Archive for August, 2007

Puasa Bulan Sya`ban

Monday, August 27th, 2007

Diriwayatkan oleh A’ishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa keseluruhan bulan kecuali pada bulan Ramadhan.
Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa dengan kerap di dalam
bulan-bulan lain melainkan bulan Sha’ban.”
[Sahih al-BUkhari (1969) dan
Sahih Muslim (1156)]

Hadith
ini menekankan bahawa adalah Sunnah untuk kerap berpuasa di dalam bulan
Sha’ban. Sha’ban adalah satu bulan yang perlu kita pilih untuk
melakukan lebih banyak puasa sunat.

Berpuasa pada hari-hari di dalam bulan Sha’ban adalah Sunnah.

A’ishah juga berkata: “Baginda sering berpuasa keseluruhan bulan Sha’ban” [Sahih al-Bukhari (1970)]

Dia juga berkata: “Baginda sering berpuasa di dalam Bulan Sha’ban kecuali beberapa hari di dalamnya.” [Sahih Muslim]

Usamah b Zayd berkata:

Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa dengan lebih kerap seperti yang baginda lakukan di dalam bulan Sha’ban.

Aku
bertanya mengapa Baginda berbuat demikian, dan Baginda menjawab: “Ini
adalah bulan yang orang tinggalkan di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan.
Sedangkan inilah bulan dimana amalan diangkat kepada Tuhan seluruh
Alam, dan aku suka supaya amalan aku diangkat ketika aku sedang
berpuasa.”

 

Hadith ini diriwayatkan di dalam Musnad Ahmad (21735) dan Sunan al-Nasa’i (2357). Ibn Muflih berkata tentangnya di dalam al-Furu’ (3/120): “Ia mempunyai sanad yang baik”

Menentukan 15 Sha’ban untuk berpuasa

Bukti
yang dibawakan di atas adalah benar untuk keseluruhan bulan. Tidak ada
hari atau-hari-hari tertentu di dalam bulan Sha’ban yang digalakkan
secara khusus untuk berpuasa. Tidak ada kelebihan tertentu untuk
berpuasa pada hari yang ke-15 bulan Sha’ban.

Terdapat
satu hadith yang lemah berbunyi: “Apabila pertengahan Sha’ban tiba,
dirikanlah solat keseluruhan malam dan berpuasa keesokan harinya,
kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut dan
pada waktu terbenam matahari mengumumkan: ‘Adakah sesiapa yang memohon
keampunanKu supaya Aku ampunkan? Adakah sesiapa yang memohon kecukupan
dariKu supaya Aku cukupkan? Adakah sesiapa yang menghadapi kesukaran
agar Aku dapat ringankan?? …’ dan Dia terus bertanya sehingga terbit
fajar.” [Sunan Ibn Majah (1388)]

Penulis al-Manar telah memastikan bahawa hadith ini bukan sahaja lemah, malah direka. Beliau berkata:

Yang
benar adalah hadith ini rekaan. Pada isnadnya terdapat Abu Bakr b ‘Abd
Allah b. Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Ibn Abi Sabrah.

Ahmad b Hanbal dan Yahya b Ma’in telah mendedahkan bahawa beliau adalah pereka hadith. [Juga rujuk: Majmu’ al-Fatawa (5/266)]

Oleh
kerana amalan mengkhususkan 15 Sha’ban untuk berpuasa tidak dapat
dibuktikan dari mana-mana hadith yang sohih, maka ia adalah amalan yang
tiada asasnya. Semua ulama’ sepakat bahawa hadith yang lemah dan
direka-cipta tidak boleh dijadikan hujjah untuk amalan Ibadah.

Satu
pengecualian kepada keadaan ini adalah apabila terdapat kes di mana
hadith yang lemah mempunyai sokongan dari banyak jalan periwayatan yang
lain sehingga menguatkannya ke tahap yang lebih baik. Dalam kes ini, ia
boleh digunakan sebagai hujjah untuk melakukan amalan Ibadah asalkan ia
tidak bercanggah dengan hadith yang lebih kuat.

Maka,
menjadi suatu innovasi didalam beribadah (bid’ah) apabila mengkhususkan
hari tertentu untuk berpuasa, kerana mana-mana perbuatan ibadah yang
tidak mempunyai hujjah dari Sunnah adalah bid’ah didalam agama.

Ini
tidak bermakna kita perlu mengelakkan diri dari berpuasa pada 15
Sha’ban. Ia seperti hari-hari lain di dalam bulan Sha’ban dan keumuman
hadith yang menggalakkan berpuasa di dalam bulan Sha’ban adalah untuk
kesemua hari di dalamnya. Apa yang salah adalah mempunyai niat untuk
mengkhususkan hari tersebut (15 Sha’ban) untuk berpuasa.

 

Wallahu’alam.

ANAK MENJADI MURTAD SEBAB BAPA BUAT AMALAN SYIRIK!!!

Friday, August 3rd, 2007

Merujuk di lamanweb bernama.com, ada mendedahkan satu berita berkenaan
dengan tindakan “orang no 1 negara” yang telah mengalungkan bunga di
Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan 2007 baru-baru ini[1].

Tindakan
“orang no 1 negara” tersebut sebenarnya satu amalan syirik yang
pengakuannya telah diakui sendiri oleh majlis mesyuarat mufti pahang
sekalipun[2].

Melihat
kepada kedegilan Bapa Islam Hadhari yang Badwi itu, menggambarkan
betapa beliau seorang yang didakwa sebagai seorang yang faham agama,
tetapi hakikatnya beliau merupakan pembawa racun-racun syirik yang
berbisa yang akan menghinggap dijiwa dan hati setiap umat Islam di
Negara ini.

MURTAD YANG MEMBIMBANGKAN

Di Malaysia, gejala
murtad sudah menjadi sesuatu isu yang membimbangkan (walaupun tidak
dibimbangi oleh mufti Perlis). Kemurtadan manusia di zaman ini sudah
sampai kepada tahap yang kritikal. Manusia sekarang bukan sekadar
mereka murtad, bahkan mereka sudah berani meminta bantuan pihak
mahkamah untuk mengisytiharkan mereka sebagai murtad.

Disamping
gejala ini merungsingkan pemikiran umat Islam di Negara ini, dilihat
“Orang No 1 Negara” yang merupakan Bapa kepada seluruh rakyat di Negara
ini telah melakukan satu amalan syirik yang telah di isytiharkan
kesyirikan amalan tersebut oleh pihak mufti-mufti.

Bila di
perhatikan kepada tindakan Bapa rakyat Malaysia ini, pemikiran kita
akan mendapat satu jawapan disebalik persoalan berkenaan gejala murtad
yang sedang menimpa umat Islam di Negara ini. Yang Ia menandakan,
gejala murtad yang sedang menimpa berpuncakan dari sikap dan tindak
tanduk yang dilakukan oleh “Orang No 1 Negara” sendiri.

DOSA SYIRIK

Syirik
merupakan dosa yang dinyatakan oleh Allah. Banyak-banyak dosa, semuanya
akan diampunkan oleh Allah SWT melainkan syirik. Perkara ini telah
dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;

إِنَّ اللَّهَ لَا
يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ
وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik
mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa
Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan
SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu
Yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar”

(Surah An-Nisa’ : 48)

Dalam firman yang lain, Allah menyatakan;

إِنَّ
اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ
لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang Yang
mempersekutukanNya Dengan sesuatu (Apa jua), dan akan mengampunkan Yang
lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya
(menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa Yang mempersekutukan
Allah Dengan sesuatu (Apa jua), maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan
kesesatan Yang amat jauh”

(Surah An-nisa’ : 116)

Dari dua
firman Allah ini, Allah SWT menyatakan tentang kadar dosa bagi manusia
yang melakukan syirik kepada Allah. Pada ayat yang pertama, Allah
menyatakan bahawa syirik merupakan dosa yang besar, sedangkan dalam
ayat yang kedua, Allah menyatakan bahawa syirik merupakan kesesatan
yang jauh dari petunjuk dan hidayah Allah SWT.

SYIRIK ULUHIYYAH DAN SYIRIK RUBUBIYYAH

Sesungguhnya
syirik itu boleh berlaku dari sudut uluhiyyah Allah seperti melakukan
upacara kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara. Begitujuga, syirik
juga boleh berlaku di sudut rububiyyah Allah.

Kebanyakan manusia
melakukan syirik dari sudut rububiyyah Allah, iaitu mereka mendakwa
bahawa perlaksanaan Islam itu tidak dapat memberi keamanan kepada
Negara.

Kesyirikan dari sudut rububiyyah ini dinyatakan oleh Hadis berdasarkan tafsiran dari firman Allah;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
          “mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai tuhan selain dari Allah”

(Surah At-Taubah : 31)

Ketika
ayat ini dibacakan, seorang Nasrani yang bernama ‘Adi bin Hatim datang
berjumpa dengan Nabi dalam keadaan memakai salib di lehernya. Dia
berkata kepada Baginda SAW, “sesungguhnya mereka (orang yahudi dan
nasrani) tidak pernah menyembah pendita-pendita dan ahli-ahli agama
mereka”.

Mendengar perkataan Adi bin Hatim itu, Baginda SAW terus bersabda;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا  لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;

“bahkan, tetapi sesungguhnya mereka mengharamkan keatas mereka perkara
yang Halal dan menghalalkan kepada mereka perkara yang halal, lalu
mereka (orang yahudi dan nasrani) mengikut mereka (pendita dan ahli
agama mereka), maka itulah peribadatan mereka kepada mereka[3]

Dengan
hadis yang dinukilkan ini membuktikan bahawa, kesyirikan itu tidak
semestinya berlaku dari sudut uluhiyyah Allah, seperti disamping
menyembah Allah, tetapi menyembah juga tuhan selain Allah, mengalungkan
bunga ke tugu Peringatan negara dan sebagainya, bahkan syirik itu boleh
berlaku dari sudut rububiyyah Allah, seperti mengikut kata-kata
kepimpinan yang telah menghalalkan perkara yang Allah haramkan dan
begitulah sebaliknya.

WAJIB MENJATUHKAN PEMIMPIN YANG SYIRIK

Apabila
pemimpin melakukan amalan syirik, maka amalan syirik tersebut mudah
tersebar di kalangan manusia, ini adalah kerana, tindak tanduk rakyat
itu banyak dipengaruhi dengan perbuatan yang dilakukan pemimpin.

Justeru
itu, apabila seorang pemimpin di sesebuah Negara melakukan amalan
syirik, Islam mewajibkan untuk menjatuhkan kepimpinan Negara tersebut.
Jika tidak berbuat demikian, nescaya amalan syirik ini pasti akan
berleluasa di kalangan rakyat Negara dan akan melahirkan natijah yang
merosakan aqidah umat Islam.

Firman Allah;

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Maksudnya;
          “Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang Yang beriman”

(Surah An-Nisa’ : 141)

Begitujuga hadis yang diriwayatkan oleh Ubbadah bin Somit yang berkata;

بايعنا على السمع و الطاعة في منشطنا ومكرهنا وعسرنا ويسرنا وأثرة علينا وأن لا ننازع الأمر أهله إلا أن يكون كفرا بواحا عندكم من الله

Maksudnya;

“Kami membaiah (akan Rasulullah SAW) atas dengar dan taat dalam keadaan
cergas kami, kebencian kami, kesusahan kami, kemudahan kami dan
kepentingan diri atas kami dan bahawa kami tidak akan bertelagah dalam
sesuatu urusan akan ahlinya, melainkan bahawa adalah dia melakukan
kekufuran yang nyata disisi kamu daripada Allah[4]

Menurut
Imam An-Nawawi, maksud dengan kekufuran dalam hadis ini adalah maksiat
yang dilakukan oleh pemerintah secara nyata. Begitujuga, Al-Hafiz Ibnu
Hajar menyatakan bahawa, hadis ini tidak ditanggung penakwilan[5].

dengan
perbincangan ini, jelaslah kepada kita, kekufuran merupakan punca yang
paling besar untuk menyebabkan sesuatu pemerintah itu boleh digugurkan
dari kuasanya.

Seperti yang diketahui, setiap yang kufur itu
merupakan syirik dan begitulah sebaliknya, maka dengan tindakan dan
amalan syirik yang dilakukan seseorang pemerintah menyebabkan wajib
kepada rakyat melucutkan pemerintah itu dari memerintah.

PENUTUP

Jika
orang-orang tua dahulu pernah mengungkapkan, “bapa kencing berdiri,
anak kencing berlari”, maka pada kali ini, dapat kita simpulkan, “Bapa
Negara melakukan amalan syirik, maka anak Negara akan menjadi murtad”.

Mungkin
punca gejala murtad sedang difikirkan mengapa ianya berlaku, tetapi
apabila melihat cara dan pendirian “orang no 1 negara” kita, dapat
difahami bahawa, semuanya berpunca dari dirinya sendiri.

Maka
dengan demikian, wajib kepada setiap muslim dinegara ini mengambil satu
tindakan dan usaha bagi mengatasi perkara ini. Jika tidak berbuat
demikian, maka dosa itu akan tertimpa keatas kepala setiap umat Islam
di Negara ini.

Pandang dan fikir !!!!!

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com