Pilihanraya dan Kemusykilan Minda Muda

ontario-general-election.jpg

Angin Pilihanraya Umum ke-12 semakin kuat bertiup. Mungkin sesi
fotografi selepas selesai mesyuarat kabinet baru-baru ini menjadi satu
lagi petanda semakin hampirnya PRU12.

Apakah ini suatu spekulasi? Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi
kerana pilihanraya adalah milik kita semua dalam sebuah negara yang
mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Hairan juga saya dengan
saranan sesengah pihak yang menyuruh rakyat berhenti membuat spekulasi
tentang tarikh PRU12. Mengapa pula begitu? Semua pihak perlu tahu
tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk
difahami.

Parti politik yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihanraya mereka.

Rakyat juga perlu melakukan pelbagai perkara untuk memastikan mereka boleh mengundi. Out station, bertugas di luar negara, melakukan pembedahan elektif, menyusun rotation
kerja bagi kakitangan perubatan dan 1001 sebab lagi. Semuanya terpaksa
berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh pilihanraya
dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa.

Tetapi bukanlah hal itu yang menjadi bahan fikir saya kebelakangan
ini. Apa yang lebih membimbangkan saya, ialah kecelaruan pemikiran para
pengundi, khususnya dari kalangan generasi muda yang bakal mengundi
buat pertama kali, tentang segala hal yang berkaitan dengan pilihanraya
dan proses demokrasi di negara kita.

KEMUSYKILAN 1: AKU TIDAK PEDULISMA

Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno
tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang
melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.

Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa
sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara
kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara
kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.

Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara
yang tidak ke mana. Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi
alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti. Anak
muda bukan ada masa untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di
pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik
dan jauh dari pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada
pemerintah atau pembangkang, gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.

Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg.
Isunya lebih dari itu. Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli
kepada pilihanraya. Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya
sering berkait rapat dengan persoalan world view
cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam
bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga
tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan,
minum, kerja, rehat dan kahwin (atau tidak berkahwin tetapi hidup macam
orang kahwin).

an-aam.gif

Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang
ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada
mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh
al-Quran sebagai binatang ternak.

Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi
binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal
tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.

Apa falsafah binatang ternak?

Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan
berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya
tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa
aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari
ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan
falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari
ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!

Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat
sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah
lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya
sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya?
Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.

Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan,
minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang
perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan
dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal
rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan
perutnya semata-mata.

Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.

balhumadhall.jpg
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin
dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang
mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah
orang-orang yang lalai.

[Al-A’raaf  7: 179]

Apakah sikap tidak peduli, lumpuh reaksi dan hambar terhadap
tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara, merupakan simptom
besar kepada melatanya generasi yang hilang arah dan tujuan hidup?

Semua pihak perlu serius memikirkan hal ini. Mereka yang bertanding,
yang berkempen, yang berdakwah, yang bersiasah… isu ini isu semua.
Pilihanraya, demokrasi, baik pulih pemerintahan… adalah isu yang tidak
punya sebarang makna bagi manusia yang hanya berfikir tentang perutnya.

KEMUSYKILAN 2

Disebabkan oleh luasnya capaian internet, pelbagai idea dengan
begitu mudah bertebaran dan tersebar tanpa sempadan. Kita menyediakan
masyarakat yang bebas dalam bermaklumat tetapi pendidikan dan
keseluruhan struktur rakyat kita tidak menyediakan masyarakat yang
bijak mengendalikan maklumat.

Idea bahawa demokrasi itu Barat, tidak Islamik, Haram, justeru
penyertaan sesiapa ke dalam pilihanraya dan sistem demokrasi dianggap
sebagai bertentangan dengan Islam… menjadi sebahagian daripada wacana
anak muda hari ini!

Ini bukan isu baru. Ia sudah lama diperkatakan, malah sudah pun
dijawab dengan hujah dan penjelasan yang bertimbun-timbun. Tetapi ia
baru popular di Malaysia.

Lantas golongan Islamist (izinkan saya menggunakan istilah
ini) bercakaran sesama sendiri. Ketika golongan yang sedar dan celik
politik itu kecil jumlahnya berbanding penganut AKU TIDAK PEDULISMA,
golongan sedar ini pula tenggelam dalam diskusi yang entah di mana
hujung pangkalnya. Apatah lagi wacana tentang hal ini dibahaskan dengan
penuh emosi, dan meminjam teladan sejarah secara membuta tuli lagi tepu
dengan elemen romanticism yang tidak rasional, lantas semua orang menjadi self proclaimed scholars mencampuri diskusi ini bahawa demi Islam, jangan terlibat dalam demokrasi dan pilihanraya, apatah lagi untuk mengundi calon Islamist.

Apakah cara golongan ini bernegara? Ceritanya panjang, namun
pastinya kegagalan generasi muda menyelesaikan isu ini akan sedikit
sebanyak melengahkan mereka daripada bertindak betul dan terus melayan
siang serta malam dengan teori atas angin yang tidak berpijak di bumi
yang nyata.

KEMUSYKILAN 3

Selain persoalan demokrasi dan pilihanraya, muncul pula duri-duri
dan miang buluh golongan ultra salafi yang melabelkan pembangkang
sebagai khawarij, mengkritik dan mempertikaikan pemerintah secara
terbuka adalah suatu dosa, dan hadith-hadith yang dahulunya dipelajari
secara sistematik dalam wacana Siasah Syariyyah, tiris lalu menjadi
lopak-lopak di forum internet, lalu dibincangkan tanpa hujung pangkal
oleh anak muda yang bernafsu tinggi kepada idea dan fikrah.

Hadith larangan menentang pemerintah selagi mana solat ditegakkan
dan yang seumpama dengannya ditabur bagai butir beras kepada ayam-ayam
kais ilmu pagi dan petang hingga gagal dikonsepkan dengan betul. Hadith
yang dibahaskan secara tidak harmoni dengan Usul Fiqh, mengkesampingkan
Qawaid Fiqhiyyah apatah lagi untuk dikukuhkan dengan sosiologi agama,
menjadikan tafsiran ultra salafi sangat literalis hingga lebih
mementingkan tafsirannya terhadap teks, biar pun tafsiran itu gagal
menghubungkan teks dengan konteks.

Semuanya jadi sebegitu mudah, dan proses pembelajaran berstruktur
lagi berintegrasi di antara pelbagai disiplin keilmuan Islam, tidak
lagi dianggap perlu. Hanya dengan membaca artikel, berforum, mendengar
rakaman kuliah, golongan muda ini sudah menganggap diri mereka bersedia
untuk mencabut skru tanpa sedar akan upaya diri untuk memasangnya
semula dengan betul.

Apa yang berlaku, hanyalah kerugian masa, tenaga dan peranan golongan sedar yang sudah sedia sedikit itu.

Besar manakah pendukung fahaman seperti ini?

Mungkin penonton Anugerah Juara Lagu lebih ramai, tetapi kuasa
internet menjadikan pemikiran seorang pun, boleh menggoncang ribuan
yang membacanya, lalu memberi bekas kepada proses demokrasi dan
pilihanraya, khususnya kepada golongan muda.

Ia adalah contoh kesan structured knowledge  yang dibentangkan sebagai bilah-bilah dialog artikel tanpa asas, atau forum yang sering terbabas.

Mungkin idea pembangkang Islamist dilabel Khawarij itu boleh
dimanipulasi untuk melemahkan pembangkang dan menguntungkan pihak yang
ingin menang, tetapi saya melihatnya lebih kepada gangguan sistem yang
merugikan semua pihak tanpa ada sesiapa yang untung di perjalanan
jangka masa panjang.

KEMUSYKILAN 4

Beberapa insiden, kesilapan dan kesalahan yang berlaku di pihak
pembangkang, sama ada di dalam urusan parti mahu pun ketika mentadbir
negeri, mungkin menimbulkan rasa kecewa sesetengah kita. Kekecewaan itu
bukan semuanya tidak berasas atau sekadar mainan perasaan. Bagi mereka
yang membaca kritikan setajam kritikan Olivier Roy di dalam bukunya The Failure of Political Islam,
ia mungkin menimbulkan rasa sesak dada kerana golongan seperti ini
tersepit di antara kepincangan pemerintah yang ada, dengan pembangkang
yang gagal.

Kekecewaan itu juga mungkin datang dari kesempitan definisi mereka
terhadap kemenangan. Mereka mengukur kemenangan dan kekalahan hanya
kepada soal mendapat kerusi dan bilangan undi. Lantas mereka menghitung
belasan kekalahan pembangkang dan golongan Islamist di dalam sejarah pilihanraya negara kita.

Sedangkan mereka lupa kepada perubahan yang telah berlaku kepada
masyarakat. Jika perlaksanaan Syariah masih belum berlaku dan ia
dianggap kegagalan, bagaimana pula dengan tahap kefahaman masyarakat
kita tentang Islam sebagai suatu cara hidup 20 tahun yang lalu,
berbanding hari ini? Jika 20 tahun yang lalu, sebutan tentang hukum
hudud diwacanakan secara jahil, hina dan biadab oleh masyarakat kita,
apakah masih kedengaran intonasi yang sama pada tahun 2008?

Bagi ahli politik dan muslim yang berminda faqih, hakim dan qadhi…
seorang yang dahulunya minum 10 gelas arak tetapi kini berkurang kepada
7, tetap dianggap sebagai peminum arak. Namun jika kita melihat
pengurangan 10 kepada 7 dari perspektif seorang daie, seorang pendidik
dan aktivis masyarakat, ia adalah suatu pencapaian, suatu perkembangan
yang positif.

Golongan Islamist mungkin boleh terus menangis atas
kekalahan demi kekalahan pada bilangan kerusi dan jatuh naik hitungan
undi. Tetapi di sana ada 100 kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai
di sepanjang jalan dan pengalaman yang ada. Mata politik mungkin selalu
kecewa, tetapi mata pendidikan sering menyinarkan harapan.

Maka golongan yang kecewa dengan pencapaian Islamist dan
pembangkang secara umumnya, janganlah menterjemahkan kekecewaan itu
sebagai bonggol-bonggol jalanan yang menyulitkan perjalanan masyarakat.
Sebaliknya gunakan kekecewaan itu sebagai suluhan untuk mengenal pasti
kelemahan yang ada lantas seterusnya mengemukakan penyelesaian secara
bijaksana. Jiwa mengemukakan penyelesaian harus sebesar jiwa
menimbulkan persoalan.

MUHASABAH

Sesungguhnya kemusykilan di atas adalah sebahagian daripada apa yang
sempat saya fikirkan buat masa ini. Ia mendesak saya untuk semakin
percaya bahawa proses demokrasi di sesebuah negara hanya mampu
berkembang sihat jika semangat berpolitik seiring dengan semangat
mendidik dan memahamkan masyarakat tentang tanggungjawab dan hak
mereka. Bukannya memanipulasikan sifat naive masyarakat yang undinya diubah-ubah dengan baji tahi kelawar, kain pelekat dan surah yasin dengan bookmark RM50.

Jangan gadai negara dengan jual beli undi anda… sekurang-kurangnya
itu pesan Tun M, mantan Perdana Menteri Malaysia selepas beliau turun
dari pesada.

ABU SAIF @ saifulislam
56000 Kuala Lumpur

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.