MERUNGKAI MASALAH KHILAFIYAH DAN BIDA’AH

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berkata Syeikh Hasan al-Banna; “Khilaf
Fiqh dalam masalah-masalah cabang hendaklah jangan menjadi sebab
berlakunya perpecahan dalam agama dan membawa kepada permusuhan dan
kebencian kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya….”
.
[1]
 
Taujihat
Hasan al-Banna tersebut sewajarnya menjadi ingatan setiap muslim hari
ini kerana di depan kita ada matlamat perjuangan yang perlu kita capai.
Kalau kita asyik bergaduh sesama sendiri dalam masalah furu’, sudah
tentu penumpuan tidak dapat kita berikan kepada agenda yang lebih besar
dan utama.
 
Islam
membenarkan berlakunya khilaf di kalangan para mujtahid dalam
perkara-perkara furu’ yang tidak berkait dengan usul. Apabila berlaku
khilaf tidak semestinya yang satu benar dan yang satu lagi salah, yang
satu hak dan yang satu batil.
Abu Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Dua
orang lelaki keluar bermusafir (pada zaman Rasulullah s.a.w.). Apabila
masuk waktu solat, mereka tidak memiliki air untuk mengambil wudhuk,
lalu mereka bertayammum dan mengerjakan solat. Namun setelah itu mereka
menemui air dan waktu solat masih ada. Maka salah seorang dari mereka
mengambil wudhuk dan mengulangi solatnya, adapun yang seorang lagi
tidak mengulangi solatnya. Tiba di Madinah, mereka datang merujuk
kepada Rasulullah s.a.w.. dan menceritakan apa yang berlaku itu. Lalu
Rasulullah berkata kepada lelaki yang tidak mengulangi solatnya; “Apa
yang kamu lakukan menepati sunnah dan solat kamu adalah sah/dikira bagi
kamu”. Kepada seorang lagi pula Rasulullah berkata kepadanya; “Bagi
kamu pahala/ganjaran dua kali”
.
(Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai. Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, bab at-Tayammum)
Kerana
itu bagi Imam as-Suyuti, khilaf yang berlaku di antara mazhab-mazhab
berlegar antara yang paling benar dan yang benar, bukan di antara yang
benar dan yang salah.[2]
Oleh demikian, berdasarkan pandangan ini, apabila kita berpegang dengan
suatu pandangan mazhab –dalam masalah khilaf-, kita hanya layak untuk
berkata; ‘Pada hemat saya inilah pandangan yang paling benar, adapun
pandangan lain adalah benar’. Tidak harus kita berkata; “Bagi
saya inilah sahaja pandangan yang benar, adapun pandangan lain adalah
batil, munkar, bid’ah atau salah!”.
Perbezaan
pendapat di antara para ulamak mujtahid mendatangkan rahmat kepada
umat. Hal ini ditegaskan oleh banyak ulamak. Antaranya Imam Ahmad yang
berkata; “Perbezaan pendapat itu adalah kelapangan (bagi umat)”. Berkata Umar Abdul ‘Aziz; “Aku
tidak gembira jika para sahabat tidak berbeza pendapat. Kerana jika
mereka tidak berbeza pendapat tidak akan ada kelapangan bagi umat…”
.
Berkata Imam as-Syatibi; “Ikhtilaf antara ulamak adalah rahmat bagi umat”.[3]
Oleh
demikian, setiap orang Islam hendaklah berlapang dada dan menerima
kepelbagaian pandangan dalam Islam yang dikeluarkan oleh para ulamak
mujtahid. Tidak menjadi kesalahan jika ia hendak mengkaji di antara
semua pandangan ulamak dalam suatu masalah, mana yang paling tepat.
Namun hendaklah ia benar-benar memiliki kemampuan untuk berbuat
demikian, di samping menjaga adab dengan para ulamak terdahulu serta
meraikan adab-adab khilaf.

Khilaf yang tidak diizinkan
Namun,
harus difahami juga bahawa bukan semua perkara harus berlaku khilaf.
Khilaf hanya harus dalam masalah furu’. Adapun dalam masalah aqidah
atau usul, tidak harus berlaku khilaf. Oleh demikian, apabila berlaku
pertembungan antara aqidah Ahlus-Sunnah dengan Muktazilah, Qadariah,
Syi’ah dan seumpamanya, orang Islam wajib berpegang dengan aqidah
Ahlus-Sunnah kerana ia adalah satu-satunya fahaman aqidah yang menepati
al-Quran dan as-Sunnah. Dalam suasana hari ini, umat Islam wajib
menolak segala bentuk ideologi yang bertentangan dengan aqidah Islam
seperti Sekular, Komunis, Sosialis, Liberalisme dan sebagainya kerana
tidak harus berlaku perbezaan dalam pegangan aqidah di kalangan umat
Islam.
Berkata Imam al-Khattabi; Khilaf dalam agama ada tiga bahagian;
Pertama; dalam mengisbatkan Pencipta dan keesaanNya. Mengengkari yang demikian adalah kufur.
Kedua; Dalam masalah sifat-sifat Allah dan kehendaknya. Mengengkarinya adalah bid’ah.
Ketiga; Dalam masalah furu’ yang diihtimalkan pelbagai pandangan.
Hal ini dijadikan Allah sebagai rahmat dan kemuliaan bagi para ulamak. Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan dalam hadis Ikhtilaf (ulamak mujtahid) umatku adalah rahmat”.[4]
Berkata Imam as-Subki; Tiada syak bahawa khilaf dalam usul adalah sesat dan menjadi penyebab kepada segenap kefasadan sebagaimana ditunjuki al-Quran”.[5]

Tidak harus mengingkari masalah khilaf
Dalam senarai kaedah-kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang menegaskan;
لا ينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه
Tidak diingkari perkara yang diikhtilafkan, akan tetapi diingkari perkara yang telah diijmakkan”.[6]
Berkata al-Hafidz Ibnu Rajab; “Munkar
yang wajib diingkari ialah yang telah diijmakkan oleh para ulamak ke
atasnya. Adapun perkara yang diikhtilafkan berkenaannya, maka di antara
pandangan sahabat-sahabat kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Hanbali);
tidak wajib mengingkari orang yang melakukannya kerana ijtihadnya atau
kerana ia bertaklid kepada seorang mujtahid dengan taklid yang harus
”.
[7]
Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya’nya; Tidak
harus bagi seorang bermazhab Hanafi mengingkari seorang bermazhab
Syafi’ie yang memakna dhab, dubu’ dan yang tidak dibacakan Basmalah
(ketika disembelih). Begitu juga, tidak harus seorang bermazhab
Syafi’ie mengingkari seorang yang bermazhab Hanafi yang meminum nabiz
yang tidak memabukkan…”.
Berkata Imam Nawawi; “Amalan-amalan
dan ucapan-ucapan yang rumit yang tertakluk dengan ijtihad, tidak harus
orang-orang awam menceburinya dan tidak harus mereka mengingkarinya.
Hal demikian hendaklah diserahkan kepada para ulamak. Para ulamak pula
mereka hanya mengingkari/menegah perkara yang telah diijmakkan. Adapun
perkara yang diiktilafkan, tidak ada keingkaran terhadapnya kerana
menurut salah satu dari dua mazhab (berkenaan ijtihad); setiap mujtahid
adalah benar. Pandangan ini adalah yang terpilih di sisi ramai para
muhaqqiqin (penganalisis) atau kebanyakan mereka. Adapun menurut satu
pandangan/mazhab lagi; yang benar satu sahaja dan yang salah tidak
tertentu bagi kita dan dosa terangkat darinya…”.
Berkata Imam Ibnu Taimiyyah; “Jika
suatu masalah itu harus ijtihad padanya maka tidak dipertikaikan orang
yang berbeza pandangan sama ada ia seorang mujtahid atau yang
bertaklid”.

Berpegang dengan mazhab

Kaum muslimin terdiri dari dua golongan;
1.
Golongan yang memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini
dikenali sebagai mujtahid dan bilangan mereka amat sedikit kerana para
ulamak silam meletakkan syarat yang cukup ketat bagi ijtihad demi
menjaga agama dari diseleweng atau disalahtafsirkan. Golongan ini tidak
harus bertaklid. Mereka wajib mencungkil sendiri hukum hakam dari
al-Quran dan as-Sunnah.
2.
Golongan yang tidak memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini
adalah kebanyakan penganut Islam. Mereka dituntut merujuk kepada
alim-ulamak berdasarkan perintah Allah;
“…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”. (an-Nahl: 43)
فإنما شِفَاء العِيّ السُّؤالُ
“Sesungguhnya ubat bagi orang yang jahil ialah bertanya”.
(Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni)
Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Harus
bertaklid bagi orang yang tidak sampai darjah ijtihad. Wajib atasnya
mengikuti seorang imam yang dapat ia mengambil panduan darinya dan
bertaklid kepadanya dalam mengenali hukum-halam halal dan haram. Tidak
harus bagi orang sepertinya untuk memberi fatwa kepada orang lain
sekalipun ia memiliki keseluruhan kitab-kitab hadis”
.[8]
Berkata Imam as-Syatibi; “Fatwa-fatwa para mujtahidin dinisbah kepada orang-orang awam umpama dalil-dalil Syarak dinisbah kepada para mujtahid”. [9]
Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; Seorang
mujtahid hendaklah memperolehi hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang
asli dengan cara pemerhatian dan ijtihad. Tidak harus taklid baginya.
Adapun orang yang tidak mampu berijtihad, wajib atasnya bertanya ahli
ilmu (ulamak). Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara musyafahah atau
dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di dalam
kitab-kitab yang dipercayai yang menceritakan tentang
pandangan-pandangan mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang soheh.
Oleh demikian, harus bagi orang awam untuk mengikuti satu mazhab
tertentu dari mazhab-mazhab yang makruf dan wujud hari ini dan
dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh….”
.[10]

Masalah Bid’ah

Bid’ah
akhir-akhir ini telah menggoncang kesatuan para pendokong Islam dalam
menghadapi musuh-musuh mereka yang semakin hebat dan semakin licik
mengatur serangan. Melakukan bid’ah sememangnya suatu kesalahan atau
dosa dalam Islam. Tetapi harus diingat bahawa bukan bid’ah sahaja
satu-satunya penyakit yang bakal merosakkan umat Islam dan kekuatan
mereka. Di sana terdapat penyakit kufur, syirik, nifaq, munkar, dosa
dan maksiat yang di mana penyakit-penyakit ini diulangi berpuluh kali
oleh Allah di dalam al-Quran (malah juga as-Sunnah) berbanding dengan
bid’ah yang disebut dalam beberapa hadis sahaja.
Malah
dewasa ini munkar dan maksiat menjadi masalah besar dalam masyarakat
kita, namun terdapat sesetengah pihak cuba memalingkan perhatian kita
dari memikirkan masalah besar tersebut kepada memikirkan persoalan
bid’ah dalam hal-hal furu’.
Para
ulamak sepakat bahawa istilah bid’ah mengikut Syarak hanya berlaku
dalam masalah agama. Secara khususnya ia merangkumi tiga persoalan;
1. Aqidah
2. Ibadah
3. Halal dan haram
Begitu
juga, mereka mensepakati bahawa perkara baru dalam agama yang
direka-reka tanpa mempunyai sebarang asas atau asal-usul dari Syarak
(sama ada dari al-Quran, as-Sunnah, Ijmak atau sebarang bentuk
pendalilan yang muktabar di sisi ulamak), maka ia adalah bid’ah yang
sesat. Ia dinamakan sebagai bid’ah haqiqiyah yang disepakati ulamak
bahawa ia haram dan tercela. Contohnya ialah;
1.
Dalam masalah aqidah; bid’ah Muktazilah, Jabariyah, Qadariah. Pada hari
ini dapat kita masukkan dalam bid’ah jenis ini; Islam liberal, Sekular,
Sosialis dan sebagainya.
2. Dalam masalah ibadah; memuja dan berdoa kepada kubur-kubur yang dianggap keramat, bernazar kepada selain Allah.
3. Dalam masalah halal-haram; menghalalkan riba, arak, judi, pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya.
Di
sana terdapat bentuk bid’ah yang diikhtilafkan antara ulamak iaitu
bid’ah yang dinamakan sebagai bid’ah idhafiyyah. Bid’ah Idhafiyyah
ialah suatu amalan yang terdapat asal-usulnya dalam syarak, cuma
kaifiyat dan cara pengamalannya sahaja yang ditambah dari yang
disebutkan Syarak. Kerana itu ia dinamakan Idhafiyah yang bermaksud
sandaran/tambahan. Contoh amalan yang termasuk dalam kategori bid’ah
idhafiyah ini ialah;
1. Berzikir dan berdoa selepas solat beramai-ramai (secara berjamaah).
2. Bersalaman selepas solat fardhu.
3. Membaca tahlil beramai-ramai.
4. Muazzin membaca selawat dengan suara yang kuat selepas melaungkan azan.
5. Tambahan Saidina dalam selawat.
6. Membaca Yaasin malam jumaat.
7. Berpuasa nisfu Syaban
8. Himpunan maksurat yang dibaca di waktu pagi dan petang.
Para ulamak dalam mentafsirkan bid’ah terdapat dua kecenderungan;[11]

Pertama;

Meletakkan semua jenis bid’ah adalah haram dan sesat tanpa
membahagikannnya kepada bid’ah hasanah dan bid’ah saiyyiah atau
mazmumah. Antara ulamak yang mempunyai kecenderungan ini ialah Imam
Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim, as-Syatibi dan aliran Salafi hari ini.
Bagi kumpulan ini, bid’ah idhafiyah juga tergolong dalam bid’ah yang
diharamkan. Bagi mereka, bukan hanya amalan perlu ada dalil, malah
kaifiyat dan cara mengamalkan juga perlu ada dalil.

Kedua;

Membahagikan bid’ah kepada dua kategori iaitu bida’h hasanah dan bid’ah
saiyyiah. Bid’ah hasanah ialah amalan-amalan yang menepati dalil-dalil
Syarak. Adapun bid’ah saiyiah ialah yang bercanggah dengan dalil-dalil
Syarak. Pandangan ini menjadi pegangan jumhur ulamak termasuk Imam
Syafi’ie, Imam Ibnu Hazm, Imam al-Ghazali, Imam Ibnu al-Athir, Imam
Nawawi, Imam Ibnu Hajar, Imam al-Zarkasyi, Imam al-Qarafi dan
sebagainya. Bagi pandangan ini, jika suatu amalan itu terdapat
asal-usulnya dari Syarak, maka tidak boleh dinamakan bid’ah yang sesat
jika dilakukan dengan kaifiyat yang ditambah asalkan kaifiyat itu tidak
bertentangan dengan Syarak. Kecualilah jika terdapat dalil yang
menegaskan suatu amalan itu wajib dilakukan dengan kaifiyat tertentu,
maka tidak harus berpaling kepada kaifiyat yang lain seperti solat lima
waktu dan sebagainya.
Berkata Imam Syafi’ie; “Perkara-perkara baru dalam urusan agama ada dua jenis;
Pertama; Perkara baru yang menyalahi al-Quran, as-Sunnah, atsar (kata-kata sahabat) atau ijmak, maka ia adalah bid’ah yang sesat.
Kedua;
Perkara baru yang berbentuk kebaikan yang tidak ada seorang ulamak pun
yang mempertikainya, maka ia adalah perkara baru yang tidak
tercela.Saidina Umar r.a. pernah berkata mengenai solat Terawikh (yang
dilakukan berjamaah di belakang seorang imam); “Sebaik-baik bid’ah
ialah ini”. Ianya membawa erti bahawa ianya benda baru dan belum pernah
dilakukan sebelumnya…”.
[12]
Berkata Imam Ibnu Rajab; “Yang
dimaksudkan dengan bid’ah itu ialah perkara yang baru diwujudkan yang
tidak ada dalil yang membuktikannya di dalam Syariat. Manakala sesuatu
yang mempunyai dalil yang menunjukkannya, maka ia bukanlah bid’ah dari
segi Syarak walaupun ia bid’ah dari segi bahasa”
.
[13]
Dalam
apa keadaan sekalipun, setiap muslim harus menerima hakikat bahawa
amalan-amalan dalam bid’ah idhafiyah tersebut menjadi medan khilaf di
kalangan ulamak. Sebagaimana ditegaskan tadi, dalam masalah khilafiah
kaum muslimin hendaklah berlapang dada sesama sendiri demi menjaga
kesatuan sesama mereka. Adalah lebih baik memberi tumpuan kepada
membasmi gejala murtad, maksiat, munkar dan bid’ah haqiqiyah dari
menyebukkan diri dengan bid’ah idhafiyah yang pastinya tiada
penyudahnya. Hal tersebut telah diperingatkan oleh Syeikh Hasan
al-Banna sejak 50 tahun yang lalu di mana beliau menulis dalam risalah
Usul al-’Isyrinnya;
“Setiap
bid’ah di dalam agama yang tiada asal-usulnya (dari nas Syarak), hanya
semata-mata dipandang elok oleh hawa-nafsu manusia sama ada dengan
menambah atau mengurangnya, ia adalah sesat dan wajib diperangi. Namun
untuk membasminya hendaklah dengan jalan terbaik yang tidak membawa
kepada keburukan yang lebih besar”.
(Usul ke 11)

“Bid’ah
Idhafiyyah dan at-Tarkiyyah dan melazimi ibadah-ibadah yang mutlak
merupakan khilaf fiqh di mana setiap ulamak terdapat pandangannya
tersendiri. Namun tidak menjadi kesalahan untuk mencari kebenaran
berdasarkan dalil dan bukti”.
(Usul ke 12).
Syeikh Said Hawa juga menegaskan; “Tidak
harus kita menghukum suatu amalan sebagai bih’ah yang diharamkan
kecuali apabila telah disepakati oleh imam-imam mujtahid atau imam-imam
fatwa bahawa ia adalah bid’ah. Adapun jika mereka berikhtilaf dalam
membid’ah atau mengharamkannya, maka perkara terbabit adalah luas
(yakni diberi kelonggaran) dinisbah kepada orang awam. Adapun bagi
orang yang mengetahui jalan-jalan dalil, maka perkara tersebut baginya
lebih sempit di mana jika yang rajih baginya ialah dalil terkuat yang
membid’ahkannya, maka wajib atasnya menjauhi perkara tersebut. Namun
tidak ada hak baginya untuk berkeras mengingkari orang yang mengikuti
imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa dalam hal atau masalah seumpama
itu…”
.
[14]
والله أعلم بالصواب

Bacaan dan rujukan;
1. Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, Dar al-I’tisham, Qaherah-Mesir (1989)
2. Fahmul-Islam Fi Dzilali al-Usul al-‘Isyrin, Syeikh Jum’ah Amin Abdul-Aziz, Dar ad-Da’wah, Iskandariyah-Mesir (1990).
3. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, Imam an-Nawawi, Muassasah al-Mukhtar, Qaherah-Mesir (2001)
4. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, al-‘Allamah al-Minawi, Dar al-Fikr (tanpa tarikh).
5. Al-Asybah wa An-Nazair Fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh asy-Syafi’iyyah, Imam as-Suyuti, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan.
6.
Taghyir an-Munkar Baina al-Ifrat wa at-Tafrit, al-Hafidz Ibn Rajab
al-Hanbali, Dar al-Kitab al-‘Arabi, Syirbin-Mesir (1991).7. Al-Wajiz Fi
Usul al-Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan, Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr
al-Islami, Qaherah-Mesir (1993).
8. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan (1996)
9.
Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, Dar as-Salam,
Qaherah-Mesir (1992).Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud,
Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr al-Islami, Qaherah-Mesir (1993).
[1] Usul ke 8 dari Usul Isyrin, Syeikh Hasan al-Banna.
[2] Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, hlm. 34.
[3] Fahmul-Islam, hlm. 134.
[4] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi.
[5] Faidhul-Qadier, hadis no. 288.
[6]
Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.Dikecualikan khilaf
yang lemah dan boleh menjadi faktor pendorong kepada larangan yang
telah disepakati. Contohnya; Khilaf dalam masalah riba an-Fadl.
Sekalipun terdapat pandangan Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar
mengharuskannya, tetapi pandangan mereka amat lemah kerana terdapat
hadis soheh yang banyak yang menegaskan pengharamannya. Malah terdapat
keterangan bahawa mereka berdua telah menarik kembali pandangan mereka
itu. Begitu juga, khilaf dalam masalah nikah Mut’ah. Khilaf tersebut
adalah lemah dan boleh membawa kepada penzinaan. (Rujuk; Taghyir
an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 64. Lihat juga;
Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.).
[7] Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 63-64.
[8] Fahmul-Islam, hlm. 111.
[9] Fahmul-Islam, hlm. 111.
[10] Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, hlm. 409.
[11] Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, hlm. 123.
[12] Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, jil. 3, hlm. 21.
[13] Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (dinaqalkan dari kitab Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 361).
[14] Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 341-342.

Usrah Ibnu Masran Al-Banjari

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.