Baja Mujahadah

Dr. Danial bin Zainal Abidin

Mujahadah bermaksud "berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak Hawa nafsu."

Dalam
sebuah hadis bertaraf hasan, nabi bersabda, "Seorang mujahid (iaitu
seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana
Allah."

Mengikut Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir, "Secara
dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia
mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara." Apabila nafsu dapat
dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan
mengetepikan kehendak peribadi.

Dalam Ihya Ulumuddin Imam
Al-Ghazali berkata, "Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah
dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu
serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu
seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar
serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah…. Dia tidak akan
sanggup melakukan sesuatu yang maksiat.

Berhubung dengan ini
Abdullah ibn Mubarak berkata, ‘Jika cintamu !benar, kamu akan
mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati
sesuatu’."

Mereka yang sanggup melawan nafsu ialah mereka yang
percaya kepada akhirat serta hari pembalasan. Inilah kekuatan yang ada
pada umat Islam. Kepercayaan ini menjadikan mereka golongan yang
sanggup mengetepikan keseronokan sementara demi untuk mencapai matlamat
jangka panjang yang kekal abadi.

Denis Waitley dalam Empires of
the Mind berkata, "Saya berpendapat, salah satu punca utama yang
menyebabkan Amerika bermasalah besar pada hari ini ialah, rakyatnya
begitu asyik dan ghairah (are we in that category?) dengan keseronokan
jangka pendek dan melupakan kepentingan jangka panjang."

Mereka
yang bermujahadah sebenarnya merupakan golongan yang mementingkan
kepentingan jangka panjang. Antara perkara yang merangsang mereka untuk
mengutamakan kebahagiaan masa depan ialah firman Allah dalam sebuah
hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud,
"Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang salih (nikmat) yang tidak
pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak
pernah dirasai oleh hati manusia."

Mujahadah adalah jambatan
kepada takwa. Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa berkata, "Takwa
adalah hasil daripada hidayah dan hidayah adalah hasil daripada
mujahadah.
Justeru mujahadah melawan hawa nafsu adalah titik permulaan
kepada takwa. Antara amalan yang membantu usaha untuk melawan hawa
nafsu ialah bacaan Al-Quran, solat dan zikir.

Nabi ketika disoal
tentang jalan untuk mencapai syurga telah menjawab, ‘Bantulah dirimu
dengan banyak bersujud’. Banyak bersujud bermaksud banyak bersolat dan
banyakbersolat bermaksud banyak berzikir dan membaca Al-Quran."

Mereka
yang bermujahadah akan mendapat beberapa anugerah istimewa daripada
Allah berdasarkan firmanNya dalam surah Al-Ankabut ayat 69, "Mereka
yang bermujahadah (yakni berjuang secara bersungguh-sungguh) pada jalan
Kami akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami."

Berhubung
dengan ayat iniImam Ad-Darani berkata, "Mereka yang bermujahadah
berdasarkan ilmu yang diketahui, mereka akan ditunjukkan Allah tentang
perkara yang belum diketahui."

Fudail Iyad berkata, "Mereka yang bermujahadah untuk mencariilmu, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan untuk beramal."

Junaid
Al-Baghdadi pula berkata, "Mereka yang bermujahadah dengan bertaubat,
Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan keikhlasan."

Sahabat
Abdullah ibn Abbas pula berkata, "Mereka yang bermujahadah untuk
melakukan ketaatan, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan pahala dan
ganjaran."

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.