Isu Undi, PIlihanraya & Wakil Rakyat : Pandangan Ringkas
Tuesday, February 19th, 2008Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

Pilihanraya adalah suatu
proses meraih sokongan dan keyakinanan rakyat bagi membolehkan
seseorang calon dipilih mengetuai sesebuah kawasan-kawasan tertentu
atau organisasi-organisasi tertentu, dengannya juga dipilih pimpinan
sesebuah negara.
Adakah proses ini terdapat di
zaman Nabi s.a.w ? Yang nyata, bentuk yang ada hari ini sememangnya
tiada terdapat di waktu pemerintahan Baginda Rasululallah s.a.w.
Namun begitu, ini tidak semestinya menjadikannya sebagai haram, Islam melihat perkara ini kepada maqasid atau maksud sesuatu pelaksanaan itu dibuat.
Ia berbeza dengan hal ehwal
ibadat yang tidak perlu dikaji hikmah tersirat bagi sesuatu pergerakan
ibadah. Undi dan pilihanraya adalah tergolong dalam bab muamalat (
urusan hubungan manusia dengan manusia ) yang diberikan kelonggaran di
dalam Islam yang mana penentuan hukumnya adalah berdasarkan hikmah dan
objektif yang ingin dicapai.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitab beliau “Fiqh Awlawiyyat fi Dhaw Al-Quran wa AS-Sunnah” pernah menegaskan kepentingan untuk memahami Maqasid berbanding hanya terikat dan memegang buta kepada nas zohir semata-mata. (rujuk bab Kepentingan Maqasid atas Zohir ).
Pilihanraya
Lalu dalam hal ini, maksud
pilihanraya dan undi yang utama adalah proses melantik pimpinan yang
diyakini rakyat, dipercayai dan disenangi rakyat untuk diberi tugasan
dan amanah pentadbiran kawasan dan negara.
Sikap Islam dalam hal ini adalah jelas membolehkannya kerana ia hanyalah bentuk-bentuk dan alat bagi mencapai Maqasid as-Shariah, iaitu Negara yang mempunyai pemimpin, bukankah mempunyai pemimpin itu satu kewajiban.
Manifesto & Kempen
Rasulullah s.a.w semasa di
permulaan dakwah juga melakukan kempen bagi menerangkan kepada rakyat
Mekah malah luar Mekah agar meyakini baginda dan seterusnya menganut
Islam. Justeru proses kempen adalah diterima dalam Islam selagi mana
ia tidak berbohong melaluinya. Di zaman ini, amat perlu bagi rakyat
untuk meneliti manifesto dan bukan hanya terpesona dengan rupa wajah
calon bertanding serta kandungan percakapannya semasa kempen.
Manifesto sepatutnya menjadi
penentu utama samada kita diharuskan untuk mengundi seseorang calon itu
atau tidak. Ia ibarat perlembagaan calon dan parti yang bertanding.
Mungkin kita menemui manifesto yang menawan hati namun selepas itu track record serta kemampuan peribadi calon perlu diperhatikan pula.
Tidak wajar juga, untuk kita
hanya menilai manifesto serta calon berdasarkan penilaian aqal serta
material semata. Kerana sesuatu yang baik di sisi aqal dan mata kita
kemungkinan sahaja tidak baik di sisi Allah swt, demikian sebaliknya.
Bukalah hati dan iman bagi berperanan menentukan pilihan kita yang amat
penting ini.
Memang benar, calon yang
berkualiti perlu dititik beratkan, namun dalam konteks Malaysia hari
ini, kehebatan calon sahaja tidak cukup untuknya berperanan, kerana ia
akan terikat dengan manifesto partinya. Kerana itu, manifesto serta
dasar parti perlu dilihat selain kemampuan calon.
Perlu diingat bahawa
Islam meletakkan pertimbangan utama undian atau kesaksian tidak boleh
kerana selain dari Allah swt sebagaimana firman Allah :
وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ
مِّنكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَن
كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ
يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
Ertinya : …persaksikanlah
dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu
tegakkan kesaksian itu karena Allah. Demikianlah diberi pengajaran
dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barang
siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya
jalan ke luar. ( At-Talaq : 2)
Selain itu, tidak
boleh pula rakyat tidak keluar mengundi sedangkan ia berkemampuan
sebagaimana tidak harus saksi-saksi enggan memberikan penyaksian
sebagaimana firman Allah terutamanya apabila diminta untuk membantu proses keadilan dan kebaikan.
وَلاَ تَكْتُمُواْ الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
Ertinya : …dan janganlah
kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barang siapa yang
menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa
hatinya; dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Amat jelas serta terang lagi nyata, sikap Islam terhadap penyaksian
dalam hal hutang dan lain-lain isu yang berkaitan urusan muamalat
sesama manusia (yang meliputi undian dan pilihanraya) adalah HARUS
malah mungkin sampai ke tahap wajib menyertainya dan keluar mengundi
apabila keengganan itu boleh menyebabkan ketewasan calon yang membawa
manifesto yang menjurus ke arah kejayaan dunia dan akhirat.
Penentu peribadi bagi calon
sudah tentulah agama, pemikiran dan perjuangan seseorang calon itu.
Kita tidak mahu bertanggung jawab kelak di akhirat kerana menaikkan
calon yang menyukai kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah s.w.t.
Nabi s.a.w menyebut :-
Ertinya : “Orang yang menunjukkan (membawakan) ke jalan kebaikan akan mendapat pahala sebagaimana orang yang melakukannya”
Demikian juga hadis :-
Dari Abu Hurairah r.a
katanya, sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang mengajak kepada
petunjuk maka baginya dari pahala sama seperti pahala orang yang
mengikutinya tanpa mengurangkan dari pahala orang yang mengikutinya
sedikit pun, barangsiapa yang mengajak kepada kejahatan maka keatasnya
dosa sama seperti orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan sedikit
pun dosa orang yang mengikutinya.
Undi kita termasuk dalam
kategori hadis ini, jika kita mengundi calon baik dan dasar baik,
hasilnya mereka mampu melakukan yang baik, maka kita turut mendapat
keberkatan dan hasil pahalanya. Jika sebaliknya, kita juga menanggung
akibatnya di barzakh dan akhirat. Berhati-hatilah saudara dan saudari,
jangan sampai kita mendapat DIVIDEN DOSA berterusan akibat tindakan
kita sendiri, iaitu undi.
Saksi
Oleh kerana kita yang
mengundi dianggap sedang menjadi saksi terhadap calon atau parti calon
dan manifesto calon. Justeru sebagai saksi kita tidak boleh mengundi
secara sembrono, kita WAJIB menjadi saksi yang adil lagi amanah.
Bagaimana caranya?
Jawapnya, kita wajib menilai
apa yang terdapat disekeliling kita mengikut neraca Islam pertamanya
dan realiti keduanya. Cuba perhatikan samada LIMA (5) asas utama yang
perlu dijaga telah dijaga, iaitu Agama, Nyawa, Maruah dan keturunan,
Harta. Perhatikannya dari sudut kehendak Allah swt, kerana itulah yang
bakal ditanya di alam barzakh dan akhirat kita. Bukan penilaian dari
kacata mata yang sama seperti George Bush.
Selepas penilaian, kita
ibarat di mahkamah untuk ‘testify against’ atau ’support’. Saya
hanyamemberikan panduan umum, keputusan di tangan anda.
Undi
Kaedah mengundi bagi urusan
pilihanraya, adalah diterima oleh Islam memandangkan ia merupakan satu
perkara baru dalam hal keduniaan serta tiada nas qat’ie yang melarang.
Selagi lagi diingatkan kaedah yang disebut oleh Imam As-Syatibi ertinya :
“Asal dalam urusan mualamat dan adat adalah merujuk kepada ma’ani (maqasid)”. (Rujuk Al-Muwafaqat : 2/302).
Maka urusan hubungan politik
seperti pilihanraya ini perlulah dilihat kepada maqasid juga, bukan
sekadar berhujjah bahawa ia tiada di zaman Nabi ini.
Boleh dikatakan secara
ringkas, bahawa Islam tiada masalah dalam menerima kaedah baru ini
apatah lagi ia tergolong dalam perkara KESAKSIAN. Firman Allah :
وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”
Undi merupakan satu kesaksian rakyat terhadap pemerintah yang dipilihnya untuk kebaikan diri mereka di dunia dan akhirat.
Walaupun sistem undian wakil
rakyat ini boleh diteruskan, namun bagi memastikan ia menepati kehendak
Islam ia perlu diletakkan beberapa syarat dan panduan, agar ia
bertepatan dengan Islam sepenuhnya.
Ahli Parlimen & konsep ‘Al-Hakimiah Lillah’ sewajarnya hanya bertindak seorang pimpinan seumpama gabenor wilayah di zaman khilafah Islam.
Dalam konteks zaman ini, ahli parlimen berkumpul di Dewan Rakyat bagi mewakili rakyat dalam beberapa perkara:
i. Menggubal dan memperbahaskan undang-undang baru.
ii.Mengawasi undang-undang
yang digubal.Kedua-dua perkara tersebut adalah termasuk didalam tugas
pemerintah di bawah sebuah kerajaan Islam.
Sudah tentu gabenor-gabenor
wilayah akan bertindak sebagai ‘ahli al halli wal aqd’ iaitu kabinet
utama khalifah. Tugasnya juga sama iaitu menggubal undang-undang baru
yang tidak ditentukan oleh Allah secara qa’tie dan juga mengawasi
undang-undang iaitu amar makruf nahi mungkar.
Cuma titik perbezaan ketara yang WAJIB DIFAHAMI ADALAH, ahli parlimen yang ada hari ini mungkin boleh bertindak menafikan ‘al-Hakimiyah Lillah’
iaitu menafikan kuasa perundangan utama dan asas iaitu hak ALLAH.
Sistem inilah yang menyebabkan terdapat para ulama semasa yang
mengharamkan penyertaan pilihanraya.
Bagaimanapun Al-Qaradhawi
berijtihad menyatakan harus menyertainya bahkan wajib jika dengannya
boleh mengurangkan mudharat terhadap Islam.. DENGAN SYARAT HANYA
MENGAMBILNYA SEBAGAI ALAT, TANPA REDHA DENGAN SISTEM INI, DAN SENTIASA
BERUSAHA AGAR DAPAT MENGUASAI SUASANA PARLIMEN AGAR TIDAK MENAFIKAN HAK
PERUNDANGAN MILIK ALLAH. [Min Fiqh Ad-dawlah Fil Islam, Al-Qaradawi)
Jangan Menang Undi, Iman Tergadai
Selamat menggunakan seluruh
pancaindera kita, terutamanya hati, iman, aqal dan minda dalam
menentukan pilihan kita, pilihan kita juga adalah untuk menentukan
bentuk Negara di masa akan datang serta untuk anak-anak kita yang
tercinta.

Akhirnya, sekali lagi saya
mengingatkan, jauhilah rasuah semasa pilihanraya. Kita tidak mahu musim
pilihanraya menjadi asbab seseorang itu terhumban di dalam neraka
dengan lebih lama. Disebabkan setiap kali pilihanraya rasuah diberi dan
diterima, fitnah menjadi mainan, bomoh dirujuk bagi mendapatkan ‘kuasa
luar biasa’.
Hasilnya setiap kali
pilihanraya berapa ramai yang jatuh syirik, menempah bilik neraka lebih
lama dan menjauhkan diri dari Syurga. janganlah jual iman dan nilai
diri hanya dengan beberapa ratus ringgit. Fikirkanlah….
Sekian
18 Feb 2008


