberi pinjam USD
5,000 akan dibalas dengan riba sebanyak 230 %. Dalam masa 100 hari.
Secara sepakat ulama Shariah silam dan kontemporari, jaminan untung ini
adalah namanya RIBA dan bukan pelaburan. Saya juga telah mengulas
perkara ini semasa saya menulis berkenaan Swiss Cash dan juga Em-pay.
EAINDEX dengan terus terang menyebut di laman webnya
"
EAINDEX Plans are designed to simplify the investment process by
providing easy calculation values of $ 20, $ 1000 and $ 5000. Each
index code provides a FIXED RETURN for period of 100 days from
inception"
Adakah anda perasan perkataan ‘FIXED
RETURN’ yang dinyatakan ? Inilah yang dikatakan Riba. Kerana Pelaburan
yang diiktiraf Islam tidak dibenarkan menjamin sebarang keuntungan,
hanya anggaran dan andaian sahaja serta pihak pengurusannya tidak
membuat sebarang janji untuk memberi untung itu. Demikian keputusan
yang disebut secara sepakat oleh ulama silam, iaitu kontrak pelaburan
itu tidak sah menurut Islam. Dan semua untungnya juga tidak sah. (Rujuk
Bada’i as-Sonai’, Al-Kasani, 5/119 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 5/281 ; Mughni
Al-Muhtaj, 3/404 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/44) Manakala Majlis
Penasihat Shariah Dunia, AAOIFI yang saya sebutkan nama pakar-pakarnya
di bawah telah membuat keputusan berikut,
berikut teks fatwanya :- إذا شرط أحد الطرفين لنفسه مبلغاً مقطوعاً , فسدت المضاربة Ertinya
: "Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang
tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu" (
Al-Ma’ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240) Jaminan untung tertentu dalam
sebarang kontrak pelaburan adalah telah sepakat seluruh ulama sebagai
haram kerana ia adalah Riba.
Hadith Nabi yang telah dijadikan Kaedah Fiqh menyebut : أن الخراج بالضمان
Ertinya : Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah
dengan menghadapi risiko (bermakna tiada "(untung tetap dijanjikan dan
pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan
jual beli) " (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508
; Albani : Hasan) Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan
adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi. Selain itu, sebarang
pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman
dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep
pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram
dan kontrak menjadi batal menurut sepakat Ulama.
Isu Kedua : ‘Commodity Futures’ dan Forex
Adapun
sekiranya, tahap pertama tadi berjaya, kita wajib memeriksa tahap kedua
pula. Apabila saya merujuk dan membaca ‘line by line’ penerangan
berkenaan ABB Fund dan Winlifund. Eaindex ternyata ia bukan sahaja
melabur di dalam industri minyak dan gas sebagaimana yang difahami, ini
disebutkan di web ABB Major oil companies, energy services, oil and gas exploration and production companies, and natural gas pipeline companies. ,
tetapi ia juga terlibat menggunakan perniagaan ‘commodity futures’ dan
Forex bagi meraih keuntungan. Ini disebutkan dari petikan dari webnya
iaitu : The ABFUND program is a long term
high yield private investment program managed by a group of
professional traders specialize in trading on equity market, currencies , major market indexes and energy commodity futures
markets. Our successful trading record has maximize high yield return
to our investors’ investment and we are paying real-time in daily basis
through the PAY-IT 4 PROFIT SYSTEM.
Beirkut pula dalam web Winlifund ( http://www.winlifund.com/market.html ) " Basically, the markets are categorized into: Equities , Commodities Currencies , Real Estates "
Anda nampak perkataan CURRENCIES, itulah perniagaan berkaitan Forex,
telah saya bawakan kajian dan keputusan Majlis Penasihat Shariah Dunia
di artikel saya ketika mengulas isu Swiss Cash, sila buka link http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=157&Itemid=72
Berkenaan
‘Commodity Futures’ pula, saya amat pasti, para ustaz yang tidak
terlibat dengan industri perbankan dan kewangan di Malaysia atau
antarabangsa, AMAT SUKAR UNTUK MEMAHAMI apakah erti ‘commodity
futures’, apatah lagi mengulasnya dari sudut hukum, mungkin membaca
tulisan saya ini pun boleh dilanda ‘migrain’. Ia perkara biasa dan
boleh diterima, kerana setiap ustaz mempunyai pengkhususan
masing-masing, seperti saya yang tidak mahir dalam bidang ‘faraid’
(pembahagian harta pusaka), tiada apa yang perlu dimalukan dan aib.
Cuma yang aib adalah berlagak ’specialist’ dan pakar lalu memberi fatwa
dalam bidang yang bukan bidang anda, dengan mudah anda boleh
ditertawakan atau disanggah oleh ’specialist’ kelak dengan hujjah
‘check mate’. Justeru, saya menasihatkan orang ramai yang menjadikan
‘ustaz’ dan ‘ustazah’ sebagai kiblat dalam pelaburan ini memastikan
mereka benar-benar ’specialist’ dalam bidang ini, untuk itu cuba
meminta penjelasan kepada ustaz yang diikuti ini, apakah ‘Commodity
Futures’ dan bagaimana ABB Fund ini boleh menjadi halal bila terlibat
dengan commodity futures?. Sedangkan Majlis Penasihat Shariah Institusi
Kewangan Dunia telah membuat keputusan bahawa (Rujuk keputusan no
5/1/2, Al-Ma’ayir As-Shariah, hlm 371 ; Keputusan Persidangan Dallah
AlBarakah, tahun 1999, no 17/1): TIDAK HARUS (HARAM) DARI SUDUT SYARA’
UNTUK BERURUSAN DENGAN ‘FUTURES CONTRACT’ (termasuk Commodity Futures)
SAMADA MEMBUATNYA, MEMBELI DAN MENJUALNYA.
Ia menjadi haram kerana sebab berikut :-
a)
Penjualan beli komoditi secara tangguh bayaran dan penghantaran
komoditi yang dijual . Ini menyebabkan ia tergolong dalam hadith,
berkatalah Ibn Umar : أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الكالئ بالكالئ Ertinya
: "Sesungguhnya Nabi SAW melarang dari menjual hutang dengan hutang"
(Riwayat Ad-Dar Qutni ; At-Tabrani, Al-Hakim : Sohih atas syarat Imam
Muslim ; Naylul Awtar , no 2187 ; 5/174 ) Imam Ahmad, Ibn Munzir, Ibn
Rusyd, Ibn Quddamah, Ibn Taymiah , As-Syubki dan Imam As-Syawkani
menyebutkan bahawa telah Ijma’ seluruh ulama bahawa haram membeli
secara tangguh serahan barang dan juga tangguh serahan bayarannya.
(Al-Mughni, 4/53 ; Bidayatul Mujtahid, 2/162 ; Az-zarqani ala Muwatta,
3/308)
b) Menurut kebiasaannya penjual secara ‘futures’ ini
menjual komoditi yang belum berada dalam miliknya . Ini dilarang oleh
Nabi SAW sebagaimana hadith لا تبع ما ليس عندك
Ertinya : "Janganlah (dilarang) kamu menjual sesuatu yang belum
dimiliki olehmu" (Riwayat At-Tirmidzi , no 1232 , Albani : Sohih )
Selain dua sebab ini terdapat 2 sebab lain yang menyebabkan Majlis
Ulama Fiqh mengharamkannya. Termasuklah unsur perjudian yang wujud.
Bagaimanapun, cukuplah dua hujjah ini untuk saya dedahkan kepada awam
agar infomasi yang diberikan tidak begitu berat. Sesiapa yang berminat
boleh rujuk di artikel saya tentang Swiss Cash, telah saya ulasnya http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=157&Itemid=72
Sebagai
makluman, keputusan ini dibuat setelah sepakat seluruh Ulama Fiqh
SeDunia bersama perbincangan pakar ekonomi. Ahli Majlis Penasihat
Shariahnya dianggotai oleh ulama seperti berikut :- ·
Sheikh Mufti Taqi Uthmani (Hakim Syarie Mahkamah Tinggi, Pakistan - Pengerusi)
Sheikh Prof. Dr. Muhammad Siddiq Ad-Dharir ( Prof Shariah, Univ Khartoum, Sudan)
Sheikh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli (Prof Shariah, Univ Damsyiq, Syria)
Sheikh Prof. Dr ‘Ajil An-Nashmi ( Prof Shariah, Univ Kuwait)
Sheikh Husayn Hamid Hassan (Pengerusi Majlis Penasihar Shariah, Dubai Islamic Bank, UAE)
Sheikh Abd Rahman Al-Atram ( Penasihat Shariah, Ar-Rajhi Investment Bank, Saudi)
Sheikh Ali Tashkiri ( Setiausaha Agung, Kesatuan Dunia ‘Taqrib’ Sunnah dan Syiah, Iran)
Sheikh Dato’ Ghazali Abd Rahman (Ketua Hakim Syarie, Malaysia)
Sheikh Al-Ayyashi As-Sadiq Al-Faddad ( Ma’ahad Penyelidikan Islam, Islamic Development Bank, Saudi)
Sheikhuna Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, Kumpulan Perbankan Dallah Al-Barakah Sedunia)
Sheikh Ahmad bin Abdullah ( Setiausaha Agung, Majlis Penasihat Shariah, Sudan)
Sheikh Nizam Ya’qubi (Majlis Penasihat Shariah, Bahrain Islamic Bank)
Sheikh Nazih Hammad (Majlis Penasihat Shariah, Citibank Islamic )
Sheikh Dr Mohd Daud Bakar (Pengerusi, Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan, Malaysia)
Itulah
ahli Majlis yang membuat keputusan itu, saya tidak pasti jika anda
masih mempercayai orang tertentu di Malaysia sedangkan ia telah
dibincangkan oleh pakar-pakar seperti di atas.
Isu Ketiga : Syarikat yang amat diragui
Selain
itu, walaupun perniagaan minyak dan gas, eletrik, adalah halal,
dokumen-dokumen utama dan cara jual belinya dilakukan hendaklah disemak
oleh sebuah Majlis Penasihat Shariah terlebih dahulu agar semua rukun
dan syarat jual beli diikuti. Sebagai contoh, Majlis Penasihat Shariah
Dow Jones Islamic Fund, sila buka laman mereka di http://www.investaa.com/
; sebelum meluluskan sebarang syarikat yang boleh di sahkan halal,
mereka akan mengkaji dengan teliti, antara contohnya mereka akan
memastikan syarikat tersebut tidak mempunyai pinjaman konvensional
lebih dari 30 % dan banyak lagi kaedah semakannya. Selain Dow Jones
Islamic, anda boleh merujuk cara semakan dan pengesahan yang dibuat
Jabatan ‘Islamic Capital Market’ di Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia.
Dengan itu anda akan mengetahui bagaimanakah cara mereka mengesahkan
sesebuah Dana Pelaburan itu untuk boleh sebagai halal. Inilah antara
kerja di Suruhanjaya Sekuriti di Jabatan Pasaran Modal Islam. Tidak
perlulah saya dedahkan kaedah ’screening’ mereka kerana ianya agak
teknikal dan hanya akan memeningkan orang awam yang tidak berpengalaman
dalam hal pelaburan. Kesimpulan saya di sini adalah, ABB Fund dan
EAindex tidak pernah memikirkan tentang halal haram, mereka adalah
Kapitalis yang hanya mencari untung semaksimum mungkin tanpa
mengendahkan displin Islam, jika tidak mereka sudah tentu melantik
pakar-pakar Shariah untuk menyemak pelaburan mereka. Dengan tiga hujjah
ini pun sudah jelas, dan tidak perlu lagi saya mendedahkan kepincangan
Shariah dalam system agensi dan commission memperkenalkan ahli bawah
mereka. Jika tiga isu tidak lepas, yang lain juga tiadalah gunanya.
RUNGUTAN & RESPOND
"Kalau
macam tu, semua haram ustaz, Bank Negara, kereta, rumah, ekonomi kita,
negara kita, kedai runcit dan lain-lain" Demikian luahan tak puas hati
yang pasti akan kedengaran bila artikel ini dibaca. Inilah jenis
respond ‘cari makan’ apabila sudah didedahkan satu persatu bahawa
pelaburan yang disertainya adalah bercanggah dengan hukum Allah
SWT. Iaitu, cuba mengaitkan dengan perkara lain agar kelihatan mustahil
untuk mengelaknya, selain itu ada juga yang akan mula mempersoalkan
kewangan peribadi saya pula. Padahal, ia tiada kaitan dengan hukum
pelaburan mereka. Ia dibuat hanya untuk mengubah focus isu ini kepada
topic lain. Nasihat saya, janganlah menjadi tidak teliti tentang hukum
sebelum melabur hanya kerana ia membawa keuntungan lumayan. Membuat
kesimpulan umum tanpa ilmu hanya membawa masalah dan kemerbahayaan
kepada diri sendiri. Saya tidak punyai masa yang panjang untuk
menjelaskan satu demi satu. Cukup saya katakan, bahawa lebih mudah
untuk saya menjelaskan secara ‘lisan’ dari menulis. Justeru, anda
boleh menemui saya atau mendaftar di kursus kewangan Islam yang akan
diadakan 24 Februari 2007 jika anda ingin mengajukan soalan seperti
itu. Saya tidak mahu mempromosi kursus itu di sini, kerana itu saya
katakan, anda masih boleh mengajukannya secara telefon dan berjumpa
saya di kuliah-kuliah bulanan saya di serata lembah Klang secara
percuma. Saya kira, saya mampu menerangkannya dalam masa 5-15 minit
sahaja.
HUJJAH POPULAR UNTUK MENGHARUSKAN YANG HARAM
Hujah-hujah ‘favorite’ dan rapuh yang kerap digunakan mereka adalah seperti berikut :
Hujjah Pertama Mereka
: "Apa salahnya, bukankah ia boleh meningkatkan ekonomi umat Islam",
Jawapan saya : "Ekonomi umat Islam hanya boleh berkembang bila ada
unsur keberkatan. Bermuamalah dengan yang haram, adalah tiada berkat
dan pasti tidak akan berkembang sampai bila-bila. Jika berkembang, ia
hanya menambahkan dosa seperti melahirkan lebih banyak si tamak,
penipu, pemberi dan penerima rasuah dan lain-lain unsur jahat yang
secara senyap menghancur sesebuah masyarakat. Ia disebut oleh Allah
dalam surah Al-Baqarah ayat 278 : "Allah memusnahkan keberkatan dari
harta Riba.."
Hujjah Kedua Mereka : "Maslahat" Jawapan saya : Saya telah jawab isu penggunaan maslahat ketika mengulas isu ASB. Boleh rujuk artikel di link http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=224&Itemid=63….
Kesimpulannya ia adalah ‘Maslahat Mulghah’ iaitu Maslahat yang tertolak.
Hujjah Ketiga Mereka : "Jika tiada duit maka buat kebajikan pun tak boleh" dan yang sepertinya. Jawapan saya : Sebuah hadith menyebut : من جمع مالاً من حرام ثم تصدق به , لم يكن له فيه أجر Ertinya
: Barangsiapa yang megumpulkan wang haram dan kemudian bersedeqah
dengannya( membuat kebajikan ) , maka tiadalah sebarang ganjaran
kebaikan untuknya ( Riwayat Al-Hakim, 1/390; Ibn Hibban, no 797 : Sohih
menurut Ibn Hibban dan Al-Hakim, dipersetujui oleh Az-Zahabi; Albani :
Dhoif)
Hujjah Keempat Mereka : "Sampai tahap dharurat"
Jawapan
saya : Ini adalah anggapan tidak sah, kerana dharurat adalah sesuatu
perlara keperluan asas yang jika tidak dilakukan maka seseorang boleh
hilang nyawanya. (Rujuk Al-Muwaqafat, As-Syatibi). Saya percaya ramai
orang tidak melabur, tetapi masih hidup aman damai. Hujjah Kelima
Mereka : Ada hadith kata " tak boleh lari dari riba di akhir zaman,
semua akan kena debunya" Jawapan saya : Saya telah ulas bahawa hadith
ini dhoif menurut imam Al-Munziri dan Albani. Hujjah Keenam Mereka :
"Tak mengapa nanti kami bersihkan sebahagian bonus dengan mengeluarkan
zakat" Jawapan saya : Syarat wajib zakat ke atas Muslim adalah memiliki
harta itu dengan sah dari sudut Islam, dikeluarkan sebagai tanda
kesyukuran kepada Allah SWT (Rujuk Al-Badai’ As-Sona’i, Al-Kasani, 2/4
; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 11/171; Ad-Deen Al-Khalis, 8/84) . Jelasnya,
zakat tidak boleh menyucikan harta yang haram, ia hanya boleh
menambahkan berkat bagi harta yang didapati dengan cara halal. Secara
sepakat ulama bahawa tiada zakat ke atas harta haram tetapi yang
diperlukan adalah melupuskannya (Qadhaya Az-Zakat Al-Mu’asiroh, Dr Naim
Yasin, 2/208 ). Marah dan Menyekat Untung Saya pasti ada yang amat
marah kerana ia telah mempunyai rangkaian yang cukup luas dan
keuntungan pun sudah mencurah masuk ke akaun dengan lebat sekali. Apa
yang boleh saya nasihatkan hanyalah hadith Nabi yang telah saya
nyatakan dahulu iaitu كل لحم نبت من سحت فالنار أولى به Ertinya
: "Setiap daging yang tumbuh dari harta kotor ( haram) maka Neraka
lebih layak untuknya" ( Riwayat At-Tabrani, 19/136 ; Al-Mughni lil
‘Iraqi, 2/9207 ; Ithaf As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226) Sebagai
penambah kesedaran kita semua, suka saya nyatakan bahawa pelaburan ABB
Fund, Winlifund, Em-Pay, Swiss Cash, EAindex adalah tidak sah menurut
pandangan ulama dan semuanya terlibat dengan Riba dengan jelas. Saya
juga sedar betapa besarnya ujian jika saya berada di tempat pemain,
pelabur dan pelopor abb fund, eaindex dan sudah meraih untung
ribu-ribu..memang sukar. Cuma suka saya ingatkan bahawa, lagi sukar
sesebuah ujian, sudah tentu pahalanya juga lebih besar, sebagaimana
yang pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a dalam sebuah
riwayat : "Pahala kamu adalah berdasarlah tahap keletihan dan
kesukaranmu’
Bergembiralah bagi sesiapa yang berjaya mengekang
nafsunya demi untuk kebahgian di barzakh.. pastinya Rasulullah SAW
berbangga dengan anda !! Malah saya juga merasakan, pahala individu
yang sanggup berhenti kerana Allah ini mungkin lebih hebat dari saya
yang menulis jawapan ini. Allahu akbar.! Sebagai akhirnya, tahukah anda
setara mana besarnya dosa Riba iaitu duit untung yang diperolehi dari
ABB Fund, Winlifund, EAindex, Em-Pay ini?. Saya nyatakan disini bahawa.
Imam An-Nawawi rh berkata : "Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang
pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan
dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama, antara yang
berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi" (Rujuk Al-Majmu’, 9/391
)
BAHAYA DAN KECELAKAAN DARI RIBA Di
sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang
menerangkan perihal besarnya dosa riba yang menjadi sebab mengapa saya
menumpukan masa yang lebih bagi menyelematkan masyarakat Islam darinya.
a) Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Ia berdasarkan Firman Allah SWT : Ertinya : "Wahai orang-orang yang
beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki
Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal
meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya"
(Al-Baqarah : 278)
Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa
yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan ’saki baki’ riba
dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi
peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini menyebut ’saki
baki’, menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar menurut
sunnah dan menjadi mukmin sejati, perlulah ia berpengetahuan jelas
tentang riba serta menjauhkan diri darinya secara seratus peratus. Saya
sering terfikir, bagaimanakah sunnah dapat ditegakkan, Negara Islam
tulen dapat dibangunkan, masyarakat soleh dapat diasaskan dengan hidup
dikelilingi ‘virus’ Riba ini. Sedangkan zahir ayat di atas tadi
membayangkan peperangan itu berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah
bagi setiap individu dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal
ini. Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata : Ertinya : "Akan dikatakan
kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk
berperang dengan Allah SWT" (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran,
At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366) Berkatalah Abu
Hanifah rh pula : " Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling
menakutkan" (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)
Imam
Malik Bin Anas rh pula berkata : Ertinya : "Telah ku membuka
lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati
(dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam
mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya" (Al-Jami’ Li Ahkam
Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 )
Berkata Imam Qatadah rh : " Allah
menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya
dimana sahaja mereka berada" (at-Tabari, 3/72 )
b) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan. Allah SWT berfirman : Ertinya : "Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah" (
Al-Baqarah : 276 ) Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di
akhirat:- Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang
terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang atau habisnya harta
tersebut dari pemiliknya kepada pelbagai bentuk yang tidak berfaedah
dan membawa dosa, sehinggalah ia akan merasa amat miskin dan faqir
(walaupun ia mempunyai wang yang banyak), selain itu, harta tadi akan
menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan
menghinakan diri di sisi Allah SWT, lalu hilanglah sifat amanah,
cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di
timpa ujian harta yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan
doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an
‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut,
1982 , 1/224). Sabda Nabi SAW dari Ibn Mas’ud r.a :- Ertinya : "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa" (
Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn
Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 ) Di Akhirat :
Berkatalah Ibn Abbas r.a : Ertinya : "Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya" (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)
c) Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri Dosa individu terlibat dengan Riba juga adalah seperti berzina dengan
ibu bapa sendiri, saya kira, hadith di bawah sudah tidak perlu huraian
lagi lantaran kejelasannya. Nabi SAW bersabda : Ertinya : " Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.." (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)
d) Lebih Berat dari 36 Kali Zina.
Nabi SAW bersabda : Ertinya : "Satu dirham Riba yang dimakan oleh
seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina
sebanyak 36 kali" ( Musnad Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ;
Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal
wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103 ) Hadis ini bukanlah untuk merendahkan
dosa zina, tetapi ia memfokuskan kepada besarnya dosa riba. Justeru,
saya amat mengharapkan umat Islam membuka mata mereka kepada isu ini.
e) Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar
Ia berdasarkan hadith nabi SAW : Ertinya : "Jauhilah tujuh dosa besar,
Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba,
lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang
suci dengan zina ( tanpa saksi adil) " ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika kumpulan dalil ini masih tidak mampu menyedarkan anda dari
keuntungan dunia yang sementara, Sesungguhnya Allah maha berkuasa atas
segala yang kita lakukan. Justeru, saya tiada sebarang komen lagi.
Saya ucap tahniah bagi sesiapa yang mampu membaca satu persatu
tulisan ini ke tahap ini. Ini bermakna anda sememangnya masih mempunyai
iman di hati dan masih berfikir tentang urusan halal haram. Kini ilmu
telah ada, maka tindakan sahaja yang diperlukan. Akhirnya, cukuplah
sekadar ini huraian ringkas saya, samada pembaca dan peserta semua dana
pelaburan Riba ini ingin berhenti atau tidak, itu terpulanglah kepada
empunya diri masing-masing. Tugas saya secara sukarela yang saya
jalankan hanyalah mendedahkan kebenaran yang tidak dapat lagi
disembunyikan. Saya juga pasti ramai yang ingin berhenti tetapi tidak
tahu apa yang ingin dilakukan dengan keuntungan yang masuk, bagaimana
ingin mendapatkan kembali modal, haruskah untuk mendapatkannya kembali
dan pelabagi lagi bermain di kepala. InshaAllah saya akan cuba menulis
dalam artikel lain. Kerana tidak mahu memanjangkan lain artikel ini.
Sekian Ust Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net/ 29 Muharram 1428 H / 17 Februari 2007