Puasa Bulan Sya`ban

Diriwayatkan oleh A’ishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa keseluruhan bulan kecuali pada bulan Ramadhan.
Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa dengan kerap di dalam
bulan-bulan lain melainkan bulan Sha’ban.”
[Sahih al-BUkhari (1969) dan
Sahih Muslim (1156)]

Hadith
ini menekankan bahawa adalah Sunnah untuk kerap berpuasa di dalam bulan
Sha’ban. Sha’ban adalah satu bulan yang perlu kita pilih untuk
melakukan lebih banyak puasa sunat.

Berpuasa pada hari-hari di dalam bulan Sha’ban adalah Sunnah.

A’ishah juga berkata: “Baginda sering berpuasa keseluruhan bulan Sha’ban” [Sahih al-Bukhari (1970)]

Dia juga berkata: “Baginda sering berpuasa di dalam Bulan Sha’ban kecuali beberapa hari di dalamnya.” [Sahih Muslim]

Usamah b Zayd berkata:

Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa dengan lebih kerap seperti yang baginda lakukan di dalam bulan Sha’ban.

Aku
bertanya mengapa Baginda berbuat demikian, dan Baginda menjawab: “Ini
adalah bulan yang orang tinggalkan di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan.
Sedangkan inilah bulan dimana amalan diangkat kepada Tuhan seluruh
Alam, dan aku suka supaya amalan aku diangkat ketika aku sedang
berpuasa.”

 

Hadith ini diriwayatkan di dalam Musnad Ahmad (21735) dan Sunan al-Nasa’i (2357). Ibn Muflih berkata tentangnya di dalam al-Furu’ (3/120): “Ia mempunyai sanad yang baik”

Menentukan 15 Sha’ban untuk berpuasa

Bukti
yang dibawakan di atas adalah benar untuk keseluruhan bulan. Tidak ada
hari atau-hari-hari tertentu di dalam bulan Sha’ban yang digalakkan
secara khusus untuk berpuasa. Tidak ada kelebihan tertentu untuk
berpuasa pada hari yang ke-15 bulan Sha’ban.

Terdapat
satu hadith yang lemah berbunyi: “Apabila pertengahan Sha’ban tiba,
dirikanlah solat keseluruhan malam dan berpuasa keesokan harinya,
kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut dan
pada waktu terbenam matahari mengumumkan: ‘Adakah sesiapa yang memohon
keampunanKu supaya Aku ampunkan? Adakah sesiapa yang memohon kecukupan
dariKu supaya Aku cukupkan? Adakah sesiapa yang menghadapi kesukaran
agar Aku dapat ringankan?? …’ dan Dia terus bertanya sehingga terbit
fajar.” [Sunan Ibn Majah (1388)]

Penulis al-Manar telah memastikan bahawa hadith ini bukan sahaja lemah, malah direka. Beliau berkata:

Yang
benar adalah hadith ini rekaan. Pada isnadnya terdapat Abu Bakr b ‘Abd
Allah b. Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Ibn Abi Sabrah.

Ahmad b Hanbal dan Yahya b Ma’in telah mendedahkan bahawa beliau adalah pereka hadith. [Juga rujuk: Majmu’ al-Fatawa (5/266)]

Oleh
kerana amalan mengkhususkan 15 Sha’ban untuk berpuasa tidak dapat
dibuktikan dari mana-mana hadith yang sohih, maka ia adalah amalan yang
tiada asasnya. Semua ulama’ sepakat bahawa hadith yang lemah dan
direka-cipta tidak boleh dijadikan hujjah untuk amalan Ibadah.

Satu
pengecualian kepada keadaan ini adalah apabila terdapat kes di mana
hadith yang lemah mempunyai sokongan dari banyak jalan periwayatan yang
lain sehingga menguatkannya ke tahap yang lebih baik. Dalam kes ini, ia
boleh digunakan sebagai hujjah untuk melakukan amalan Ibadah asalkan ia
tidak bercanggah dengan hadith yang lebih kuat.

Maka,
menjadi suatu innovasi didalam beribadah (bid’ah) apabila mengkhususkan
hari tertentu untuk berpuasa, kerana mana-mana perbuatan ibadah yang
tidak mempunyai hujjah dari Sunnah adalah bid’ah didalam agama.

Ini
tidak bermakna kita perlu mengelakkan diri dari berpuasa pada 15
Sha’ban. Ia seperti hari-hari lain di dalam bulan Sha’ban dan keumuman
hadith yang menggalakkan berpuasa di dalam bulan Sha’ban adalah untuk
kesemua hari di dalamnya. Apa yang salah adalah mempunyai niat untuk
mengkhususkan hari tersebut (15 Sha’ban) untuk berpuasa.

 

Wallahu’alam.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.