Demokrasi dan Daulah Islamiah
Apakah demokrasi yang
diamalkan di negara kita menurut syara’ ataupun tidak. Adakah ianya
relevan dan mempunyai jalan dalam ijtihad muasoroh ulama’ kini? Adakah
ianya perlu dikekalkan sekiranya sistem syariah dipraktikkan secara
total? (bermaksud kuasa mahkamah syariah menyamai kuasa mahkamah sivil
sebagai contohnya). Artikel ini mengupas tanpa menjadikan nafsu dan
persepsi sempit sebagai hujah.
Di dalam kitab Fiqh Ad Daulah, Prof. Dr Yusuf Al Qaradhawi
telah menjelaskan bahawa pelaksanaan demokrasi adalah dibenarkan kerana
ianya mirip dengan gagasan syura Rasulullah. Terdapat segelintir
masyarakat yang memeperjuangkan konsep syura Rasulullah tanpa mereka
melihat bagaimanakah sebenarnya pelaksanaan syura dan perbincangan pada
zaman Rasulullah. Profesor Yusof melihatkan maslahah yang boleh
diperolehi dengan menggunakan sistem yang diasaskan oleh kaum bukan
Islam dengan memasukkan unsur Islamis dalam pelaksanaannya.
a) Demokrasi dan akal
Perbezaaan
utama syura Islam dengan pelaksanan demokrasi adalah, demokrasi
membenarkan majoriti menetapkan keputusan walaupun bercanggah dengan
hukum Al Quran dan as Sunnah. Sekiranya pelaksanaan syariah diaplikasi,
golongan non muslim hanya akan membahaskan perkara yang bersifat
maslahah umum dan bukannya perkara yang jelas hukumnya di dalam rujukan
Islam. Hakikatnya demokrasi membuat keputusan dan membentuk perundangan
melalui akal fikiran manusia (common law sebagai contoh).
b) Konsep Al Qudhat
Di
dalam Islam bidang perundangan, fatwa, pelaksanaan dan kehakiman
terangkum didalam perbahasan skop al Qudhat. Di dalam skop ini tiada
pemisahan di dalam pembentukan hukum terkini, pelaksanaan serta
kehakiman berdasarkan perundangan tersebut. Namun di sebabkan untuk
memudahkan pelaksanaan kini, bidang kuasa ini boleh dipisahkan
sebaliknya kesemua fatwa terkini perlu diluluskan oleh pihak
perundangan sebelum di laksanakan oleh pihak kehakiman. Hari ini kita
menyaksikan institusi fatwa tiada hak untuk membawa perkara fatwa di
dalam perbahasan perundangan Parlimen. Ini menyebabkan tiada perbahasan
berkenaan syariah di Parlimen. Pada zaman Rasulullah SAW, Rasul sendiri
bertindak sebagai pemimpin negara, hakim serta melaksanakan semua
undang-undang. Namun dalam kepesatan masyarakat Islam, majlis Qadhi
ditubuhkan untuk memudahkan pelaksanaan hukum Islam pada zaman
kesultanan Abbasiyah serta Umayyah. Sultan menggubal undang-undang
dengan dibantu oleh para ilmuan dan ulama’ negara (untuk perkara yang
tidak jelas hukumnya di dalam Al Quran dan Al Hadis).
c) Ahli halli Wal Aqdi
Konsep
ini adalah konsep dimana perwakilan masyarakat adalah ahli halli wal
aqdi yang berilmu, adil serta pandai membuat keputusan bersama-sama
dengan khalifah. Konsep ini boleh diterapkan di dalam demokrasi
sekiranya calon dewan rakyat dan dewan negara mahupun kabinet menurut
kriteria seorang ahli halli wal aqdi Islam. Pada zaman pentadbiran
Saidina Umar RA, majlis ini ditubuhkan untuk memudahkan pentadbiran
beliau. Majlis-majlis pentadbiran awam ditubuhkan untuk maslahah
pentadbiran awam (walaupun belum pernah ditubuhkan pada zaman
pentadbiran Rasulullah SAW ). Persoalan juga timbul tentang hak wanita
dalam menjalankan bidang perundangan dan eksekutif. Namun dalam ijtihad
Imam Abu Hanifah wanita dibenarkan memegang jawatan tertentu kerajaan
termasuk menjadi hakim dengan syarat tertentu selagi tidak memegang
jawatan tertinggi kerajaan. Manakala Imam Abu Ya’la Al Farra’ yang
banyak menulis dalam bidang siasah Islam tidak menggariskan lelaki
sebagai syarat pentadbir tertinggi. Pada zaman Saidina Umar RA juga
kita menyaksikan Ummul Syifa’ binti Abdullah dilantik sebagai penyelia
pasar (suatu jawatan yang mencabar pada zaman tersebut).
d) Pilihanraya
Persoalan
juga timbul lantaran pilihanraya kelihatan bukan daripada pelaksanaan
Islam. Perlu diketahui semasa Imam Al Mawardi menjadi Qadhi di Kufah,
beliau pernah menggagaskan pelaksanaan pilihanraya pemilihan khalifah
Iraq oleh rakyat Kufah dan Baghdad (Ianya berpusat disini kerana
masyarakat berilmu ramai tertumpu di sini). Pilihanraya juga menepati
konsep siasah syariyyah dimana masoleh mursalah digunapakai. Dalam
kepesatan penduduk sesebuah negara serta kesedaran kepimpinan yang
meningkat, pilihanraya adalah solusi terbaik untuk itu serta
mengelakkan huru-hara dalam sesebuah negara.
Kesimpulan
Sebagai
kesimpulan, kita sewajarnya mengetahui konsep demokrasi sebenar tidak
dapat dilaksanakan pada hari ini melihatkan kepada perwakilan rakyat
sendiri yang tidak membawa agenda rakyat tetapi agenda kepartian.
Walaupun di dalam demokrasi ianya menekankan kedaulatan rakyat serta
menganggap rakyatlah sebenarnya pemerintah, namun di dalam Islam
kedaulatan hanyalah terletak pada Allah SWT serta kuasa pelaksana
undang-undang Allah ditaklifkan kepada khalifah Islam dengan dibantu
oleh para ilmuan dan ulama’. Cumanya titik pertemuan demokrasi
dengan Islam ialah, rakyat terbanyak boleh memilih anggota ahli halli
wal aqdi yang sesuai serta berhak memilih khalifah (Amir) yang adil
serta menepati konsep Islam. Inilah titik homofili yang perlu
difahami dalam kita menggunakan demokrasi sebagai menepati kaedah
masoleh mursalah dalam mewujudkan kepemimpinan yang benar-benar
menepati syariah serta disukai rakyat.
