Remaja perlukan bekalan akhirat

PERSOALAN mati memang fobia dan trauma kepada semua lapisan masyarakat, bangsa dan budaya.

Kebimbangan seseorang tidak kira usia, sama ada yang menjangkau 60
tahun ke atas, atau yang masih dalam lingkungan usia belasan hingga
20-an.


Mati pun tidak kenal usia atau bangsa, ia akan menemui seseorang itu sama ada dia bersedia atau pun tidak.

Mati juga tidak boleh ditunda hingga ke suatu waktu yang tidak
diketahui oleh sesiapa, kerana adalah satu hakikat yang akan menjelma
pada bila-bila masa seperti yang ditegaskan dalam al-Quran menerusi
ayat 78 surah an-Nisa yang bermaksud: "Di mana jua kamu berada, maut
akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal), sekalipun kamu berada
dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh."

Ada manusia yang mati kerana sakit tua, ini adalah lazim
berlaku kepada mereka, ada pula yang mati kerana terlibat dalam
kemalangan jalan raya.


Tidak kurang yang mati kerana sedang berseronok-seronok di taman-taman
bunga, di padang bola, stadium kerana menyaksikan konsert hiburan, di
studio-studio, sedang menonton wayang, sedang bermesyuarat dan
bermacam-macam lagi karenah manusia yang cenderung kepada dunia yang
melalaikan.

Sementara bagi golongan remaja pula, seolah-olah mati tidak ada
dalam kamus hidup mereka. Sebab itu mereka lebih cenderung kepada
program-program dunia yang menjurus kepada tidak mengingati Allah, hari
akhirat, persediaan dalam alam kubur, persoalan Munkar dan Nakir dan
sebagainya.


Malah ada antara mereka dengan sikap ego menegaskan bahawa masa muda
inilah perlu dihabiskan untuk bersuka ria (enjoy), nanti kalau sudah
tua barulah bertaubat.

Media kini sudah melampau

Justeru, konsep taubat dalam
konteks hari ini seolah-olah hanya tertumpu kepada golongan yang sudah
berkaki tiga (bertongkat), yang bongkok, yang terlantar di hospital.


Ini berlaku kerana tiada kesungguhan pihak berkuasa, lebih tepat
golongan pemerintah atau penguasa tidak mengadakan penerangan padu lagi
jitu mengenai kefahaman agama sekali gus membimbing remaja mencintai
ajaran agama.

Akhbar-akhbar arus perdana, program televisyen sama ada yang
dimiliki kerajaan apatah lagi yang dimiliki swasta banyak memuatkan
agenda hiburan, sukan melampau seolah-olah membayangkan mentaliti
perancang agenda berkenaan cenderung kepada aspek-aspek yang telah
disebutkan.

Tetapi persoalan utama di sini, ialah bagaimana pula jika Allah
SWT mematikan pada usia muda, apakah mereka sudah bersedia dengan
bekalan amalan yang diperintahkan kepada mereka untuk dilaksanakan?

Kita semua sedar bahawa persekitaran yang melingkungi diri kita
pada hari ini bukanlah persekitaran Islam yang boleh dibanggakan, walau
pun terdapat pihak tertentu menyifatkan kita sudah berada dalam sebuah
negara yang mengamalkan Islam.


Kalau itu yang didakwakan pihak tertentu, maka bandar-bandar besar
seperti Kuala Lumpur bersih daripada kawasan pelacuran yang
membimbangkan.

Tetapi kita nak tanya mereka yang mendakwa demikian, Islam yang
macam mana? Islam hakikikah? Islam Hadharikah? Islam Liberalkah? Islam
Pluralismekah?


Tapi yang kita tahu, Islam tidak dilaksanakan dalam negara Malaysia ini
menurut hukum syarak, sama ada hudud, qisas ataupun takzir, yang ada
semua bohong belaka.


Kalau betul Islam dilaksanakan, kenapa mak menteri masih tidak
bertudung, menutup aurat itukan perintah Allah, sesiapa yang
melanggarnya berdosa besar. Undang-undang Islam juga tidak dilaksanakan
dalam pentadbiran negara, macam-macam lagi dakwaan yang tidak berasas.


Konsep hiburan yang mengelirukan

Pokoknya di sini, jika
pemerintah tidak minat untuk menyedia, merancang, program-program agama
khusus buat remaja, maka tidak hairan gejala songsang yang menyalahi
konsep agama Islam sebenar akan pudar dan musnah, ini sebagai permulaan
ke arah untuk lebih tidak bersedia dengan bekalan, amalan untuk hari
akhirat.

Kalau benar pihak tertentu khususnya kerajaan mahu
menyelamatkan golongan remaja, mereka sepatutnya membatalkan segera
segala program berbentuk hiburan keterlaluan, jadi tidak ada lagi
selepas ini JomHeboh yang melalaikan, Akademi Fantasia, One in the
Million, konsert goyang gerudi Inul, Mentor dan macam-macam lagi.

Sekarang timbul pula program realiti ‘Akademi Nasyid’. Banyak
pihak keliru dengan konsep, pendekatan dan penampilan peserta yang
bertanding, apa yang dapat umum simpulkan, nasyid akan membawa
lagu-lagu berkonsepkan kesedaran, sama ada berpaksikan tauhid
ketuhanan, peranan serta tugas para Anbiya�, berkorban untuk agama,
mengajak umum untuk beribadat, bersatu-padu dan sebagainya.

Tetapi ada yang tidak kena dengan program realiti berkenaan,
penampilan peserta lelaki yang berambut panjang, amat tidak sinonim
dengan persembahan nasyid seperti yang difahami umum.


Peserta perempuannya pula ‘bertabarruj’ atau bersolek sama seperti
artis pop wanita lain, persoalannya di sini, apakah kewujudan program
itu adalah untuk mengimbangi ‘Akademi Fantasia’ yang sudah masuk musim
keenam ‘jahanam’, atau ada perkara yang tersirat.

Apapun ia masih terbuka untuk dikritik, kerana yang penting
setiap program yang disediakan seumpama itu, matlamatnya adalah
golongan remaja adalah sasaran tepatnya.


Jika ia tidak menepati tuntutan dan ruang lingkup agama, ia mungkin
akan jadi ‘back fire’ kepada penganjur dan institusi agama dalam negara
di semua peringkat, malah tidak sedikit pun mengingatkan mereka dengan
‘mati’.

Remaja perlu mengingatkan diri

 

Ingatlah, bahawa baik remaja, maka baiklah masa depan negara dan
sebaliknya jika rosak remaja maka rosaklah negara, agama dan bangsa,
apabila manusia sudah roboh harga diri dan maruah mereka, usah kita
bermimpi untuk mampu membina mereka pada waktu yang singkat, kerana
manusia bukan bangunan yang boleh kita rancang tempoh untuk
dibangunkan.

Justeru, wahai adik-adik remajaku sekalian! Walaupun ada pihak
tertentu tidak bersungguh untuk mengingatkan remaja tentang persoalan
mati, para remaja perlu mengingatkan diri mengenainya, kerana kematian
akan menemui mereka tanpa diduga.

Jadilah remaja seperti yang pernah ditegaskan oleh baginda
dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah amat bangga (kagum)
dengan golongan remaja yang tiada dalam diri mereka ciri-ciri
kejahatan."

Ketahuilah, bahawa yang menjayakan program Islam pada zaman
baginda Rasulullah s.a.w., majoriti terdiri daripada golongan remaja.
Apakah mereka tiada kecenderungan untuk berhibur, atau dengan lain
perkataan tidak mahu ‘enjoy’ pada usia demikian.


Mereka pun mempunyai cita-cita seperti remaja hari ini, cuma yang
membezakan ialah kesanggupan mereka berkorban untuk meninggikan
syiar-syiar Islam, sanggup mati demi untuknya.

Maka lahirlah slogan yang cukup tersohor untuk dikongsikan
bersama remaja hari ini, iaitu Allah matlamat hidup kita, Rasulullah
contoh teladan kami, al-Quran perlembagaan hidup kami, berjihad cara
hidup kami dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami.


Motivasi al-Quran: Ayat-ayat mengenai kejayaan remaja

APA
dimaksudkan kejayaan yang diraih golongan remaja, adalah dari sudut
pegangan kuat mereka terhadap agama, memiliki kekentalan iman dan
akidah yang tidak mudah goyah ketika berhadapan dengan sesuatu isu,
sama ada godaan yang datang daripada wanita, habuan kekayaan yang
bersifat sementara dan pelbagai isu lain.

Sifat-sifat ini pernah dimiliki oleh remaja atau pemuda-pemuda
Ashabul Kahfi yang diceritakan Allah dengan terperinci dalam satu surah
yang juga dikenali dengan al-Kahfi yang bermaksud gua, iaitu para
pemuda yang tertidur dalam gua selama 300 tahun kerana lari daripada
kezaliman raja yang menindas rakyatnya.

Allah menceritakan tentang mereka menerusi ayat 9-14 surah
al-Kahfi maksudnya: "Adakah Engkau menyangka (Wahai Muhammad), Bahawa
kisah ‘Ashaabul Kahfi’ dan ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di
antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaan Kami? (9)

"(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi
ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat
dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada
Kami untuk keselamatan agama kami". (10)

"Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. (11).

"Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji
siapakah dari dua golongan di antara mereka Yang lebih tepat kiraannya,
tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). (12)

"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan
benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada
Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (13)

"Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian),
semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami
ialah Tuhan Yang Mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak
sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada padanya; jika kami
menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu
Yang jauh daripada kebenaran." (14)

Remaja perlu rujuk nasihat Luqman al-Hakim

Begitu juga
dengan pemuda Ashabul Ukhdud yang memiliki kekuatan akidah hingga
sanggup berkorban demi kepentingan agama dengan menyeru orang ramai
supaya menerima Islam sebagai pegangan mereka hingga ke akhir hayat.

Dengan
izin Allah SWT seluruh penduduk yang diperintah oleh seorang raja yang
sangat zalim menerima Islam hasil penyampaian yang dilakukan seorang
pemuda yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.

Cerita mengenai mereka boleh dirujuk menerusi ayat pertama
hingga ayat terakhir iaitu ayat 22 daripada surah al-Buruj, ia amat
memberi kesan yang amat mendalam kerana kesanggupan mereka berhadapan
dengan kuasa toghut walau pun terdiri daripada satu kaum dengan
kekuatan iman kepada Allah SWT.

Dalam kesempatan ini, paling penting ialah remaja perlu merujuk
nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya bagi meniti kejayaan sebenar,
nasihat-nasihat yang disampaikan itu antara lain:


1-
Bersyukur kepada Allah.
2- Tidak melakukan syirik kepada-Nya.
3- Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
4- Menunaikan solat.
5- Menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.
6- Bersabar terhadap ujian yang menimpa diri.
7- Tidak bertindak sombong dan angkuh kepada manusia.
8- Besederhana ketika berjalan (tidak terlalu cepat atau lambat).
9- Merendahkan suara ketika bercakap.

Demikianlah petua
atau kunci kejayaan seseorang remaja yang dirakam Allah menerusi
kitab-Nya yang menjadi pedoman kepada seluruh bangsa manusia hingga
berlakunya hari Kiamat.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.