Archive for September, 2007

Baja Mujahadah

Friday, September 7th, 2007

Dr. Danial bin Zainal Abidin

Mujahadah bermaksud "berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak Hawa nafsu."

Dalam
sebuah hadis bertaraf hasan, nabi bersabda, "Seorang mujahid (iaitu
seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana
Allah."

Mengikut Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir, "Secara
dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia
mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara." Apabila nafsu dapat
dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan
mengetepikan kehendak peribadi.

Dalam Ihya Ulumuddin Imam
Al-Ghazali berkata, "Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah
dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu
serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu
seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar
serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah…. Dia tidak akan
sanggup melakukan sesuatu yang maksiat.

Berhubung dengan ini
Abdullah ibn Mubarak berkata, ‘Jika cintamu !benar, kamu akan
mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati
sesuatu’."

Mereka yang sanggup melawan nafsu ialah mereka yang
percaya kepada akhirat serta hari pembalasan. Inilah kekuatan yang ada
pada umat Islam. Kepercayaan ini menjadikan mereka golongan yang
sanggup mengetepikan keseronokan sementara demi untuk mencapai matlamat
jangka panjang yang kekal abadi.

Denis Waitley dalam Empires of
the Mind berkata, "Saya berpendapat, salah satu punca utama yang
menyebabkan Amerika bermasalah besar pada hari ini ialah, rakyatnya
begitu asyik dan ghairah (are we in that category?) dengan keseronokan
jangka pendek dan melupakan kepentingan jangka panjang."

Mereka
yang bermujahadah sebenarnya merupakan golongan yang mementingkan
kepentingan jangka panjang. Antara perkara yang merangsang mereka untuk
mengutamakan kebahagiaan masa depan ialah firman Allah dalam sebuah
hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud,
"Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang salih (nikmat) yang tidak
pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak
pernah dirasai oleh hati manusia."

Mujahadah adalah jambatan
kepada takwa. Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa berkata, "Takwa
adalah hasil daripada hidayah dan hidayah adalah hasil daripada
mujahadah.
Justeru mujahadah melawan hawa nafsu adalah titik permulaan
kepada takwa. Antara amalan yang membantu usaha untuk melawan hawa
nafsu ialah bacaan Al-Quran, solat dan zikir.

Nabi ketika disoal
tentang jalan untuk mencapai syurga telah menjawab, ‘Bantulah dirimu
dengan banyak bersujud’. Banyak bersujud bermaksud banyak bersolat dan
banyakbersolat bermaksud banyak berzikir dan membaca Al-Quran."

Mereka
yang bermujahadah akan mendapat beberapa anugerah istimewa daripada
Allah berdasarkan firmanNya dalam surah Al-Ankabut ayat 69, "Mereka
yang bermujahadah (yakni berjuang secara bersungguh-sungguh) pada jalan
Kami akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami."

Berhubung
dengan ayat iniImam Ad-Darani berkata, "Mereka yang bermujahadah
berdasarkan ilmu yang diketahui, mereka akan ditunjukkan Allah tentang
perkara yang belum diketahui."

Fudail Iyad berkata, "Mereka yang bermujahadah untuk mencariilmu, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan untuk beramal."

Junaid
Al-Baghdadi pula berkata, "Mereka yang bermujahadah dengan bertaubat,
Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan keikhlasan."

Sahabat
Abdullah ibn Abbas pula berkata, "Mereka yang bermujahadah untuk
melakukan ketaatan, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan pahala dan
ganjaran."

Demokrasi dan Daulah Islamiah

Thursday, September 6th, 2007


Artikel Pilihan

Apakah demokrasi yang
diamalkan di negara kita menurut syara’ ataupun tidak. Adakah ianya
relevan dan mempunyai jalan dalam ijtihad muasoroh ulama’ kini? Adakah
ianya perlu dikekalkan sekiranya sistem syariah dipraktikkan secara
total? (bermaksud kuasa mahkamah syariah menyamai kuasa mahkamah sivil
sebagai contohnya).  Artikel ini mengupas tanpa menjadikan nafsu dan
persepsi sempit sebagai hujah.

Di dalam kitab Fiqh Ad Daulah, Prof. Dr Yusuf Al Qaradhawi
telah menjelaskan bahawa pelaksanaan demokrasi adalah dibenarkan kerana
ianya mirip dengan gagasan syura Rasulullah. Terdapat segelintir
masyarakat yang memeperjuangkan konsep syura Rasulullah tanpa mereka
melihat bagaimanakah sebenarnya pelaksanaan syura dan perbincangan pada
zaman Rasulullah. Profesor Yusof melihatkan maslahah yang boleh
diperolehi dengan menggunakan sistem yang diasaskan oleh kaum bukan
Islam dengan memasukkan unsur Islamis dalam pelaksanaannya.

a) Demokrasi dan akal

Perbezaaan
utama syura Islam dengan pelaksanan demokrasi adalah, demokrasi
membenarkan majoriti menetapkan keputusan walaupun bercanggah dengan
hukum Al Quran dan as Sunnah. Sekiranya pelaksanaan syariah diaplikasi,
golongan non muslim hanya akan membahaskan perkara yang bersifat
maslahah umum dan bukannya perkara yang jelas hukumnya di dalam rujukan
Islam. Hakikatnya demokrasi membuat keputusan dan membentuk perundangan
melalui akal fikiran manusia (common law sebagai contoh).

b) Konsep Al Qudhat

Di
dalam Islam bidang perundangan, fatwa, pelaksanaan dan kehakiman
terangkum didalam perbahasan skop al Qudhat. Di dalam skop ini tiada
pemisahan di dalam pembentukan hukum terkini, pelaksanaan serta
kehakiman berdasarkan perundangan tersebut. Namun di sebabkan untuk
memudahkan pelaksanaan kini, bidang kuasa ini boleh dipisahkan
sebaliknya kesemua fatwa terkini perlu diluluskan oleh pihak
perundangan sebelum di laksanakan oleh pihak kehakiman. Hari ini kita
menyaksikan institusi fatwa tiada hak untuk membawa perkara fatwa di
dalam perbahasan perundangan Parlimen. Ini menyebabkan tiada perbahasan
berkenaan syariah di Parlimen. Pada zaman Rasulullah SAW, Rasul sendiri
bertindak sebagai pemimpin negara, hakim serta melaksanakan semua
undang-undang. Namun dalam kepesatan masyarakat Islam, majlis Qadhi
ditubuhkan untuk memudahkan pelaksanaan hukum Islam pada zaman
kesultanan Abbasiyah serta Umayyah. Sultan menggubal undang-undang
dengan dibantu oleh para ilmuan dan ulama’ negara (untuk perkara yang
tidak jelas hukumnya di dalam Al Quran dan Al Hadis).

c) Ahli halli Wal Aqdi

Konsep
ini adalah konsep dimana perwakilan masyarakat adalah ahli halli wal
aqdi yang berilmu, adil serta pandai membuat keputusan bersama-sama
dengan khalifah. Konsep ini boleh diterapkan di dalam demokrasi
sekiranya calon dewan rakyat dan dewan negara mahupun kabinet menurut
kriteria seorang ahli halli wal aqdi Islam. Pada zaman pentadbiran
Saidina Umar RA, majlis ini ditubuhkan untuk memudahkan pentadbiran
beliau. Majlis-majlis pentadbiran awam ditubuhkan untuk maslahah
pentadbiran awam (walaupun belum pernah ditubuhkan pada zaman
pentadbiran Rasulullah SAW ). Persoalan juga timbul tentang hak wanita
dalam menjalankan bidang perundangan dan eksekutif. Namun dalam ijtihad
Imam Abu Hanifah wanita dibenarkan memegang jawatan tertentu kerajaan
termasuk menjadi hakim dengan syarat tertentu selagi tidak memegang
jawatan tertinggi kerajaan. Manakala Imam Abu Ya’la Al Farra’ yang
banyak menulis dalam bidang siasah Islam tidak menggariskan lelaki
sebagai syarat pentadbir tertinggi. Pada zaman Saidina Umar RA juga
kita menyaksikan Ummul Syifa’ binti Abdullah dilantik sebagai penyelia
pasar (suatu jawatan yang mencabar pada zaman tersebut).

d) Pilihanraya

Persoalan
juga timbul lantaran pilihanraya kelihatan bukan daripada pelaksanaan
Islam. Perlu diketahui semasa Imam Al Mawardi menjadi Qadhi di Kufah,
beliau pernah menggagaskan pelaksanaan pilihanraya pemilihan khalifah
Iraq oleh rakyat Kufah dan Baghdad (Ianya berpusat disini kerana
masyarakat berilmu ramai tertumpu di sini). Pilihanraya juga menepati
konsep siasah syariyyah dimana masoleh mursalah digunapakai. Dalam
kepesatan penduduk sesebuah negara serta kesedaran kepimpinan yang
meningkat, pilihanraya adalah solusi terbaik untuk itu serta
mengelakkan huru-hara dalam sesebuah negara.


Kesimpulan

Sebagai
kesimpulan, kita sewajarnya mengetahui konsep demokrasi sebenar tidak
dapat dilaksanakan pada hari ini melihatkan kepada perwakilan rakyat
sendiri yang tidak membawa agenda rakyat tetapi agenda kepartian.
Walaupun di dalam demokrasi ianya menekankan kedaulatan rakyat serta
menganggap rakyatlah sebenarnya pemerintah, namun di dalam Islam
kedaulatan hanyalah terletak pada Allah SWT serta kuasa pelaksana
undang-undang Allah ditaklifkan kepada khalifah Islam dengan dibantu
oleh para ilmuan dan ulama’. Cumanya titik pertemuan demokrasi
dengan Islam ialah, rakyat terbanyak boleh memilih anggota ahli halli
wal aqdi yang sesuai serta berhak memilih khalifah (Amir) yang adil
serta menepati konsep Islam
. Inilah titik homofili yang perlu
difahami dalam kita menggunakan demokrasi sebagai menepati kaedah
masoleh mursalah dalam mewujudkan kepemimpinan yang benar-benar
menepati syariah serta disukai rakyat.

Disebalik Permainan

Monday, September 3rd, 2007
Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada
murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya
ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada
satu permainan… Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di
tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah
"Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!" Murid
muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat
antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat.

Beberapa
saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika
saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam,
maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja
murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya.
Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang
beberapa saat, permainan berhenti.

Sang guru tersenyum
kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya
yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas
membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita
dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi
bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita
menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan
cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa
dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu
tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai, dan ketika "keluar
berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak
lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa
malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang
asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa,
materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya
sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit
menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya
Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu…"
"Baiklah,
permainan kedua…" begitu Guru melanjutkan. "Cikgu ada Qur’an, cikgu
akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet.
Permainannya adalah , bagaimana caranya mengambil Qur’an yang ada
ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berpikir . Ada yang
mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain. Akhirnya Guru
memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur’an. Ia
memenuhi syarat, tidak memijak karpet .
"Murid-murid,
begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya… Musuh-musuh Islam tidak
akan memijak-mijak anda dengan terang-terang…Kerana tentu anda akan
menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam
dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda
perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar. "Jika seseorang
ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah
Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya,
jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya
dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi
dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah
dihancurkan…"
"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan
kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan
perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup,
pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah
meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka… Dan itulah
yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang
Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita… "
"Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya
murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang,
misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang
tidak lagi." "Begitulah Islam… Kalau diserang perlahan-lahan, mereka
tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak
terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sadar".
"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita
berdoa dahulu sebelum pulang…" Matahari bersinar terik takala
anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan pikiran
masing-masing di kepalanya…

Renungilah sahabat
semua… Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita dan
keluarga. Marilah kita sama-sama sedar bahawa agama bangsa dan tanahair
kita semakin terancam ! Umat Islam semakin mudah dibeli dengan wang
ringgit , dilalaikan dengan keindahan dan memuja keseronokan hidup,
hingga hilang maruah dan harga diri! Justeru itu marilah kita betulkan
apa yang termampu bersama-sama. Usah biarkan hingga segala-galanya
sudah terlambat seperti apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di
negara lain, barulah kesedaran itu timbul. Mungkin masih belum
terlambat tetapi kita sudah terlalu lewat untuk merubah dan memperbaiki
kerosakan umat .

Y a Allah satukanlah umat Islam dengan ajaran Mu . Amiiin…